BN tarik balik petisyen Kulim-Bdr Baharu

Jimadie Shah Othman
Malaysiakini Oct 13, 08 12:12pm 

Calon BN Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik
petisyennya hari ini dengan alasan "ingin memberikan lebih tumpuan kepada
isu-isu ekonomi" dan "pilihanraya semula akan memakan banyak tenaga." 

"Lagi pun, satu kerusi tambahan, tidak memberikan kesan apa-apa," katanya
kepada Malaysiakini.

Keputusan ini dicapai beberapa hari lepas hasil perbincangan pemimpin BN,
katanya. 

Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini membatalkan petisyen itu selepas
keputusan mendadak calon BN itu. 

Mengulas desas-desus wakil rakyat PKR kawasan itu Zulkifli Nordin akan
menyertai Umno, Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu tentang perkara
tersebut. 

"Tetapi saya juga ada mendengar khabar angin itu," katanya.

Zulkifli terlibat membantah penganjuran forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis
Peguam awal Ogos lalu. 

Penglibatannya menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra sehingga
dihadapkan ke jawatankuasa disiplin PKR pada 6 September. 

Bagaimanapun, sebarang keputusan belum dibuat hingga kini.

Desas-desus mengatakan beliau akan menyertai Umno kerana tidak berpuas hati
berhubung tindakan parti itu, yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Aziz, ditanya sama ada keputusan beliau menarik balik petisyen itu
akan menyebabkan kerugian bagi Umno dan dirinya, beliau berkata:

"Saya cuma hilang satu peluang. Bagaimanapun, di hujungnya, rakyat akan buat
keputusan."

Beliau yang juga ketua bahagian Umno Kulim-Bandar Baharu mendakwa masih
mempunyai tanggungjawab dan tugas yang sama seperti Zulkifli walaupun tidak
menjadi wakil rakyat.

"Saya ada pusat khidmat masyarakat. Saya masih bekerja macam biasa, cuma
tidak menjadi ahli parlimen sahaja," katanya.

Sementara itu, peguam Zulkifli, Aaqbal Shiffudin Adnan Sallehudin berkata
pihaknya gembira dengan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, peguamnya itu belum mendapat maklum balas daripada anak
guamnya. 

Ahli parlimen itu tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini. 

Malaysiakini gagal mengubunginya untuk mengulas perkembangan terbaru
petisyen itu.

April lepas, Abdul Aziz menfailkan petisyen bantahan kepada Zulkifli atas
alasan lawannya itu telah gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya
sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Mengikut akta pilihanraya, setiap calon yang tidak mengemukakan kenyataan
perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tidak dibenarkan
bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Pada 2004, Zulkifli bertanding kerusi parlimen Kuala Langat di Selangor
tetapi kalah kepada calon BN dari Umno, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh.

Dalam petisyennya, Abdul Aziz juga mendakwa bahawa pegawai pengurus
pilihanraya telah gagal bertindak terhadap Zulkifli walaupun mempunyai
dokumen yang mengesahkan kegagalannya mengemukakan kenyataan
perbelanjaannya.

Kirim email ke