Assalamualaikum wrt wbr Sekali lagi isu guru dipukul oleh pelajar menjadi topik dalam pendidikan hari ini. Mungkin tak dapat kita bayangkan pelajar yang masih muda berumur 14 tahun (seusia dengan anak bongsu saya) sanggup memukul gurunya yang mendidik mereka. Maknanya rasa hormat terhadap guru dan tidak menghargai jasa guru menjadi kenyataan bagi segelintir pelajar. Tetapi masih ada lagi pelajar yang amat menyayangi, menghormati dan menghargai guru mereka. Guru sebagai murrabi mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai golongan yang berilmu dan akan menyampaikan ilmu dengan sebaik yang mungkin di samping menjadi contoh tauladan kepada anak murid mereka. Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ahli ilmu." Surah Faatir: 28 "Katakanlah,adakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?" Surah al-Zumar: 9 Pengharapan pelajar masa kini kepada guru amatlah tinggi dari aspek penyampaian ilmu dan menjadi contoh tauladan yang 'walk the talk'. Jadi menjadi tanggung jawab guru untuk memastikan mereka bersedia untuk meningkatkan keupayaan dan kemampuan mereka sebagai orang yang berilmu yang mampu untuk menangani kehendak dan keperluan anak murid mereka pada masa kini di mana pendedahan anak-anak muda kepada isu globalisasi tidak dapat disekat. Pelajar yang bermasalah disiplin pasti ada faktor yang mendorong kepada tindakan memukul guru. Kemungkinan persekitaran di rumah atau di sekolah tidak membantu anak-anak untuk membesar dalam menangani kehidupan remaja mereka. Inilah menjadi cabaran dalam mana-mana sistem pendidikan, sebaik mana di atas kertas perancangan, persoalan utama ialah perlaksanaan dan penyampaian kepada kurikulum dan silibus yang sudah diteliti dengan baik. Subjek pengajian Islam yang dipelajari tidak cukup untuk dihafal fakta dan kemudiannya lulus dengan cemerlang. Ini adalah kerana yang menjadi keutamaan ialah penghayatan secara praktikal semua ilmu Islam yang dipelajari yang menjadi pagar dan menyekat diri seseorang dari melakukan yang mungkar. Sekolah sewajarnya membuat satu kaedah pengukuran untuk memastikan pelajar menghayati akhlak yang mulia. Ibu bapa yang menjadi pendidik pertama dan utama tidak boleh dinafikan tanggungjawab mereka. Ibu bapa pada abad ke 21 perlu sentiasa memperbaiki keupayaan dan kemahiran untuk mendidik anak-anak zaman sekarang. Kita sentiasa rujuk kepada hadis berikut: “Setiap bayi yang lahir itu adalah suci bersih. Maka ibu bapalah yang menjadikan mereka sama ada Yahudi, Nasrani ataupun Majusi.” Hadis Riwayat: Bukhari dan Muslim Ibu bapa memainkan peranan penting apabila menerima laporan yang anak mereka mempunyai masalah disiplin di sekolah. Sikap terbuka pihak ibu bapa amat diperlukan untuk kepentingan anak tersebut, maknanya mencari penyelesaian jika betul anak kita yang bermasalah sebelum menyalahkan pihak yang lain. Semua sekolah mempunyai prosedur dalam memberi hukuman kepada pelajar yang bermasalah dan sokongan ibu bapa untuk memperbaiki akhlak anak mereka amatlah disanjungi. Sekolah sepatutnya memberi penghargaan kepada ibu bapa yang mempunyai sikap terbuka sebegini. Salwani dari http://drsalwani-pendidikan.blogspot.com/ __________________________________________________ Do You Yahoo!? Tired of spam? Yahoo! Mail has the best spam protection around http://mail.yahoo.com

