Assalamualaikum,

Perkongsian.

Wednesday, September 8, 2010
Pandangan Pengarah PACE dan ahli Lembaga Aqsa Syarif disorot dalam rencana
Utusan Malaysia 8 Sept 2010


*Rundingan damai tidak akan menyebelahi Palestin*

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
[email protected]


UNTUK rekod sejak lebih enam dekad berlangsungnya krisis antara Palestin dan
Israel, sebanyak 87 resolusi dan perjanjian anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB) dikeluarkan menjurus kepada keamanan bagi konflik di Asia
Barat itu.

Daripada jumlah tersebut pula, kira-kira 66 resolusi dan perjanjian
dikenakan veto oleh Amerika Syarikat (AS) kerana lebih berpihak kepada
Palestin dan bukannya Israel.

Sedikit gambaran itu membawa kepada perbincangan selanjutnya mengenai masa
depan dan harapan daripada rundingan damai Palestin-Israel yang sedang
berlangsung ketika ini. Rundingan damai itu dibuka semula selepas tertangguh
pada akhir 2008 ekoran serangan Israel ke atas Genting Gaza yang membunuh
kira-kira 1,600 orang rakyat Palestin.

Rundingan damai yang ditaja oleh AS dan kuartet Asia Barat seperti Kesatuan
Eropah (EU), Rusia dan PBB itu bermula 2 September lalu di Washington, AS.
Selain Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Palestin,
Mahmoud Abbas, pertemuan itu turut disertai oleh Presiden Mesir, Hosni
Mubarak dan Raja Jordan, Raja Abdullah.

Rundingan ini diharapkan mencapai kesepakatan baru dalam masa setahun
sebelum perdamaian dan keamanan dalam erti kata sebenar di Asia Barat dapat
dicapai kemudiannya. Namun jika rundingan damai itu dilihat dari perspektif
realiti di Palestin dan Israel ketika ini, impian untuk melihat ia tercapai,
sebenarnya terlalu besar.

Umum mengetahui terdapat tiga isu utama yang menghalang kejayaan rundingan
damai Palestin-Israel sebelum ini selain cabaran dan kekangan lain. Isu
tersebut ialah kedegilan Israel yang menceroboh tanah Palestin untuk
dibangunkan penempatan baru Yahudi terutama di Tebing Barat dan Baitulmaqdis
timur.

Isu kedua pula ialah status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan hak
pelarian rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. Dari sudut
penempatan haram misalnya, pembekuan ke atas pembukaan wilayah Yahudi di
sekitar Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur akan tamat pada 26 September
ini.

Sekiranya Israel selepas tarikh itu kembali membina penempatan haram di atas
tanah yang dirampas dari rakyat Palestin dan wilayah yang diduduki secara
haram sejak 1967, maka rundingan damai terbaru ini tidak akan membawa
sebarang makna.

Dari sudut yang lain pula, Netanyahu sendiri tidak mengemukakan cadangan
yang konkrit ke arah formula baru untuk mencapai kata sepakat. Netanyahu
hanya mengatakan satu penyelesaian di luar kotak mesti dicari setelah usaha
damai yang dicetuskan bermula dengan Perjanjian Oslo sejak (1993) 17 tahun
dahulu gagal mencapai sebarang kemajuan.

*Dalam masa yang sama, kerajaan campuran yang diterajui Netanyahu terus
mendesak beliau menentukan status akhir kepada kedudukan Baitul Maqdis dan
pelarian Palestin. Perkara ini bagi Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin
(Pace), Dr. Hafidzi Mohd. Noor, adalah hakikat yang tidak akan menyebelahi
Palestin.*

Kerana katanya, pendirian Israel dalam kedua-dua isu ini sentiasa konsisten
dan tidak akan pernah berubah iaitu Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel
yang disatukan dan kekal abadi.

''Di samping itu, hak pelarian untuk pulang akan terus dinafikan kerana
membenarkan mereka pulang akan merubah demografi dan konsep negara Israel
itu sendiri sebagai sebuah negara Yahudi (Jewish State)," katanya.

Halangan turut kelihatan di sebelah Palestin sendiri terutama dari sudut
hubungan pihak berkuasa Palestin (Fatah) dan Hamas. Seperti kata Hafidzi,
hubungan di antara Fatah dan Hamas masih rapuh -- berada di atas landasan
yang amat berlawanan dalam menentukan pendirian terhadap rundingan damai
dengan Israel.

Sekiranya kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju dengan hasil rundingan damai
ini maka ia tidak akan memberikan sebarang harapan baru kepada terciptanya
satu persetujuan yang akan mendapat dokongan nasional atau majoriti rakyat
Palestin.

''Mana-mana rundingan damai yang tidak disepakati secara konsensus oleh
rakyat Palestin akan menemui jalan buntu," ujar beliau. Begitu pun bagi
kalangan yang optimis, sinar kedamaian dalam konflik tersebut tetap wujud
meskipun tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada peranan AS, kuartet Asia
Barat dan PBB seperti ketika ini.

*Israel masih perlu didesak oleh pihak ketiga yang mempunyai kehendak
politik yang kuat supaya akur kepada tuntutan rakyat Palestin. Seperti kata
Hafidzi, masyarakat dunia boleh mengalih perhatian kepada kuasa baru untuk
mengenakan tekanan ke atas Israel. Antaranya menerusi kuasa dan inisiatif
masyarakat sivil.

Israel dilihat sedikit tertekan dengan gerakan oleh masyarakat sivil
antarabangsa terutama selepas tragedi serangan ke atas kapal kemanusiaan
Mavi Marmara sedikit masa lalu. Tekanan antarabangsa memaksa Israel sedikit
akur meskipun masih lagi mempamerkan sikap angkuh terhadap misi bantuan
kemanusiaan.

Sepanjang bulan ini dan November depan, beberapa misi kemanusiaan seperti
"Viva Palestina 5" dan "Life Line for Gaza" akan bergerak sekali lagi ke
Gaza melalui jalan darat dan laut.*
*
Kuasa lain yang boleh membantu, tambah Hafidzi ialah negara-negara kuasa
ekonomi baru seperti China, Turki dan Brazil. Negara-negara ini mempunyai
mandat untuk menolak mana-mana inisiatif yang diterajui oleh kuasa besar
dunia khususnya AS dalam melaksanakan agenda dan kepentingannya. Ia pernah
berlaku ketika Brazil dan Turki menolak cubaan sekatan ekonomi AS ke atas
Iran melalui PBB sebelum ini.

Dengan kekuatan ekonomi yang dimiliki oleh kuasa-kuasa ekonomi baru itu,
maka AS tidak lagi mempunyai suara mutlak dalam menentukan hala tuju
pergerakan politik antarabangsa termasuklah dasar luarnya di Asia Barat.
Bahkan tambah Hafidzi, AS kini semakin tercabar dengan China yang begitu
pesat berkembang dari sudut ekonominya. China yang pada dasarnya bersikap
berkecuali terhadap isu Palestin pasti akan menjadi broker penting dalam
menentukan arah tuju hegemoni politik di Asia Barat.
*
Sekali lagi Israel berada dalam keadaan yang tidak memihak kepadanya secara
mutlak. ''Rakyat Palestin bakal memiliki kuasa rundingan yang lebih kuat
dalam mempertahankan haknya dengan kemunculan kuasa-kuasa ekonomi baru ini.
Mungkin kesannya tidak akan dilihat dalam masa yang terdekat, tetapi
kedegilan dan keangkuhan Israel tidak dapat dipertahankan lagi di masa
hadapan," jelas Hafidzi.


Posted by Dr Hafidzi Mohd Noor at 8:02 AM 0 comments

Kirim email ke