* Perutusan Maal Hijrah PACE (1432H)*


PACE mengucapkan selamat tahun baru hijrah kepada seluruh umat Islam di
Malaysia khususnya. Sebagaimana sudah menjadi tradisi setiap menjelang tahun
baru maka setiap orang akan menanam azam untuk melakukan perubahan ke arah
kebaikan. Bersempena dengan tahun baru hijrah 1432, PACE mengajak seluruh
umat Islam untuk memberi perhatian kepada umat Islam di tanah suci Al-Quds
yang kini sedang menghadapi penindasan dan penjajahan. Di saat kita
meletakkan sasaran untuk meningkatkan pencapaian dalam pelbagai bidang yang
diceburi dan memperbaiki taraf hidup, saudara-saudara kita berhadapan dengan
persoalan bagaimana untuk meneruskan kehidupan itu sendiri dalam keadaan
dinafikan hak mereka yang paling asas sebagai manusia. Mereka disekat dari
mendapat bekalan makanan, air bersih untuk minuman, ubat-ubatan dan bahan
bakar. Mereka juga tiada jaminan keselamatan tempat tinggal kerana bila-bila
masa sahaja tanah mereka akan dirampas, mereka dihalau keluar dan rumah
mereka dirobohkan. Bahkan nyawa mereka sentiasa berada dalam keadaan bahaya
akibat terdedah kepada serangan Israel yang boleh dilancarkan tanpa amaran
dan secara tiba-tiba.



            Inilah senario yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin di saat
kita menyambut Maal Hijrah. Bagi mereka tahun baru hijrah hanya menjanjikan
satu kepastian iaitu perjuangan untuk pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid
al-Aqsa pasti diteruskan. Itulah azam yang tertanam kukuh di dalam setiap
umat Palestin. Cita-cita untuk melihat tanah suci al-Quds kembali ke
pangkuan umat Islam tidak pernah luput dari ingatan mereka. Bahkan inilah
azam yang tidak pernah luntur dalam diri para pejuang sejak 65 tahun yang
lalu. Semangat jihad yang terus membara disanubari mereka menjadi obor yang
menerangi seluruh dunia Islam dan menyuntik kekuatan meski berhadapan dengan
pelbagai pengkhianatan dan pembelotan dari kalangan pemimpin-pemimpin Negara
Islam yang berkepentingan yang bersekongkol dengan pihak musuh. Jika
diamati, setiap orang akan merasa insaf bagaimana mungkin sebuah umat yang
diperangi oleh kuasa tentera yang ke empat terbesar di dunia dan mendapat
sokongan padu dari kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah
dapat bertahan puluhan tahun lamanya. Bahkan Bangsa-bangsa bersatu yang
sering memihak kepada kepentingan zionis kerana didalangi oleh Amerika dan
sekutu-sekutunya sering gagal membela kepentingan dan hak rakyat Palestin.
Apakah rahsia kekuatan mereka sehingga mereka tidak berganjak langsung dari
prinsip perjuangan meskipun diasak dengan begitu hebat oleh Zionis, Negara
kuasa besar bahkan regim-regim Negara Arab yang menjadi boneka kepada
kepentingan Amerika.



            Semua ini menuntut umat Islam di Malaysia untuk mengambil
inspirasi dari satu perjuangan yang amat menakjubkan. Apakah yang mendorong
satu umat yang tidak punya kekuatan tentera dan senjata untuk berhadapan
dengan Israel yang mendapat bantuan hampir tiga billion USD setahun dalam
bentuk pelbagai senjata terkini. Bahkan mereka bukan sahaja berhadapan
dengan jet pejuang, kereta kebal, peluru berpandu, bom pintar, pesawat
‘predator’ kawalan jauh, tetapi mereka turut dihujani dengan bom fosforus
putih yang diharamkan. Kemusnahan kepada nyawa, harta benda dan tempat
tinggal tidak dapat dibayangkan. Tetapi semua ini hanya meningkatkan
semangat juang dan menyemarakkan lagi jihad di bumi Palestin. Pastinya umat
yang berjuang di atas dasar jihad yang benar tidak akan dapat ditundukkan
oleh mana-mana kekuatan di bumi ini. Meskipun seluruh dunia menalakan
senjatanya kepada umat yang sedemikian, mereka tidak akan mampu menumpaskan
satu umat yang kekuatannya datang langsung dari Allah SWT.



            Hari ini di saat rakyat Gaza sedang bergelut dengan persoalan
hidup dan mati, para pejuang menyibukkan diri mereka dengan mempersiapakan
generasi akan datang. Lima puluh peratus anak-anak Gaza berhadapan dengan
masalah kurang zat makanan. Sebahagian besar dari mereka tidak dapat
meneruskan persekolahan. Bukan sahaja bangunan sekolah sudah ranap menyembah
bumi, bahkan kertas dan alat tulis juga tidak dapat dibekalkan akibat
sekatan Israel dan penutupan sempadan Gaza dengan dunia luar. Namun dalam
serba kekurangan dan kedaifan ini, mereka tidak pernah putus pergantungan
dengan Allah SWT. Mereka tetap meletakkan harapan penuh yakin bahawa masa
depan Palestin sudah dijamin di dalam Islam. Oleh itu salah satu agenda yang
penting yang diberikan perhatian penuh para pejuang ialah membina generasi
pelapis. Mereka ditarbiyah dengan al-Quran. Mereka ditarbiyah untuk menjadi
para hufaz dan membawa al-Quran di dalam dada-dada mereka. Pada musim panas
yang lalu mereka Berjaya menghasilkan 30,000 para hufaz cilik dari kalangan
anak-anak lelaki dan perempuan. Sebahagian dari mereka bergelar hufaz hanya
dalam tempoh tiga bulan atau lebih pendek dari itu. Program melahirkan
generasi Rabbani ini akan menjamin kelangsungan jihad untuk mempertahankan
tanah suci dan Masjid al-Aqsa. Dengan nukleus para rijal yang mempunyai
kualiti tarbiyah imaniah ini, benteng-benteng pertahanan umat di bumi
al-Quds akan terus dijamin terpelihara dari pencerobohan dan pengkhianatan
golongan yang cuba mengkhianati perjuangan ini.



            PACE mengajak umat Islam untuk mengimbau perjuangan umat Islam
di Palestin sempena Maal Hijrah. Apakah kaitan peristiwa Hijrah Nabi SAW
dengan perjuangan yang ditempa oleh umat Islam zaman ini terutama di Tanah
Suci Al-Quds. Apakah hubungkait peristiwa besar di dalam perjuangan Nabi SAW
1,400 tahun yang lalu dengan kesinambungan perjuangan umat Islam pada hari
ini. Pastinya peristiwa Hijrah bukan hanya satu peninggalan sejarah tetapi
satu panduan yang terus relevan sepanjang zaman. Perjuangan Nabi SAW adalah
kemuncak segala perjuangan di antara hak dan batil, di antara kebenaran dan
kepalsuan. Allah SWT telah menjadikan resam perjuangan yang batil sentiasa
berada di pihak yang kuat dari sudut zahir dan luarannya. Semua itu menjadi
ujian kepada orang-orang yang beriman agar mereka tidak silau dan goyah
melihat kekayaan dan kekuatan pendukong-pendukong kezaliman. Nabi SAW
berhadapan dengan penindasan dan penyeksaan golongan penguasa Quraish selama
13 tahun menerajui perjuangan menegakkan kalimah Allah dan kebenaran di bumi
Mekah. Mereka merupakan golongan minoriti yang sentiasa diasak oleh
pemuka-pemuka Quraish yang berkuasa, berpengaruh dan kaya-raya. Golongan
inilah yang memegang tampuk kekuasaan dan tidak pernah henti-henti menyakiti
Rasulullah SAW dan orang-orang yang beriman. Sebahagian mereka syahid di
tangan penguasa-penguasa ini dan apa yang mampu dilakukan oleh Rasulullah
SAW hanyalah menyuruh para sahabatnya bersabar. Apabila semua penyeksaan dan
penindasan ini tidak berjaya melemahkan keimanan maka mereka telah mengambil
satu pendekatan di luar batas-batas persaudaraan bahkan di luar batas
kemanusiaan. Umat Islam diboikot dan dikepung selama tiga tahun lamanya.
Mereka tidak dibenarkan menghubungi dan menyambung silatur rahim meskipun
dengan ahli keluarga yang terdekat. Bekalan makanan disekat sehingga ada
umat Islam yang meninggal dunia akibat kebuluran. Bahkan Saidatina Khadijah
RA dikatakan meninggal akibat kesan dari kekurangan makanan. Namun umat
Islam tetap bertahan dan tidak sekali-kali menggadaikan keimanan mereka
hanya untuk mengalas perut yang pedih menahan lapar. Mereka tetap bertahan
meskipun anak-anak merintih pada waktu malam menahan lapar. Tangisan yang
memilukan pada waktu malam telah mendorong orang-orang Quraish yang masih
punya hati untuk membekalkan makanan secara sembunyi-sembunyi supaya tidak
diketahui orang lain. Allah SWT telah menguji Rasulullah SAW sehingga
kemuncak dan kemudian memberi kelegaan kepada umat Islam dengan campur
tangan Allah SWT sendiri. Berakhirnya boikot rupa-rupanya menjanjikan dugaan
yang lebih berat kepada Rasulullah SAW. Kematian dua orang yang paling
disayangi dan yang paling kuat menyokong dan melindungi Rasulullah SaW iaitu
isteri dan bapa saudaranya, Abu Talib sudah tentu meninggalkan kesan yang
amat besar pada jiwa Rasulullah SAW. Dalam keadaan menanggung sedih itu
Rasulullah SAW tidak berputus asa dan tetap menjalankan amanat dakwah yang
dipikulkan ke atas dirinya. Kunjungannya ke Taif bukan disambut dengan baik
bahkan dilempari dengan batu sehingga menanggung luka yang berat. Pada saat
sedemikianlah Allah SWT memperjalankan Nabi dalam satu peristiwa yang
menakjubkan iaitu Isra’ dan Mikraj. Perjalanan ke Masjid al-Aqsa dan
kemudian ke Sidratul Muntaha adalah langkah pertama ke arah kemenangan yang
bakal datang. Kembalinya Rasulullah SAW disusuli dengan siri-siri pertemuan
dengan penduduk Yathrib. Rasulullah Saw dinanti-nantikan oleh penduduk
Yathrib dan diangkat sebagai pemimpin di Madinah. Peristiwa hijrah adalah
kunci kepada kemenangan ini.



            Dalam konteks perjuangan rakyat Palestin pada hari ini,
peristiwa hijrah adalah satu jaminan dari Allah SWT bahawa kemenangan pasti
akan berpihak kepada pejuang kebenaran. Kekuatan fizikal dan sokongan
antarabangsa yang dinikmati oleh Israel tidak akan melindungi regim haram
itu dari kemusnahan. Sebagaimana kepungan dan boikot ke atas Rasulullah SAW
gagal maka begitu juga sekatan ekonomi dan kepungan ke atas Gaza akan gagal
dengan kuasa Allah SWT. Sebagaimana komplot dan persekongkolan golongan
yahudi dan munafiq di Madinah begitu juga persekongkolan regim-regim Arab
bersama zionis untuk menekan gerakan Hamas dan gerakan Islam di Palestin
akan menemui kegagalan. Golongan Ahzab moden yang diterajui oleh Amerika
Syarikat akan gagal sebagaimana gagalnya golongan Ahzab dalam peperangan
Khandak. Keyakinan yang bulat inilah yang terus memercikkan api kebangkitan
rakyat Palestin. Kini persoalannya ialah apakah peranan umat Islam sejagat?
Apakah kita hanya sekadar menonton dan member ulasan-ulasan yang kadangkala
terpisah dari realiti sebenar. Ramai umat Islam di luar sana merasa sangsi
dengan janji Allah SWT. Mereka bukan sahaja mengambil sikap tidak peduli
dengan apa yang menimpa tanah suci al Quds bahkan tergamak mencemuh para
pejuang dengan kata-kata nista dan penghinaan. Sebabnya ialah umat Islam
tidak kembali kepada persoalan dasar iaitu melihat perjuangan yang berlaku
ini dalam konteks Al-Quran dan sunnah. Mereka mengukur kekuatan musuh dengan
penilaian kebendaan lalu membuat kesimpulan bahawa perjuangan rakyat
Palestin adalah usaha yang sia-sia. Kami menyeru seluruh umat Islam supaya
kembalilah kepada Allah dan Rasulnya dalam menilai perjuangan umat Islam di
Palestin. Kemenangan sebenarnya telah ditetapkan oelh Allah SWT bagi
hamba-hambanya yang berjihad dengan ikhlas dan penuh keimanan. Sebagaimana
yang disebut lewat hadis-hadis sahih Rasulullah SAW bahawa umat ini akan
terus berjuang sehingga Allah member kemenangan mutlak kepada mereka.
Apabila ditanya oleh sahabat di manakah mereka itu, dijawab oleh Rasulullah
SAW, mereka itu berada di Baitul Maqdis. Dalam hadis yang lain Rasulullah
SAW member jaminan bahawa pengkhianatan golongan yang berkhianat tidak akan
memudaratkan mereka. Mereka akan tetap menjadi golongan yang menang.
Golongan ini disebut oleh Rasulullah berjuang di pintu-pintu Dimasq
(Damsyik) dan pitu-pintu al-Quds (Baitul Maqdis).



            Sempena Maal Hijrah 1432 ini PACE menyeru seluruh umat Islam
supaya meletakkan satu azam untuk bersama di dalam jihad mempertahankan
tanah suci. Umat Islam diseru memperuntukkan sebahagian dari penghasilan
mereka untuk perjuangan pembebesan al-Quds. Barangsiapa yang memberi bekal
kepada para mujahidin maka dia juga adalah mujahidin. Dengan hadis Nabi SAW
ini, PACE mengakhiri perutusan Maal Hijrah ini dengan harapan agar seluruh
umat Islam bersama berganding bahu berjuang dengan segala daya dan upaya
untuk menyokong jihad di bumi Palestin.



Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah

PACE (Pusat Kecemerlangan Palestin)

1 Muharram 1432H

Kirim email ke