Wednesday, April 17, 2011 Aqsa Syarif mengingati pulangnya seorang syahid
menemui KekasehNYA. Satu tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz
Rantisi<http://lambaian-islah.blogspot.com/2010/04/pada-17-april-2004-pulanglah-seorang.html>
 
<http://4.bp.blogspot.com/_l3G59cptMmM/S8akjmLtYuI/AAAAAAAABg8/Y3tioCK-2Gw/s1600/225px-Abdel_Aziz_al-Rantissi.jpg>Pada
17 April 2004 pulanglah seorang syahid menemui Kekasih yang didambakan. Satu
tribute untuk as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi

Kita sering tercari-cari siapakah di kalangan manusia pada hari ini yang
pantas dijadikan contoh ikutan dalam perjuangan menegakkan kalimah al-Haq.
Kita mahu mencontohi beliau baik dari sisi istiqamahnya, baik dari segi
tsabatnya, baik dari segi jihad, kesungguhan dan pengorbanannya. Nah! Salah
seorang dari insan yang pernah memiliki sifat-sifat ini ialah as-Syahid Dr
Abdul Aziz Rantisi. Pada 17 April 2004 ini genaplah enam tahun as-Syahid
meninggalkan kita semua. Beliau dibedil oleh helicopter Apache Zionis Israel
dengan peluru berpandu Hellfire yang juga telah mengambil nyawa as-Syahid
Syeikh Ahmad Yassin dua puluh enam hari lebih awal.

Sebelum kakinya melangkah keluar dari rumah kerana menziarahi keluarga
selepas waktu isya, beliau dengan hati penuh harap berkata ‘Semuga Engkau
masukkan kami ke dalam syurga mu Ya Allah. Inilah puncak harapanku..” Tidak
beberapa langkah dia meninggalkan rumah, kedengaranlah bunyi ledakan.
Ternyata helicopter Apache telah siap menunggu dan menganugerahkan apa yang
didambakan oleh as-Syahid. “Ia adalah kematian samada dengan pembunuhan atau
barah. Tidak ada yang berubah samada dengan Apache atau sakit jantung. Dan
aku memilih Apache..” Bukti bahawa as-Syahid gembira dengan anugerah ini
tergambar dari senyuman yang menguntum dari bibirnya dan darah yang terus
mengalir setelah 24 jam beliau syahid yang menghamburkan bau harum kasturi.
Semua yang hadir menziarahi jenazah as-syahid yang mulia melihat kebesaran
Allah dan benarnya janji Allah dan Rasulnya. “Jangan kamu menyangka mereka
yang mati syahid itu mati, bahkan mereka hidup dan diberi rezeki, hanya kamu
tidak mengetahuinya.”

Pendirian As-Syahid Abdul Aziz Rantisi terhadap perjuangan, cintanya
terhadap tanah-airnya bumi Palestin dan Baitul Maqdis yang suci telah sedia
kita maklumi. Dia mengabdikan seluruh hidupnya untuk jihad dan untuk
al-Quds. Inilah yang digambarkan oleh isteri as-syahid Ummu Muhammad, beliau
adalah gambaran ayat Allah ‘Sesungguhnya tidak dijadikan manusia dan jin
melainkan untuk menyembah Dia.’ Sebagaimana juga as-Syahid syeikh Ahmad
Yasin yang mendahului beliau, Israel tidak pernah merasa aman dengan beliau
yang tidak pernah mengenal erti mengalah dan lemah. Tidak seperti
pemimpin-pemimpin Palestin secular yang siap untuk menggadaikan prinsip dan
tanah air atas nama rundingan damai, As-Syahid Abdul Aziz Rantisi tidak
pernah berganjak dari keyakinan bahawa bumi Palestin tidak mungkin ditukar
ganti dengan apapun. Pilihan yang ada pada Israel hanya satu iaitu keluar
dari bumi Palestin yang mereka jajah dan kembalikan hak rakyat Palestin yang
mereka rampas. Jika mereka gagal untuk melakukan ini maka bersedialah untuk
berhadapan dengan api jihad yang akan terus bersemarak membakar jiwa-jiwa
para mukmin sehingga akhir. Hasrat Zionis untuk melihat lumpuhnya HAMAS
dengan terbunuhnya dua pemimpin utama dalam selang 4 minggu meleset sama
sekali. Bahkan kematian dua tokoh ini menyuburkan lagi jihad di bumi
Palestin dan kini setelah enam tahun kedua mereka meninggalkan kita,
Palestin terus berdiri teguh berhadapan dengan segala macam kekuatan yang
ditalakan dunia ke atas mereka. Bukan sahaja mereka diperangi oleh
senjata-senjata terkini bahkan mereka dikepung dan di kelilingi oleh
tembok-tembok kematian serta dikhianati pula oleh saudara-saudara seagama
yang bersekongkol dengan musuh-musuh untuk mencengkam Gaza dan Tanah suci
al-Quds. Inilah karamah yang terbit dari kehebatan as-syahid Syeikh Ahmad
Yassin dan as-Syahid Dr Abdul Aziz Rantisi.

‘Di belakang seorang lelaki yang agung pastinya seorang wanita yang mulia’,
demikianlah ungkapan yang disebut kepada isterinya Ummu Muhammad. Namun Ummu
Muhammad segera menyanggah kata-kata ini. Sebaliknya beliau memuliakan ibu
as-syahid yang mana di atas didikan kemuliaan dan kehebatan dari almarhumah
ibunyalah lahir as-syahid Abdul Aziz Rantisi. Beliau digambarkan oleh
isterinya sebagai seorang suami, ayah dan datuk yang bukan sahaja melimpah
dengan kasih-sayangnya terhadap isteri, anak-anak dan cucu-cucu bahkan
kasih-sayang itu akan segera diluahkan sebaik sahaja ada ruang dan
kesempatan. Bahkan ketika dikelilingi oleh tugasan yang banyak termasuk
ketika melayan para tetamu dan wartawan beliau akan berhenti sebentar untuk
menegur anak-anaknya dengan penuh kemesraan. Lantaran itu tidak seorangpun
dari anak-anaknya dan cucu-cucu (14 orang semuanya) yang tidak merasakan
kemesraan ayah dan datuk mereka sehingga mereka semua bercita-cita untuk
mengikuti jejak langkah as-syahid dalam perjuangan.

Kelembutan as-syahid terhadap keluarga digambarkan oleh Ummu Muhammad dalam
satu pengalaman di mana beliau tersinggung peti televisyen sehingga pecah
skrinnya. Beliau begitu bimbang kerana sekatan ekonomi tidak memungkinkan
mereka menggantikan TV yang pecah itu. Tetapi as-Syahid yang melihat
kebimbangan Ummu Muhammad telah memujuk beliau dan berkata “Qadarallah maa
syafaa’a fa’al” (Setiap sesuatu itu ada tempoh akhirnya). Semuga
contoh-contoh kecil dari tokoh besar ini membekas di hati kita semua dan
menjadikan kita berjiwa besar dan tidak terikat dengan dunia. Sesungguhnya
membebaskan diri dari kesempitan dunia lah yang menjadikan seseorang itu
mendambakan kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Ketegasannya di dalam perjuangan tidak dipersoalkan. Sewaktu as-Syahid Abdul
Aziz Rantisi diusir bersama 416 oarng pejuang oleh Israel di selatan Lubnan
pada tahun 1992, beliau didatangi oleh seorang wartawan media barat
mengajukan soalan ‘Kenapa HAMAS enggan iktiraf Israel’. Jawapan yang
diberikan oleh as-Syahid Abdul Aziz Rantisi meninggalkan wartawan tersebut
sendiri kebibungan. Israel yang mana? Israel 1948? Atau Israel 1967? Atau
Israel 1981? Atau Israel 1993? Atau Israel 2000? Hakikatnya Israel adalah
entiti palsu yang tidak punya sebarang sempadan yang hakiki. Bagaimana
mengiktiraf sebuah Negara haram yang tidak punya sebarang ketentuan sempadan
kerana ia didirikan di atas Negara orang lain yang dirampok dan dirampas
semaunya dan sekehendak hati mereka. Lantaran itu as-Syahid Abdul Aziz
Rantisi berikrar “Israel tidak akan mengenal keamanan, kami akan memerangi
mereka sehingga Palestin dibebaskan, dibebaskan seluruhnya.”

Inilah gambaran orang-orang beriman yang digambarkan oleh Allah SWT ‘…Mereka
kasih kepada Allah dan Allah kasih kepada mereka, mereka berkasih sayang
sesame mukmin (izillah alal mu’mimin) dan tegas terhadap golongan kafir
(a’izatul alal kafirin), mereka berjihad pada jalan Allah dan tidak takut
kepada celaan orang-orang yang mencela…”

As-syahid Abdul Aziz Rantisi dilahirkan pada 23 Oktober 1947 berhampiran
Jaffa (Yaffa) dan syahid pada 17 April 2004.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif
Pengarah PACE

Kirim email ke