Satu kisah yang menarik diceritakan oleh Zairil Tan Sri Khir Johari yang 
merupakan Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang mengenai perjalanan 
hidup seharian Lim Guan Eng yang serba sederhana dan begitu komited menjalankan 
tugas sebagai pemimpin negeri.

Iktibar Politik Daripada Seorang Bekas Banduan
23 May, 2011 

Bekas banduan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Minum teh tarik 
percuma 

“Saya bekerja untuk Lim Guan Eng.”

Ayat ringkas di atas itu tidak pernah gagal mendapatkan saya sekurang-kurangnya 
secawan teh tarik percuma. Tiada sesiapa yang tidak ingin mengetahui dengan 
lebih lanjut mengenai insan yang kini menjawat sebagai Ketua Menteri Pulau 
Pinang. 

Bagaimanakah perwatakan beliau? Adakah benar cerita ini atau cerita itu? Kerap 
kali soalan-soalan yang diajukan ternyata kurang munasabah, tetapi begitulah 
jadinya apabila saluran maklumat di negara kita menjadi mainan propaganda pihak 
yang berkuasa.

Jika berkesempatan, saya akan menerima minuman yang ditawarkan. ‘Bayarannya’ 
hanya sekadar meluahkan sedikit masa untuk menceritakan sedikit tentang seorang 
personaliti yang dikenali tetapi mungkin tidak difahami ramai.

Jadi, sebelum saya bermula, terima kasihlah atas kemurahan hati anda. Teh tarik 
kurang manis satu!

Amat sukar untuk saya membayangkan kedinginan dan kesepian seseorang yang 
terpaksa mendiami bilik yang berjeriji besi atau kesuraman yang pasti 
menyelubungi sesebuah jiwa dalam ringkukan, dan sememangnya itu bukan suatu 
pengalaman yang saya citai. Yang pastinya, jika saya dihantar ke penjara, 
apatah lagi tanpa melakukan apa-apa kesilapan, dan tambahan pula kerana 
menjunjung kebenaran, sudah tentu saya tidak akan mudah melepaskan kesumat 
dalam hati.

Namun manusia tersebut yang saya kenali hari ini tidak menyimpan walau segumpal 
perasaan benci atau dendam terhadap pihak-pihak yang telah menzaliminya.

Pernah beliau berkata kepada saya, dan sememangnya jarang perkara ini 
ditimbulkan, sewaktu dalam perjalanan pulang setelah selesai satu malam 
berceramah di kawasan pedalaman: “Saya tidak sesekalipun mengingini perkara 
yang sama akan menimpa kepada mereka. Jalan kebenaran mungkin dipenuhi 
keperitan, tetapi kejayaan pasti menunggu.” 

Begitulah ulasan seorang bekas banduan yang dua belas tahun lalu terpaksa 
bercangkung dengan tahanan-tahanan lain sambil berpakaian baju Pagoda dan 
seluar pendek warna putih. Walaupun jasadnya ketika itu menjadi kurus dan 
kendengkik, jiwanya tidak pernah patah dan kini beliau sudah berjaya menawan 
jawatan tertinggi di negeri Pulau Pinang.

“Lagipun, pengalaman pahit saya tidak seberapa jika dibandingkan dengan 
kesengsaraan Nelson Mandela yang terpaksa meringkuk hampir selama tiga dekad. 
Tetapi sekarang kita sudah lihat. Akhirnya, kemenangan akan berpihak kepada 
yang benar.”

Itulah falsafah yang dipikul Saudara Lim Guan Eng, dan itulah pengajaran 
pertama saya.

Setelah beberapa bulan menjadi pegawainya, sudah tidak mengejutkan lagi jika 
telefon berdering ketika tengah malam buta ataupun sebelum berkumandangnya azan 
Subuh. Malah sudah menjadi perkara biasa. Sesungguhnya sesiapa yang bekerja 
untuk Lim Guan Eng itu harus bersedia mengikut jadual kerjanya yang 
memaksimumkan setiap detik dalam setiap hari.

Tetapi inilah kehidupan pejuang politik. Masa kita milik rakyat. Kepentingan 
ramai selalu diutamakan daripada kepentingan peribadi. Petua ini wajib 
dijadikan panduan kita, yakni ‘utara benar’ dalam perjuangan politik. Dan dasar 
itulah yang menjadi pegangan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Baginya, jawatan yang disandang adalah satu amanah yang cukup berat untuknya. 
Kerana itu, segala perbelanjaan wang rakyat hendaklah dilakukan dengan penuh 
ikhtiar dan tanggungjawab. 

Antara tindakan yang pertama yang dijalankannya sebaik sahaja mengambil alih 
pejabat Ketua Menteri adalah untuk melaksanakan dasar tender terbuka dalam 
semua kerja pembekalan dan pemerolehan awam. Cara yang telus ini membawa 
keuntungan kepada pengusaha dan kontraktor yang tulen dan bekerja keras, dan 
menimbulkan kesukaran kepada syarikat-syarikat kroni yang bergantung kepada 
modus operandi ‘subkontrak’.

Selepas tiga tahun berlangsungnya sistem tender terbuka di Pulau Pinang, sudah 
jelas terbukti faedahnya apabila ramai kontraktor Melayu yang dahulunya tidak 
mendapat peluang kerana kurang ‘kabel’ sekarang telahpun berjaya melalui 
kebolehan dan daya saingan sendiri untuk membekalkan perkhidmatan dan produk 
mereka kepada Kerajaan Negeri. Sesungguhnya kejayaan juga akan memihak kepada 
yang jujur dan bekerja keras.

Kebenaran dan ketelusan sememangnya menjadi ciri-ciri khas kerajaan Pakatan 
Rakyat Pulau Pinang. Tetapi apakah rahsia disebalik penjelmaan semula Pulau 
Mutiara yang telah berlaku dalam masa tiga tahun yang lepas?

“Semuanya bermula dari kepala,” tegas Lim Guan Eng. “Apa-apa perubahan hanya 
boleh dilakukan jika dipandu dari pucuk pimpinan.”

Begitulah caranya berlaku reformasi dalaman dalam Kerajaan Negeri. Sesiapa yang 
pernah melawati Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun yang lepas ini pasti 
terkagum dengan kebersihan yang ketara, apa-apa lagi di sebuah negeri yang 
dahulunya diberi imbuhan ‘Darul Sampah’.

“Saya tidak menukar pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan. Pekerjanya masih 
sama. Tetapi  yang ditukar adalah pimpinannya, di mana saya telah memilih 
pegawai yang paling cekap dan berdisiplin untuk melaksanakan tugas dan 
tanggungjawabnya.” Kedua-dua Yang DiPertua MPPP (Majlis Perbandaran Pulau 
Pinang) serta MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) sudah menjadi punca 
kebanggaan Lim Guan Eng. Kebetulan juga mereka berdua merupakan wanita. “Jika 
kepala bersikap bersih dan tegas, anggota yang lain akan mengikut secara 
sendiri.”

Prinsip ini juga mewarnakan cara pimpinan beliau sebagai Ketua Menteri. Salah 
satu tanggungjawab yang paling penting bagi seorang pemimpin adalah untuk 
menunjukkan teladan yang konsisten.

Pernah sekali saya mengikuti beliau ke luar negara, di mana kita telah berjumpa 
dengan seorang saudagar asing. Kerana mengejar sebuah projek yang bernilai 
besar di Pulau Pinang, jadi bermesralah si saudagar itu dengan Ketua Menteri. 
Namun, apabila cubaannya untuk memujuk Ketua Menteri nyata tidak berjaya, 
saudagar itu pun membuka mulut menawarkan sejumlah wang ringgit yang tidak 
kurang menakjubkan, sebagai dorongan untuk mendapatkan projek tersebut.

Dengan air muka yang jengkel, Lim Guan Eng menjawabnya dengan ringkas: “Saya 
bukan seperti menteri-menteri lain dari Malaysia. Jika anda hendakkan projek 
itu, anda boleh menyertai proses tender terbuka. Selain daripada itu, saya 
tidak boleh membantu.” Sambil tersenyum malu, sambil ahli peniaga itu meminta 
diri.

Itulah yang dikatakan memimpin melalui teladan. Sebagai kepala Kerajaan Negeri, 
Lim Guan Eng tidak pincang dalam perlakuannya. Dugaan silamnya tidak 
diendahkan, justeru tumpuan sepenuhnya dicurahkan ke atas jalan di hadapan, 
iaitu jalan yang akan membawa kemajuan dan keadilan kepada seluruh rakyat Pulau 
Pinang secara khusus dan rakyat Malaysia secara am.

Yang pasti, segala jenis dakwaan dan tuduhan tidak akan berhenti dilemparkan 
kepadanya. Namun begitu, iltizamnya tidak akan gentar. Seperti yang ditegaskan 
beliau, kebenaran itu adalah mutlak. Walau apa pun cabaran, jangan kita 
terpesong daripada ‘utara benar’, iaitu asas perjuangan politik kita.

Dan kini berakhirlah cerita saya, sepertimana habisnya teh tarik yang terlebih 
kurang manisnya. Terima kasih kerana mendengar. 

Sumber : 
http://zairil.wordpress.com/2011/05/23/iktibar-politik-daripada-seorang-bekas-banduan/



------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke