Allahyarham Fadzil Noor dan keterbukaan politik Islam. 
Artikel ini ditulis oleh Liew Chin Tong yang merupakan Setiausaha Antarabangsa 
DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, disiarkan di laman web Roketkini.com 

1 JUN 2011 : Dekad rerfomasi menampilkan ramai wira; selain protagonisnya Datuk 
Seri Anwar Ibrahim, yang tidak kurang penting peranannya lebih sedekad yang 
lalu adalah Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Presiden PAS.

Pada 2 September 1998, negara terkejut dan keliru. Menyusuri tahun-tahun 
1990-an dengan igauan memalukan seperti seorang menteri besar membawa wang 
tunai sebegitu banyak ke Australia, seorang menteri dituduh mencabul perempuan 
di bawah umur, dan tentunya pemecatan, pembataian, pemenjaraan tanpa bicara, 
penghadapan ke mahkamah dan pemenjaraan Anwar.

Dalam keadaan negara terkejut dan keliru melihat seorang bakal perdana menteri 
dihina sebegitu rupa oleh pucuk pimpinan negara, ramai yang bersimpati dengan 
Anwar termasuk Fadzil yang terkenal dengan geralan Ustaz Fadzil.

Fadzil dan Anwar mempunyai tali persahabatan panjang sejak hari-hari Angkatan 
Belia Islam Malaysia (Abim) sekitar tahun 1970-an sehingga nama anak perempuan 
sulung Anwar, iaitu Nurul Izzah, diberikan oleh pemimpin PAS itu.

Namun hubungan sedemikian tidak dikongsi oleh banyak pihak dalam PAS. Mereka 
masih tidak puas hati dengan penglibatan Anwar dalam UMNO sejak awal 1980-an. 
Mereka melihat tidak ada keperluan untuk tampil mempertahankan Anwar.

Tidak dapat dinafikan, selama tempoh 16 tahun Anwar berada dalam kerajaan 
Barisan Nasional, beliau menjadi musuh politik PAS. Bekas Perdana Menteri Tun 
Dr Mahathir Mohamad mengambil Anwar pada 1982 sebagai jawapan beliau ke atas 
agenda kebangkitan Islam yang dibawa oleh PAS.

Pada hari sejarah hitam Anwar dipecat dari semua jawatan dalam kerajaan atas 
tuduhan rasuah, salah guna kuasa, liwat dan kaki perempuan, Fadzil menjadi 
satu-satunya pemimpin PAS yang berani mengambil tindakan yang betul.

Beliau menziarahi Anwar, pada masa itu masih di kediaman rasmi kerajaan, untuk 
memberi sokongan moral. Fadzil tidak memaklumkan rakan-rakan PAS mengenai 
pertemuannya itu. Beliau menutup telefon bimbitnya dan tiada siapa yang boleh 
menjejakinya pada malam itu. Para pemimpin PAS hanya mengetahui perkara itu 
menerusi akhbar keesokan harinya. Beberapa hari selepas itu, menurut Subky 
Latif dalam catatannya, semasa mesyuarat jawatankuasa pusat parti, Fadzil 
disoal “seolah-olah berdepan dengan tribunal.”

Fadzil mengambil risiko politik dan peribadi yang besar dengan membawa dirinya 
dan PAS untuk bersama dengan Anwar. Malah, ia tidak terhenti di situ sahaja. 
Fadzil bertindak menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) – 
badan yang menjadi jambatan di antara parti-parti politik dan NGO; dan satu 
daripada dua perintis kepada Barisan Alternatif bersama Gagasan Demokrasi 
Rakyat – tanpa kelulusan jawatankuasa pusat PAS.

Kedua-dua gagasan itu ditubuhkan pada 27 September 1998, seminggu selepas Anwar 
ditahan. Walau pun Anwar adalah simbol reformasi, Fadzil adalah tokoh yang 
melaksanakan idealisme reformasi itu dengan menyediakan pentas untuk rakyat 
menyuarakan sokongan.

Kesannya, walau pun dibantah oleh sebahagian besar pemimpin PAS, mereka gagal 
menyekat kesan pengaruh Anwar terhadap parti itu. Usaha Fadzil ternyata 
melangkaui fahaman dan pendirian kebanyakan pemimpin PAS ketika itu. Tindakan 
berani Fadzil ternyata berjaya dan berbaloi.

Rakyat khususnya orang Melayu marah dengan tindakan zalim Mahathir terhadap 
Anwar. Ada yang keluar UMNO untuk mencari platform politik baru. Anak-anak muda 
Melayu yang belum pernah berparti pula turut melihat PAS sebagai alternatif.

PAS menggandakan keahliannya pada akhir 1998. Antara tahun kelahirannya pada 
1951 hingga akhir 1980-an, PAS yang mempunyai 300,000 ahli, telah meningkat 
kepada 450,000 pada Oktober 1998. Pada 1999, PAS mempunyai  1 juta keahlian.

Lidah rasmi parti, Harakah, meningkatkan edaran daripada zaman pra-reformasi 
sebanyak 72,000 naskhah sewaktu pilihan raya kecil Arau pada Julai 1998 kepada 
380,000 naskhah pada tahun 1999, menyumbang pendapatan besar kepada tabung 
parti.

Perubahan-perubahan ini akhirnya menyumbang kepada prestasi luar jangkaan parti 
pada pilihan raya umum 1999. PAS menawan 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi 
negeri.

Fadzil mungkin bukan pemidato yang paling karismatik dalam ceramah-ceramahnya. 
Namun beliau adalah seorang tokoh strategi di samping pengasas pakatan yang 
memainkan peranan besar dalam penubuhan Barisan Alternatif.

Selepas pilihan raya 1999, Fadzil mengingatkan PAS bahawa keputusan teruja itu 
bukan bukti sokongan positif terhadap pendirian PAS tetapi lebih kepada undi 
negatif kepada UMNO.

Ketika itu juga bangkit persoalan Negara Islam. Walau pun atas nama yang sama, 
soal prinsip dan ciri-cirinya berbeza di antara Fadzil yang lebih bersikap 
inklusif dan beberapa pemimpin lain dalam parti yang lebih tertutup dalam 
kefahaman mereka terhadap tafsiran Negara Islam.

Malangnya, sebelum sempat isu Negara Islam diselesaikan dengan baik, Fadzil 
telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi. beliau meninggal dunia pada 
usia 65 tahun pada Jun 2002.

Mungkin apa yang akan berlaku jika hayatnya masih ada, isu rumit itu akan dapat 
dihuraikan dengan cara yang lebih teratur dan diterima ramai atas kepakaran 
strategi dan kesabaran Fadzil. Ia mungkin lebih telus dan kurang mengelirukan.

PAS tidak mendapat sambutan sehebat 1999 apabila bertanding dalam PRU 2004. Ia 
hilang banyak kerusi termasuk Terengganu yang dirampas semula oleh BN. Kerusi 
Parlimen PAS pada masa itu tinggal 7 manakala DUN 36.

Perginya Fadzil merupakan satu kehilangan besar dalam politik negara. Di mana 
masyarakat masih diikat dengan politik kaum dan agama – walau pun sudah ada 
tanda-tanda kematangan demokrasi di kalangan rakyat masa kini – Fadzil telah 
sedikit-sebanyak mendahului zamannya. – Roketkini.com

http://roketkini.com/2011/06/01/allahyarham-fadzil-noor-dan-keterbukaan-politik-islam-oleh-liew-chin-tong/
 



------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke