Thursday, June 2, 2011 Perutusan Aqsa Syarif sempena Ulangtahun ke 44
tragedi 
an-Naksah<http://lambaian-islah.blogspot.com/2011/06/perutusan-aqsa-syarif-sempena.html>
 
<http://1.bp.blogspot.com/-cG9Pb4lCZho/Tedqh9q4BnI/AAAAAAAACHQ/PsN62c5TSnE/s1600/Yerushalayim%2BShel%2BZahav.jpg>
Tentera Zionis memasuki Masjid al-Aqsa
dan menghina umat Islam
7 Jun 1967

*Perutusan Sempena Ulangtahun an-Naksah ke 44*

Assalamualaikum wrt bth

Dengan nama Allah maha pemurah lagi maha pengasihani

Bagi umat Islam khususnya, tarikh 5 – 10 Jun 1967 menandakan tahap yang
paling rendah dalam sejarah kerana Masjid al-Aqsa kembali terjajah setelah
ianya dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi kira-kira seribu tahun yang
silam.

Aqsa Syarif mengajak rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya untuk
memperingati satu lagi insiden dalam siri tragedi bertimpa yang dilalui oleh
rakyat Palestin. Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat
Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah
atau ‘hari kekalahan’. Peristiwa an-Naksah merujuk kepada Perang enam hari
yang berlangsung dari 5 hingga 10 Jun 1967 di antara Negara-negara Arab dan
Israel. Dalam tempoh sesingkat enam hari 3 negara Arab iaitu Mesir, Syria
dan Jordan kehilangan wilayah dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut
ketenteraan. Bahkan dalam tempoh tersebutlah Masjid al-Aqsa ditawan oleh
tentera Israel dan terus terjajah sehingga hari ini.

Pada 8 Jun Mesir kehilangan seluruh Semenanjung Sinai yang merupakan satu
kekalahan yang besar dan memberi kelebihan strategik kepada Israel untuk
terus menguasai Selat Tiran yang mengawal laluan ke Laut Merah. Jalur Gaza
yang dikuasai oleh Mesir sejak tahun 1948 juga jatuh ke tangan musuh.Tentera
Israel juga memasuki Kota lama Baitul Maqdis dan menduduki Masjid al-Aqsa
pada 7 Jun, seterusnya mara ke Sungai Jordan dan menguasai seluruh Tebing
Barat yang ditadbir oleh Jordan. Apabila Mesir dan Jordan bersetuju dengan
gencatan senjata yang diputuskan oleh PBB pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis
timur dan Tebing Barat sudah diduduki oleh tentera Israel. Syria juga
memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus
menceroboh wilayah Syria dan menduduki Tanah Tinggi Golan sehingga kini.
Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya ialah dua kali
ganda dari Negara haram Israel yang didirikan ke atas wilayah Palestin pada
tahun 1948. Wilayah tersebut meliputi Baitul Maqdis timur, Tebing Barat,
Jalur Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.

Bagi umat Islam, 7 Jun adalah tarikh yang amat memilukan kerana pada tarikh
tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel memasuki masjid
al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap. Mereka
bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Mereka
menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh
umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya
Masjid al-Aqsa ditangan Yahudi. Mereka menghina Rasulullah SAW dengan
melaungkan ‘Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita;
merujuk kepada Negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam
Perang 6 hari tersebut. Mereka turut memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan
merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin yang mengadap Tembok Buraq
(Western Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara
keagamaan Yahudi. Tembokj Buraq mereka kuasai dan menamakannya sebagai
‘Kottel’ atau ‘Wailing wall’, satu tindakan yang jelas merampas hak umat
Islam yang diperakui oleh Liga Bangsa-Bangsa sebagai warisan Islam. Israel
seterusnya mengistiharkan penggabungan Baitul Maqdis barat (bahagian Baitul
Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis timur (yang mereka
tawan dalam Perang 6 hari) dan menamakan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai
ibu Negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat selama-lamanya pada
26 Jun 1967.

PBB bertindak meluluskan Resolusi 242 pada bulan 2 November 1967 yang
memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan
mengembalikan ‘sebahagian dari wilayah yang ditawannya’. Namun Israel telah
menggunakan wilayah yang didudukinya sebagai bahan tawar-menawar (*bargaining
chip*) untuk menciptakan perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai
pertukaran wilayah (*land swap*). Hakikatnya Israel tidak pernah berniat
untuk melepaskan mana-mana wilayah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur
yang ditawannya. Ini adalah berdasarkan tindakan Israel yang terus menerus
membina penempatan-penempatan haram di seluruh Tebing Barat bahkan di
sekeliling Kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa. Apabila perjanjian
damai Oslo ditanda tangani pada tahun 1993, Israel meningkatkan lagi
aktiviti pembinaan penempatan haram tersebut. Keadaan ini berterusan setelah
persetujuan dicapai dalam Annapolis Konferens pada tahun 2007 sehingga kini.
Israel terus berdolak dalih dan berselindung di sebalik pelbagai istilah
perdamaian bermula dari Madrid (1991) sehinggalah Deklarasi Prinsip-prinsip
Clinton (DOP – Declaration of Principles – 2001) dan Pelan Damai atau ‘Road
Map’ (2003). Mereka turut membina tembok pemisah (*Separation or ‘Aparthied’
wall*) sepanjang 800 km dari utara ke selatan jauh ke dalam Tebing Barat
untuk mengepung rakyat Palestin, membataskan pergerakan mereka dan menafikan
pelbagai kemudahan asas termasuklah sumber air bersih untuk minuman dan
mengairi ladang, perkhidmatan dan hak rawatan di hospital bahkan untuk
mendapatkan pendidikan untuk anak-anak Palestin. Apabila HAMAS memenangi
pilihanraya legislatif yang pertama dan membentuk kerajaan pilihan rakyat
yang sah, Israel mengenakan sekatan dan akhirnya kepungan menyeluruh ke atas
Gaza bermula pada tahun 2007 sehingga kini.

Hari ini kita menyaksikan pelbagai perkembangan positif dengan perubahan
lanskap politik di timur tengah khususnya di Mesir. Perkembangan ini
merupakan gugatan kepada Israel yang semakin merasa terdesak dengan
kehilangan sekutu kuatnya Mesir apabila tumbangnya regim Hosni Mubarak yang
merupakan boneka Amerika dan orang suruhan regim Zionis. Presiden Obama
turut merasakan tekanan sehingga terpaksa membuat ucapan dasar (*policy
speech*) bagi meredakan tuntutan rakyat Mesir bahkan penduduk negara-negara
Arab yang menuntut pembebasan negara Palestin. Obama turut menyarankan agar
Israel berundur ke sempadan tahun 1967 sebagai syarat penting untuk mencipta
perdamaian di timur tengah. Namun ucapan dasar Obama ternyata omong kosong
apabila Netanyahu bergegas ke Washington DC dan menuntut penjelasan dari
saranan Presiden Obama tersebut. Netanyahu berucap di hadapan Kongres dan
Presiden Obama kemudian menukar nadanya supaya selari dengan kehendak
Israel. Obama kemudiannya menegaskan bahawa Israel akan terus kebal (*iron-clad
protection*) di bawah perlindungan Amerika. Obama turut member jaminan
bahawa Amerika Syarikat akan terus menghalang PBB dari memberi pengiktirafan
kepada negara Palestin yang berdaulat.

Aqsa Syarif menegaskan bahawa jalan untuk menuju perdamaian di Timur Tengah
dan di Palestin hanyalah satu iaitu Israel wajib berundur ke sempadan 1967
dan melepaskan semua wilayah yang didudukinya dalam perang 6 hari,
berdirinya sebuah negara Palestin berdasarkan sempadan 1967 tersebut dengan
Baitul Maqdis sebagai ibu Negara Palestin yang tidak bolih dipertikaikan
oleh mana-mana pihak dan hak rakyat Palestin untuk pulang ke nagara mereka
wajib dihormati sepenuhnya tanpa syarat. Aqsa Syarif mengulangi pendirian
negara dan rakyat Malaysia yang berdiri teguh bersama rakyat Palestin untuk
tidak mengiktiraf negara Israel. Aqsa Syarif akan terus berjuang bagi
mengembalikan hak rakyat Palestin, berdirinya sebuah negara Palestin yang
merdeka dan pembebasan Masjid al-Aqsa sepenuhnya dari cengkaman Zionis
Israel.


Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif

Kirim email ke