Roketkini.com 7 Jun 2011 - Selepas pimpinan PAS mengumumkan Dokumen Negara 
Islam pada 2003, setelah dicabar oleh Perdana Menteri pada masa itu Tun Dr 
Mahathir Mohamad, ia menjadi salah satu faktor utama parti itu tewas teruk 
dalam pilihan raya umum 2004.

Daripada 27 kerusi Parlimen yang dimenanginya dalam PRU 1999, PAS hanya mampu 
kekalkan 6 kerusi Parlimen. Banyak pihak mengatakan PAS kehilangan undi bukan 
sahaja dari kalangan bukan Islam tetapi juga dari orang Melayu yang dikatakan 
“resah” dengan konsep negara Islam parti itu.

Sebenarnya Dokumen Negara Islam 2003 adalah kosep yang berlawanan dengan 
cadangan asal yang dibawakan oleh Allahyarham Datuk Fadzil Noor selaku Presiden 
PAS, sejak 2001 dalam bentuk Memorandum PAS kepada Rakyat Malaysia – 
Pemerintahan Islam Dalam Abad ke-21.

Di antara Disember 2001 dan Mac 2002, draf empat muka surat telah dibincangkan 
oleh sabahat-sabahat PAS termasuk aktivis NGO yang kemudiannya dibawakan oleh 
Fadzil dalam muktamar PAS ke-48 di Kota Bharu, Kelantan pada Mei 2002.

Fadzil yakin memorandum itu yang masih dalam peringkat persediaan itu mampu 
mencari titik pertemuan pelbagai peradaban, kepercayaan dan pegangan politik 
rakyat. Baginya, sifat pemerintahan Islam perlu ada syura, pemilihan dan 
demokrasi kerana pembinaan negara mesti berpaksikan kepada akhlak dan sistem 
nilai yang tinggi bertunjangkan sistem kepercayaan yang benar.

Beliau turut menjelaskan bahawa pentadbiran yang dicita-citakan PAS ialah yang 
mendukung kedaulatan undang-undang serta menekankan aspek khidmat dan kebajikan 
sehingga melahirkan “Negara Berkebajikan” yang diharapkannya dapat memakmurkan 
negara dengan kebajikan serta mengelakkan kerosakan, pembaziran dan kemusnahan.

Tujuh perkara asas dalam Memorandum itu adalah:
- Masyarakat madani
- Hak saksama (al-musaawah)
- Kedaulatan undang-undang berasaskan syariah yang luas makna dan ruang 
lingkupnya
- Keadilan (al-‘adalah)
- Meritokrasi (as-solahiyah)
- Negara berkebajikan
- Pentadbiran dinamik dan inovatif

Sayangnya, Fadzil meninggal dunia tidak lama selepas muktamar itu, pada 23 Jun 
2002, yang mengakibatkan Memorandum itu tidak lagi menjadi keutamaan PAS.

Namun begitu, sebulan selepas perginya Fadzil, PAS menyusun semula Memorandum 
itu untuk dibincangkan bersama dengan rakan-rakan seperjuangan di luar parti di 
mana tujuh perkara asas dikekalkan dengan huraian yang lebih panjang.

Apa yang mengejutkan ialah satu dokumen yang berlainan sama sekali telah 
dikeluarkan pada November 2002 atas nama Dokumen Negara Islam yang direstui 
oleh Majlis Syura Ulama PAS.

Dokumen itu juga mempunyai tujuh prinsip, seperti mana Memorandum, tetapi ia 
berbeza dalam banyak segi.

Tujuh perkara asas Dokumen itu ialah:

- Negara undang-undang di mana dijelaskan bahawa hudud, qisasa dan takzir akan 
dikenakan kepada orang Islam sahaja tetapi yang bukan Islam boleh memilih sama 
ada menerima hukum itu atau common law
- Sistem khilafah di mana pemerintah mesti melaksanakan hukum Islam, jika tidak 
mereka dianggap pengkhianat amanah Allah
- Takwa
- Sistem syura (concensus) di mana ia akan membincangkan perkara-perkara yang 
boleh diijtihadkan sahaja, dan tidak boleh dalam hukum-hukum tetap Islam (qat’i)
- Keadilan dan kesamarataan (al-‘adaalah wal musaawaah) yang dijelaskan tidak 
sama dengan persamaan (equality) dan sama bahagian (fairness)
- Kebebasan (al-hurriyyah) yang tidak boleh bercanggah dengan syara’
- Ketuanan mutlak  (as-siyaadah wal haakimiyah) atau sovereignty yang mana hak 
ketuanan adalah milik Allah dan tidak boleh diganggu oleh mana-mana pihak.

Walau apa pun niat baik pimpinan PAS dalam menyediakan Dokumen ini, persepsi 
orang ramai terhadapnya telah menyebabkan parti itu ditolak dalam PRU 2004. Ia 
dlihat sebagai menakutkan orang bukan Islam dan orang Islam yang berpendirian 
sederhana.

Menjelang 2007 di mana pentadbiran Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi 
yang lemah telah membangkitkan rasa tidak puas hati rakyat, ramai pemimpin PAS 
terutamanya mereka yang bersikap sederhana telah menyertai gerakan-gerakan 
mobilisasi demokrasi seperti perhimpinan Bersih yang mendesak kerajaan Barisan 
Nasional supaya telus dan adil dalam pilihan raya.

Pada masa itu juga PAS mula kembali kepada idea asal Fadzil yang mahu parti itu 
menjadi lebih terbuka dan berarus perdana dalam menarik sokongan rakyat. Ia 
juga usaha sesetengah pemimpin PAS untuk membuktikan bahawa Islam bukan sempit 
ajarannya, Islam adalah untuk semua.

Kejayaan besar PAS bersama PKR dan DAP dalam PRU 2008 meyakinkan banyak pihak 
supaya parti itu berjuang bersama-sama dalam satu gabungan yang kemudiannya 
dinamakan Pakatan Rakyat.

Dengan adanya barisan baru PAS yang dipilih dalam muktamar PAS ke-57 di Kuala 
Lumpur hujung minggu lalu, hasrat Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk meluaskan 
usaha promosi Negara Berkebajikan dilihat akan membuahkan hasil.

Seperti yang dijelaskan oleh Hadi, Negara Berkebajikan adalah konsep yang 
berteraskan Islam dan boleh diterima oleh semua orang tanpa mengira agama dan 
kaum. Ini bermakna PAS tetap boleh memperjuangkan agenda Islam yang benar-benar 
memberi manfaat kepada semua manusia.

Memetik kata-kata Hadi, “Kita mulakan dengan pelaksanaan Negara Berkebajikan. 
Ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut Negara Islam, ia 
sebut Negara Berkebajikan”, ia mengingatkan kita semua kepada apa yang 
diperjuangkan oleh Allahyrahm Ustaz Fadzil untuk membawa imej Islam yang lebih 
demokratik, inklusif, terbuka dan adil tanpa mengorbankan prinsip perjuangan 
PAS.

Sejak 2004, PAS telah melalui jalan yang sukar dan penuh berduri. Rasa kurang 
keyakinan diri di kalangan pemimpin tertentu PAS juga membuatkan mereka 
serba-salah dengan tawaran UMNO untuk bersatu padu demi perpaduan Melayu.

Sekarang ternyata impian Fadzil sudah menjadi kenyataan. PAS dilihat sudah 
bersedia untuk kembali dengan penuh komitmen terhadap Pakatan Rakyat, selaras 
dengan impian Fadzil yang mahu menawarkan alternatif terbaik kepada rakyat 
pelbagai kaum dan agama, untuk mengambil alih pentadbiran negara daripada UMNO 
dan BN. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera

http://roketkini.com/2011/06/07/akhirnya-impian-fadzil-noor-tercapai-oleh-liew-chin-tong/
 




------------------------------------

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

JIMedia: Memurnikan Tanggapan Umum Melalui Penyebaran Ilmu dan Maklumat

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Nota: Kandungan mel ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Pertubuhan
Jamaah Islah Malaysia (JIM) melainkan yang dinyatakan sedemikian.

Sila ke "JIM E-Bazaar" untuk membeli belah, membayar yuran program dan 
menyumbang untuk dakwah, di http://www.jim.org.my/e-bazaar/

Untuk melanggan Islah-Net, hantar e-mail ke [email protected]
Untuk menghentikan langganan, hantar e-mail ke 
[email protected]! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/

<*> Your email settings:
    Individual Email | Traditional

<*> To change settings online go to:
    http://groups.yahoo.com/group/islah-net/join
    (Yahoo! ID required)

<*> To change settings via email:
    [email protected] 
    [email protected]

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [email protected]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/

Kirim email ke