Wednesday, June 15, 2011 STANDPOINT Aqsa Syarif: Syarat Penyelesaian 2
negara yang 
lestari<http://lambaian-islah.blogspot.com/2011/06/standpoint-aqsa-syarif-syarat.html>
 
<http://1.bp.blogspot.com/-r9L2qJW1_jE/TflU0mfjE6I/AAAAAAAACH0/8Tj7oDvsdoU/s1600/United-Nations-Partition-Pl.jpg>

*STANDPOINT *

*Berikut adalah Penjelasan Aqsa Syarif terhadap ‘Penyelesaian 2 negara’
(Two-State Solution) yang lestari.*

* *

Bagi pengamat isu Palestin, seringkali penyelesaian dua Negara diketengahkan
sebagai jalan keluar kepada konflik di antara Palestin dan negara haram
Israel. Apakah asas kepada penyelesaian 2 negara ini?


Fakta-fakta sejarah yang berkaitan perlu diketahui untuk memahami tuntutan
beberapa pihak dalam mengusulkan penyelesaian tersebut. Ia bermula pada
tahun 1947 apabila PBB meluluskan Resolusi 181 yang membahagikan negara
mandat Palestin (Mandated Palestine di bawah pentadbiran British) kepada
wilayah Arab sebanyak 45% dan wilayah Yahudi sebanyak 55%. Pembahagian ini
diusulkan oleh UNSCOP – Jawatankuasa Khas PBB untuk Palestin di bawah Pelan
Pemisahan (partition plan). Sebagaimana yang dijangka umat Arab menolak
ketetapan ini dan mencetuskan perang Arab-Israel yang pertama sebaik sahaja
negara haram Israel diistiharkan pada 15 Mei 1948 berdasarkan Resolusi 181.
Perang ini berkesudahan dengan kemenangan di pihak Israel yang menduduki
beberapa wilayah yang diperuntukkan kepada penduduk Arab berdasarkan Pelan
pemisahan 1947. Siri-siri rundiungan di antara Israel dengan Mesir, Jordan,
Lubnan dan Syria melakarkan semula sempadan di antara Israel dan jiran-jiran
negara Arabnya pada tahun 1949. Siri-siri rundingan ini dinamakan The Rhodes
armistice (Perjanjian Damai Rhodes).

Sempadan di antara Israel dan Jordan yang mengambil alih pentadbiran Tebing
Barat di namakan garisan hijau (The Green line).


Apabila Israel melancarkan serangan mengejut ke atas negara-negara Arab di
Sinai, Baitul Maqdis Timur, Tebing Barat, Tanah Tinggi Golan dan Selatan
Lubnan di antara 5 hingga 10 Jun 1967 (Perang 6 hari), seluruh wilayah
Palestin (Mandated Palestine semasa pentadbiran British 1917 – 1948) di
kuasai sepenuhnya oleh Israel. Wilayah yang dirujuk tersebut ialah Genting
Gaza dan Tebing Barat (termasuk Baitul Maqdis timur) yang masing-masing
diambil alih oleh Mesir dan Jordan pada tahun 1948. Serangan yang dirujuk
sebagai Perang 6 hari ini telah mengakibatkan kekalahan besar kepada
negara-negara Arab terutamanya Mesir, Syria dan Jordan. Dalam serangan
tersebut Masjid al-Aqsa yang terletak di Baitul Maqdis timur ditawan dan
penguasaan ini berlanjutan sehingga hari ini (sudah menjangkau 44 tahun pada
tahun 2011). PBB telah bersidang pada bulan November 1967 dan mengusulkan
resolusi 242 iaitu Israel wajib berundur semula ke sempadan yang ditetapkan
oleh perjanjian Rhodes (yang dirujuk sebagai Green Line bagi sempadan di
antara Israel dan Jordan di Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat). Namun
atas desakan Israel ketetapan 242 menegaskan Israel perlu berundur dari
wilayah yang diduduki (Occupied territories) dan bukannya wilayah yang
diduduki dalam serangan tahun 1967 (The Occupied Territories). Article ‘The’
menjadi titik tolak kepada pertikaian di antara negara-negara Arab dan
Israel di mana Israel tidak menyatakan secara khusus manakah wilayah yang
diduduki apabila article ‘The’ digugurkan. Ini bermakna resolusi 242 memberi
kebebasan kepada Israel untuk menafsirkan manakah wilayah yang dikatakan
diduduki ini. Ini juga bermakna Israel bolih mencabar tuntutan mana-mana
pihak untuk berundur dari wilayah yang didudukinya pada tahun 1967.


Apabila penyelesaian 2 negara dibangkitkan berdasarkan resolusi 242, maka ia
menjadi suatu yang kabur dan tidak dapat dilaksanakan kerana Israel
mempunyai wewenangan untuk menentukan manakah yang akan diwartakan sebagai
negara Palestin dan di manakah sempadan negara Israel sekiranya negara
Palestin yang berdaulat wujud bersempadanan dengan Israel. Atas perkiraan
inilah maka penyelesaian dua negara tidak mungkin memberi jalan keluar
kepada penyelesaian konflik Palestin-Israel. Israel akan menggunakan semua
alasan-alasan teknikal untuk mempertahankan pendirian tidak akan berundur
semula ke sempadan 1967 (The Green Line berdasarkan perjanjian Rhodes).


HAMAS menuntut tiga perkara sebagai syarat untuk melaksanakan gencatan
senjata dengan Israel iaitu berundur dari semua wilayah yang diduduki pada
tahun 1967 (“The” Occupied Territories), pengishtiharan Baitul Maqdis
sebagai ibu negara Palestin yang berdaulat dan hak pelarian Palestin untuk
pulang ke negara mereka (ini juga adalah berdasarkan ketetapan PBB –
Resolusi 194(III)). Ini bermakna HAMAS pada dasarnya menuntut Israel keluar
dari semua wilayah yang ditaklukinya dalam perang 6 hari tanpa perlu merujuk
kepada Resolusi 242. Meskipun Resolusi 242 memperuntukkan tuntutan yang
serupa namun tuntutan tersebut adalah kabur dan memberi ruang yang luas
kepada Israel membuat tafsiran berdasarkan kepentingannya. Ini jugalah yang
menjadi asas kepada tindakan Israel dan Amerika Syarikat untuk merujuk
kepada wilayah yang diduduki sebagai wilayah yang dipertikaikan (oleh kedua
pihak Palestin dan Israel – ‘The disputed territories’) meskipun PBB merujuk
kepada wilayah tersebut sebagai wilayah yang diduduki (Israel) ‘The Occupied
Territories. Sekiranya Israel bersedia untuk memenuhi tuntutan HAMAS maka ia
perlu mengosongkan semua penempatan haram pendatang yahudi di seluruh tebing
Barat dan Baitul Maqdis Timur (termasuk di sekitar dan kejiranan Masjid
al-Aqsa) dan berundur semula ke sempadan yang telah ditetapkan dalam
perjanjian Rhodes pada tahun 1949 (Inilah yang dirujuk sebagai sempadan 1967
atau lebih tepat lagi pra-1967). Dengan ini gencatan senjata jangka panjang
atau ‘hudna’ bolih dilaksanakan di antara negara Palestin yang berdaulat dan
negara haram Israel. Oleh kerana status ‘Negara haram’ Israel kekal meskipun
gencatan senjata disepakati maka tidak ada keperluan bahkan tidak ada pihak
yang bolih memaksa Palestin untuk mengiktiraf Israel. Israel pada dasarnya
didirikan di atas negeri palestin yang mereka rampas pada tahun 1948. Ini
juga bermakna perjuangan pembebasan bumi Palestin secara keseluruhan akan
berterusan sehinggalah setiap inci negara Palestin (termasuklah 78% dari
wilayah Palestin yang diiktiraf sebagai wilayah Israel oleh Rhodes Armistice
pada tahun 1949) dibebaskan.


Maka dengan berundurnya Israel ke sempadan pra-1967 lengkaplah fasa pertama
dari dua fasa perjuangan pembebasan Palestin. Jika Fasa pertama dapat
dilaksanakan dengan jayanya maka Fasa kedua akan menyusul.


Prof madya Dr hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Aqsa Syarif Bhd

Kirim email ke