Gerai diroboh tanpa notis - Seorang peniaga, di sini kerugian kira-kira RM4,000 
apabila gerai miliknya dirobohkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Jelebu, awal 
pagi semalam. Perkara itu hanya disedari pemiliknya, Faridah Osman, 40-an 
sejurus tiba di kawasan berkenaan pada awal pagi. 
 
Faridah terus memaklumkan perkara itu kepada ibu saudaranya, Halijah Md Rof, 70 
tahun yang menetap di kawasan berhampiran gerai miliknya. 
 
Halijah berkata, Faridah mula berniaga di kawasan lapang di Batu 17 1/2 Jalan 
Seremban sekitar Ramadan lalu. 
 
Menurutnya, mula-mula Faridah berniaga lemang semasa Ramadan dan dari situ dia 
terus berminat untuk berniaga secara sepenuh masa. 
 
“Selepas itu, dia berjumpa dengan ketua kampung, jawatankuasa surau dan wakil 
rakyat di kawasan ini untuk meminta pandangan serta kebenaran. 
 
“Dia mendapat sokongan penuh daripada wakil rakyat dan pemimpin masyarakat di 
kawasan ini. Malah, penduduk di sini juga senang dengan tindakannya yang mahu 
berniaga,” katanya. 
 
Halijah berkata, kini Faridah menjual nasi lemak dan kuih-muih. 
 
“Faridah membelanjakan hampir RM4,000 untuk mendirikan gerai secara kekal,” 
katanya ketika ditemui Sinar Harian. 
 
Apa yang dikesalkan oleh Halijah dan Faridah adalah pihak Majlis Daerah Jelebu 
tidak memberi kebenaran untuk Faridah berniaga di kawasan itu kerana tanah 
berkenaan adalah hak milik kerajaan selain berhampiran dengan jalan 
persekutuan. 
 
Halijah berkata, Faridah tidak pernah menerima apa-apa notis berhubung 
kerja-kerja merobohkan gerai berkenaan yang masih belum siap dibina sepenuhnya. 
 
“Saya hairan mengapa ramai peniaga yang berniaga di tepi jalan malah di kawasan 
berbahaya seperti di selekoh dibenarkan berniaga. 
 
“Sedangkan lokasi gerai ini jauh dari jalan raya dan pelanggan juga tidak akan 
meletakkan kenderaan di jalan raya kerana boleh meletakkannya di kawasan 
pekarangan surau ini,” katanya. 
 
Menurutnya, Faridah adalah orang tempatan dan bukan orang luar. 
 
“Mengapa pihak MDJ tidak boleh bertolak ansur dengan kami? Malah Pegawai Daerah 
Jelebu, Zulkifli Baharan juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa SURAU DI 
BELAKANG GERAI INI JUGA AKAN DIPINDAHKAN KERANA DIBINA DI ATAS TANAH KERAJAAN. 
 
“Padahal surau ini adalah usaha arwah suami saya, Jamaluddin Abdul Rahman. 
ARWAH SUAMI SAYA BERSAMA DUA LAGI RAKANNYA YANG BERUSAHA MENDAPATKAN SURAU INI 
KERANA PERMINTAAN PENDUDUK DAN SEKARANG HENDAK DIROBOHKAN JUGA,” katanya. 
 
Katanya, Faridah mempunyai tiga anak yang masih bersekolah. Anak yang sulung 
menuntut di tingkatan tiga di sebuah sekolah di Terengganu. 
 
“Manakala anak kedua dan ketiga masing-masing berada di tahun enam dan tiga di 
sebuah sekolah di daerah ini. 
 
“Suami Faridah adalah seorang kakitangan Felcra di Negeri Pahang. Selain anak, 
Faridah turut menanggung bapanya yang kini sakit tua,” katanya.  
 
Sinar Harian 
20 Okt 2011 
     
http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9653874.asp 

Kirim email ke