Projek ini melibatkan tanah seluar 5,000 ekar di Gemas dengan peruntukan 
kerajaan sebanyak RM250 juta. Sasaran KPI nya ialah jumlah lembu yang perlu 
disembelih untuk mencapai sasaran ialah sebanyak 1,500 ekor sehari tetapi 
jumlah lembu yang dapat disembelih hanya 20 ekor sehari.
 
PAC siasat projek kaitan Shahrizat
FMT Staff October 26, 2011
 
Isu ini telah dibawa ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi 
memandangkan ianya melibatkan peruntukan kewangan sebanyak RM250 juta dari 
kerajaan.
 
PETALING JAYA: PKR menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) 
untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB) 
yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Menteri Pembangunan Wanita, 
Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.
 
“Isu ini telah dibawa ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi 
memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan 
peruntukan besar yang terlibat,” kata para pemimpin PKR dalam satu kenyataan 
media bersama
 
Mereka yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Ketua Wanita PKR dan juga Ahli 
Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Strategi Mohd Rafizi Ramli dan 
Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat Aminuddin Harun.
 
Menurut kenyataan itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot 
Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh NFCSB diberi status Projek 
Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging 
lembu untuk pasaran tempatan.
 
Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau PKR yang diketuai oleh 
Rafizi dan Aminuddin telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot 
Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas bagi menilai prestasi pencapaian pusat 
tersebut sama ada dapat memenuhi sasaran yang ditetapkan.
 
Kata mereka, hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, kami dapati sebanyak 
1,000 ekor lembu yang diimport diperlihara pada satu-satu masa.
 
“Secara purata 20 ekor disembelih setiap hari dengan kira-kira 3,000 kg daging 
(anggaran 900,000 kg atau 900 tan daging lembu setahun) dipasarkan kepada 
Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain,” kata mereka dalam 
kenyataan itu.
 
Mereka menerangkan bahawa prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan 
sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan 
seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah 
RM250 juta.
 
Mengikut prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan, penggunaan daging lembu setahun di 
Malaysia ialah sebanyak 162,357 tan manakala pencapaian Pusat Feedlot hanya 
0.6% sedangkan sasaran yang perlu dicapai ialah 60%.
 
Sementara jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran itu ialah 
sebanyak 1,500 ekor sehari tetapi jumlah lembu yang dapat disembelih hanya 20 
ekor sehari.
 
Projek gagal
 
“Kajian awal oleh PKR ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal 
walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 
ekar.
 
“Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar 
dan berkesan meskipun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan,” kata mereka.
 
Menurut mereka, penyelidikan PKR juga menunjukkan bahawa sehingga kini, 
komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik 
suami dan anak-anak Shahrizat masih belum dilaksanakan walaupun mendapat 
peruntukan besar.
 
Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan 
untuk membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk 
menggandakan pengeluaran lembu, membangunkan makanan lembu berkualiti dan 
membangunkan baja dari operasi penternakan lembu.
 
Ujar mereka, “PKR berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius 
kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat 
ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan 
rakyat.
 
Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import 
makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang 
terpaksa ditanggung rakyat.
 
Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek 
pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak 
sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 
bilion setahun sehingga akhir 2010.
 
“Shahrizat sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri 
Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang 
terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh 
lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan 
projek nasional yang menelan belanja besar ini.
 
“Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, PKR 
akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di 
Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan lebih luas kepada rakyat,” kata 
mereka dalam kenyataan bersama.
 
http://www.freemalaysiatoday.com/2011/10/26/pac-siasat-projek-kaitan-shahrizat/ 

Kirim email ke