KUALA LUMPUR, 19 Nov 2011 : Lebih 5 juta rakyat Malaysia dijangka mengalami 
masalah mental atau gila dalam jangka 5 tahun lagi disebabkan pelbagai faktor. 
Kajian tersebut dibuat oleh Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan 
yang turut disiarkan di dalam blog kementerian terbabit dan beberapa blog media 
tempatan.
 
Bendahari PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kajian bahagian 
itu menunjukkan mereka yang berpotensi menjadi gila dalam jangka masa itu 
terdiri daripada golongan remaja dan kanak-kanak yang dianggarkan 20 peratus 
termasuk lelaki dan perempuan.
 
Menurut beliau, manakala selebihnya terdiri daripada golongan dewasa yang 
dianggarkan sebanyak 11.2 peratus iaitu 3.3 juta orang termasuk lelaki dan 
wanita.   
 
Katanya, kajian tersebut dikeluarkan pada 14 November lalu dan berdasarkan 
kajian itu jelas menunjukkan Malaysia sedang menuju keadaan yang tidak rasional 
menjelang tahun 2020. 
 
"Tetapi kita amat kesal kerana pihak Kerajaan BN sehingga kini masih memandang 
sebelah mata perkara itu dengan tidak melakukan langkah-langkah yang 
komprehensif dan konkrit bagi mengatasinya," katanya ketika dihubungi 
Harakahdaily, hari ini.
 
Berdasarkan laporan Bahagian Kawalan Penyakit kementerian itu, menurut beliau, 
bilangan rakyat Malaysia yang telah menjadi gila sehingga akhir tahun 2010 
berjumlah 2,220 orang. 
 
Katanya, jumlah tersebut sepatutnya semakin berkurangan, tetapi anggaran kajian 
itu menjelang tahun 2020 ternyata semakin meningkat dengan angka yang amat 
membimbangkan.  
 
"Menyedari perkara itulah saya telah membangkitkan persoalan mengenainya pada 
persidangan Dewan Rakyat pada 15 November lalu, tetapi jawapan yang diberikan 
oleh Timbalan Menteri Kesihatan ternyata jauh menyimpang," katanya. 
 
Pada persidangan Dewan Rakyat 15 November lalu, pertanyaan lisan yang 
dikemukakan oleh beliau meminta Menteri Kesihatan menyatakan penyelesaian pihak 
kementerian bagi menangani gejala pembunuhan secara kejam yang berlaku dalam 
negara. 
 
"Antara faktor yang boleh dikenalpasti ialah ia mempunyai kaitan dengan 
kesihatan mental (mental health) anggota masyarakat. Jadi apakah kementerian 
mempunyai rancangan mental untuk diperkenalkan kepada anggota masyarakat yang 
telah dikenalpasti berisiko tinggi?" katanya. 
 
Timbalan Menteri Kesihatan, jelasnya, tidak pun menjawab pertanyaan beliau itu, 
sebaliknya mengatakan mereka yang menjadi gila disebabkan pengambilan alkohol, 
manakala orang gila terbabit dengan pembunuhan dikatakan amat kecil disebabkan 
berjaya dikawal dengan rawatan dan perubatan, berbanding penagih alkohol.
 
Menurutnya, berdasar jawapan itu jelas menunjukkan pihak Kerajaan BN atau 
Kementerian Kesihatan tidak mempunyai perancangan yang komprehensif atau 
menyeluruh dan konkrit atau kemas bagi mengatasai masalah itu.
 
"Sedangkan menurut kajian pelbagai pihak, seseorang yang berisiko menjadi gila 
itu bukan sahaja kerana faktor keturunan, tetapi juga stress yang berpunca dari 
pelbagai faktor termasuk kegagalan dalam peperiksaan, rumah tangga dan dalam 
hidup," katanya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. 
 
Untuk mengatasi masalah itu, pihak Kementerian Kesihatan, tambahnya, sepatutnya 
mengambil langkah-langkah yang komprehensif dan secara bersepadu dengan turut 
melibatkan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN), 
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Kementerian Wanita, 
Masyarakat dan Keluarga.
 
Katanya, selain itu, pihak Kerajaan BN juga sepatutnya turut menubuhkan 
Jawatankuasa Khas bagi mencegah dan merawat mereka yang berisiko menjadi gila, 
termasuk menerusi kaedah-kaedah lebih berkesan terutama melibatkan aspek agama. 
 
"Namun kesemua itu ternyata tidak dilakukan bagi mengatasinya. Malah setelah 
dikenalpasti berpunca dari alkohol, tidak pula dilakukan langkah yang 
sepatutnya bagi mengatasinya," tegasnya. 
 
Beliau juga kesal kerana pegawai-pegawai yang bertanggungjawab bagi memberikan 
khidmat kaunseling kepada mereka yang berisiko menjadi gila sehingga kini tidak 
ditambah dan hanya berjumlah 0.08 peratus atau 228 orang sahaja. 
 
"Dengan langkah-langkah pencegahannya yang tidak komprehensif dan tidak 
konkrit, apakah yang mampu diharapkan oleh rakyat negara ini kepada pihak 
Kerajaan BN bagi mengatasi masalah itu," ujar beliau kesal.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6593-jangan-pandang-remeh-rakyat-alami-masalah-mental
 

Kirim email ke