9 Dis 2011 : Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakob mengingatkan 
agar pihak peneroka Felda tidak ghairah apabila diumumkan agensi itu akan 
disenarai di bursa saham sebaliknya mengambil iktibar nasib peneroka-peneroka 
di Felda Sendayan dan Felda Labu di Negeri Sembilan setelah terlepas ke pihak 
lain.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan itu, sebaliknya mengingatkan bahawa 
tanah merupakan sumber ekonomi mereka dan tidak sepatutnya dibiarkan memasuki 
perniagaan berisiko yang mungkin boleh terlepas kepada orang luar.
 
“Lihat apa jadi dengan peneroka-peneroka Felda Labu dan Sendayan yang pada satu 
ketika begitu ghairah untuk menjadi jutawan lalu tanah mereka dijual, bagaimana 
dengan nasib mereka?
 
“Ada yang menjadi kuli, ada yang terpaksa jadi pemandu teksi dan sebagainya 
jadi biarlah pelihara tanah Felda yang selama ini menjadi tempat orang-orang 
melayu bergantung hidup jadi apa perlunya dicagarkan untuk bermain saham.
 
“Tak wajar tanah Felda menjadi pertaruhan kerana tanah adalah sumber ekonomi 
kalau tergadai kepada kapitalis pemain saham yang rakus, yang biasanya 
menguasai sehingga 30%. Berapa banyak tanah-tanah yang telah tergadai sebab 
sesiapa saja boleh beli, “ jelasnya.
 
Beliau berkata demikian ketika berceramah pada program pelancaran ‘Gerakan 
Selamatkan Felda’ peringkat kebangsaan di perkarangan Masjid Lama Bandar 
Jengka, malam tadi.
 
Turut berceramah ialah Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS 
Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda 
Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan Pengerusi Badan Bertindak Peserta Felcra 
(Bapa), Razman Zakaria.
 
Kira-kira 6,000 hadir mendengar program yang diadakan bagi memberi penerangan 
dan risiko kepada warga Felda mengenai penyenaraian Felda Global Ventures 
Holdings (FGVH) ke dalam Bursa Saham Malaysia sebagaimana diumumkan oleh 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Bajet 2012 pada 7 
Oktober lalu.
 
Dr Rosli berkata, jangan ingat semua projek kerajaan boleh berjaya walaupun 
diberi jaminan. Tambahnya ini terbukti dengan projek lembu NFC yang sedang 
hangat dibicarakan sekarang, yang konon pada mulanya mahu jadikan Gemas sebagai 
‘beef valley’ atau lembah lembu.
 
“Di Negeri Sembilan saja berapa banyak projek kerajaan yang gagal antaranya 
projek tebu di Ayer Hitam, gagal. Pada Masa (Tan Sri) Isa Samad juga ada projek 
yang gagal iaitu
ladang babi terbesar di Bukit Pelandok,  Negeri Sembilan tetapi gagal membawa 
keuntungan bahkan hanya meninggalkan penyakit Japanese Encephalitis (JE) 
sahaja,” katanya.
 
Justeru Dr Rosli mahu semua warga Felda bersatu dengan apa cara sekalipun 
menghalang Felda daripada disenaraikan di bursa saham walaupun dijanjikan 
dengan durian runtuh.
 
Beliau khuatir, apa yang sedang diusahakan pihak tertentu pada masa ini 
hanyalah sebagai jalan untuk mengalirkan wang ke dalam poket kroni mereka 
sahaja.
 
Sementara itu Razman Zakaria yang berceramah sebelum itu, memberitahu 
perniagaan di bursa saham mempunyai risiko yang tinggi sehingga boleh 
menyebabkan tergadai.
 
“Jangan pelik jika mula-mula penyenaraian harga begitu tinggi tetapi akhirnya 
Felda bukan lagi menjadi milik rakyat tempatan kerana semua ini dengan 
ketiadaan pengetahuan dalam permainan saham, harga boleh dipermain sebagai mana 
berlaku ketika kegawatan ekonomi 1998.
 
“Saya bagi contoh ada saham sebuah syarikat iaitu Hwa Tai dulu di bursa saham 
pernah mencecah sehingga RM80 seunit tapi sekarang tak sampai RM2. Jadi itulah 
realiti permainan saham,” katanya. 
 
Razman yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak berkata, tugas Felda sepatutnya 
menjana keseluruhan hasil nilai komoditi daripada 2 juta ekar tanah dan wang 
itulah sepatutnya menjadi “durian runtuh” untuk peneroka, bukannya dengan 
bermain saham. 
 
“Tapi RM6 bilion wang tunai yang pernah dimiliki Felda dulu mana pergi?” 
soalnya.
 
Beliau menarik perhatian, kalau kerajaan berniaga yang terjadi ialah luputnya 
aset awam Bank Bumiputera dan MISC Perkapalan.
 
“Sebab itu, pada saya kalau Felda tidak dipertahankan daripada penyenaraian, 
boleh tergadai. Akhirnya jadilah seperti dalam filem Ali Baba Bujang lapok. 
Ibrahim Pendek lempar dadu sambil berkata mari kita tengok siapa yang kena... 
 
“Akhirnya orang akan kata, lagi-lagi peneroka yang kena...” sambil disambut 
gelak ketawa.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/6970-orang-akan-kata-lagi-lagi-peneroka-yang-kena
  

Kirim email ke