Tinggal dalam pondok usang . 
15 Dis 2011, TEHEL, Jasin - Hanya bergantung kepada pendapatan sekitar RM15 
sehari menjual barangan­ kitar semula, hidup sebuah keluarga di sini ibarat 
‘kais pagi, makan pagi’.
 
Itulah nasib dihadapi keluarga Nordin Ahmad, 35, yang sebelum ini menumpang di 
rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin, mengambil keputusan membina sebuah 
pondok kecil yang hanya ditutupi kanvas.
 
Pondok usang yang terletak bersebelahan rumah keluarganya itu dibina 
menggunakan kayu dan kanvas disumbangkan penduduk kampung serta orang ramai.
 
Nordin berkata, dia adakala pilu mengenangkan nasib keluarganya yang terpaksa 
berteduh di pondok usang bagi melindungi diri daripada cuaca hujan atau panas 
terik.
 
“Meskipun ianya kelihatan usang dan kerap bocor di sana sini, tetapi di sini 
umpama ‘syurga’ buat kami empat beranak untuk meneruskan kehidupan.
 
“Jika hujan lebat, kami sekeluarga akan bersiap sedia meletakkan baldi di 
kawasan yang bocor dan akan tidur secara berhimpit di satu sudut yang tidak 
dibasahi hujan,” katanya.
 
Menurutnya, walaupun menetap bersebelahan dengan rumah keluarga, namun dia 
tidak mampu meminta sepenuhnya pertolongan kerana mereka juga hidup dalam serba 
kekurangan.
 
“Saya mempunyai empat anak, namun dua daripadanya dijaga oleh bekas isteri. 
Saya bertanggungjawab membesarkan dua anak lagi yang masih kecil iaitu Muhammad 
Afiq, 12, dan Muhammad Al-Hafiz berusia 1 tahun setengah.
 
“Bagi membesarkan mereka, saya memerlukan kewangan banyak memandangkan Afiq 
akan memasuki sekolah menengah tahun depan. Saya susah untuk bekerja kerana 
perlu jaga Hafiz yang masih kecil,” katanya.
 
Dia berkata, setiap hari dia akan keluar mencari barangan terbuang untuk dijual.
 
“Kadangkala saya juga menjual petai yang diambil di Senaling dan Inas, Negeri 
Sembilan secara sambilan bagi menampung perbelanjaan kami sekelurga,” katanya.
 
Katanya, mereka sekeluarga pernah beberapa hari tidak mempunyai wang untuk 
membeli makanan kerana pada masa sama, Afiq sedang menerima rawatan di hospital 
gara-gara sebahagian badanya melecur selepas terkena petrol.
“Pada masa itu, semua wang yang saya peroleh terpaksa digunakan untuk membayar 
rawatan Afiq,” katanya.
 
Nordin berkata, kesan daripada kecederaan itu, anaknya tidak boleh mengangkat 
benda yang berat kerana akan merasa perit dan sakit jika permukaan kulitnya 
tegang.
 
“Oleh itu, saya berharap anak saya dapat dipertimbangkan untuk mendapat bantuan 
orang kurang upaya.
 
“Sebelum ini, saya pernah memohon bantuan daripada pihak Majlis Agama Islam 
Melaka (MAIM), namun sehingga kini belum menerima sebarang jawapan­,” katanya.
 
Katanya, kini dia risaukan segala kelengkapan persekolahan anaknya yang belum 
disediakan dan sesi persekolahan baru hanya tinggal beberapa minggu lagi.
 
“Tahun depan Afiq akan melangkah ke sekolah menengah tentu banyak yang perlu 
diganti baru, namun sehingga kini saya masih belum menyediakan kelengkapan 
tersebut,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tinggal-dalam-pondok-usang-1.12523
 

Kirim email ke