Tak cukup dengan kes polis dikaitkan dengan rompakan kedai emas di Terengganu. 
Beberapa anggota tentera didakwa terlibat dengan samun kafe siber di Kuala 
Lumpur, kemudian senapang Steyr milik tentera digunakan dalam rompakan bank di 
Kuala Lumpur. Kini polis pula dituduh melakukan samun menggunakan parang di 
Melaka.
 
Kisah berkaitan sebelum ini di 
http://amkns.blogspot.com/2011/12/guna-senapang-milik-tentera-dalam.html 
 
Lans Koperal didakwa samun remaja
December 21, 2011 
 
AYER KEROH - Seorang anggota polis berpangkat Lans Korperal dan rakannya 
dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam, kerana menyamun seorang remaja di 
sebuah pusat siber, pertengahan November lalu.
 
Ahmad Muzammir Zorkanain, 24, dan rakannya, Mohd Hazhar Baharum, 32, 
bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di 
hadapan Hakim Zaharah Hussain.
 
Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didapati melakukan rompak bersenjata 
menggunakan sebilah parang ke atas Hilary Salisih, 18, dengan merompak wang 
tunai RM1,000 milik sebuah pusat siber.
 
Tertuduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai pusat siber di Taman Rambai 
Jaya, Bukit Rambai, jam 3.55 pagi pada 17 November 2011.
 
Mereka didakwa mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah 
Seksyen 395/397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan 
sebat.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fairuz Syuhada Amran meminta mahkamah 
memberikan jaminan RM10,000 setiap tertuduh dan dikenakan syarat tambahan.
 
Bagaimanapun, Ahmad Muzammir yang diwakili peguamnya A Partheeban, memohon 
mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan dia telah berkahwin dan perlu 
menyara keluarga.
 
Sementara Mohd Hazhar yang tidak diwakili peguam bela juga memohon wang jaminan 
dikurangkan kerana dia berniaga kecil-kecilan dan  bakal menimang cahaya mata.
 
Setelah mendengar permintaan dan rayuan kedua-dua belah pihak, Zaharah 
membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 seorang dan menetapkan tarikh sebutan 
semula kes pada 15 Januari tahun depan.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lans-koperal-didakwa-samun-remaja-1.13834
 

Kirim email ke