Apabila rumah Pengerusi Yayasan
Pencegahan Jenayah pun menjadi sasaran penjenayah, apatah lagi kita
rakyat jelata. Jenayah semakin menjadi-jadi ketika ini. Penjenayah
menyerang sesiapa sahaja tanpa batasan perkauman, bangsa, agama dan
fahaman politik. 

Lima Lelaki Pecah Masuk Rumah Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah NS

SEREMBAN, 6 Jan 2012 (Bernama) - Lima
lelaki memecah masuk rumah pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah
Negeri Sembilan Datuk Goh Siow Huat, 63, di Taman South East Asia,
Rahang di sini Khamis malam sebelum melarikan sepasang jam Rolex,
barangan kemas, wang dan beberapa botol minuman keras yang
dianggarkan bernilai RM100,000.
Goh, yang juga Ketua MCA Bahagian
Rembau, berkata kelima-lima lelaki itu dipercayai masuk rumahnya
melalui satu daripada pintu belakang yang tidak berkunci pada pada
kira-kira pukul 8.15 malam.
"Saya sedang berehat di ruang tamu
setelah makan malam bersama isteri saya Datin Cheng Kiow Hee serta
tiga cucu, dua perempuan dan seorang lelaki berusia 6 hingga 11
tahun, apabila tiba-tiba lima lelaki bersenjata parang dan pisau
menyerbu masuk.
"Kelima-lima lelaki itu memakai
cap (topi) manakala muka mereka ditutup dengan kain. Mereka kemudian
bertindak mengurung isteri dan cucu saya dalam sebuah bilik. Tiga
daripada lelaki itu menyelongkar kesemua bilik bawah dan atas
manakala dua lelaki itu mengugut saya supaya bekerjasama menunjukkan
peti besi kerana jika tidak saya akan dicederakan," katanya
kepada Bernama di sini, Jumaat.
Bekas anggota Parlimen Rasah itu
berkata suspek kemudiannya bertindak memecah peti besi di tingkat
atas dan melarikan sepasang jam tangan Rolex, barang kemas dan wang.
"Suspek turut melarikan beberapa
botol minuman keras di dalam almari pameran. Kerugian dianggarkan
bernilai RM100,000. Kejadian ini kemudian saya laporkan kepada polis.
Walaupun mengalami kerugian, namun saya bersyukur kerana semua ahli
keluarga saya selamat," katanya.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful
Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=638440&cat=tn 

Kirim email ke