Sinar Harian 22 Jan 2012 . ULU KLAWANG,
Jelebu - Akibat menunggu terlalu lama, seorang wanita Orang Asli
jatuh pengsan ketika beratur semasa menuntut baucar wang Bantuan
Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Serambai,
di sini, tengah hari semalam.

Sinar Harian difahamkan, wanita
berkenaan, Ros Geboy, 43, dari Kampung Orang Asli Kelaka hadir ke
dewan itu seawal kaunter itu dibuka iaitu pada jam 8 pagi.

Menurut adiknya, Wahab Geboy, 42,
kakaknya beratur hampir empat jam dari jam 8 pagi hingga kira-kira
jam 12.30 tengah hari.

“Kakak saya tidak menghidap sebarang
penyakit tetapi mungkin disebabkan cuaca yang sangat panas dan
terpaksa beratur panjang menyebabkan dia pengsan.

“Kakak saya pengsan selama setengah
jam sebelum ambulans datang menghantarnya ke Hospital Jelebu,”
katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kakitangan bank yang bertugas
bertindak menuntutkan baucar BR1M milik Ros setelah mendapati dia
pengsan ketika beratur.

“Saya juga keletihan akibat menunggu
terlalu lama tetapi tidak kisah kerana sudah biasa beratur panjang.

“Cuma mungkin disebabkan cuaca panas,
ia menyebabkan orang mudah pening,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati
jumlah penerima yang ramai menyebabkan proses tuntutan baucar memakan
masa hingga ada yang terpaksa beratur di luar dewan.

Dalam pada itu, seramai 488 penerima
baucar BR1M bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang
menghadiri majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Penyampaian baucar itu disempurnakan
Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Pegawai Daerah Jelebu,
Zulkifli Baharan.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pengsan-empat-jam-beratur-1.19566 

Kirim email ke