Januari 26, 2012 . NILAI - Jawatankuasa Tenaga Kerja (JTK) diminta mengambil 
tindakan segera bagi menyelesaikan nasib dihadapi 161 pekerja tempatan sebuah 
kilang elektronik di Kawasan Perindustrian Nilai, di sini yang diberhentikan.
 
Setiausaha Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Negeri Sembilan, Mohamed 
Dauzkaply Nor Ghazali berkata, sehingga kini, JTK seolah-olah mengambil sikap 
tunggu dan lihat.
 
Sedangkan, katanya, mengikut undang-undang, mereka mempunyai kuasa untuk 
membuat keputusan atau tindakan dalam menyelesaikan masalah itu.
 
 “Sebelum ini, MTUC bersama pihak JTK dan wakil daripada kilang sudah pun 
mengadakan perbincangan tetapi saya kecewa kerana apa yang kita tuntut bagi 
membela nasib pekerja tempatan tidak dipersetujui.
 
“JTK seolah-olah tidak menggunakan kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah 
ini yang dianggap mereka remeh. Masalah ini melibatkan nasib pekerja tempatan 
bukannya pekerja asing dan kemana lagi pekerja mahu mengadu kalau bukan dengan 
JTK,” katanya kepada Sinar Harian selepas pekerja terbabit sekali lagi membuat 
piket, semalam selepas tindakan sama dilakukan pada 20 Januari lalu.
 
Semalam, mereka berjalan kaki sambil mengusung keranda sejauh 500 meter 
sehingga depan pintu utama kilang sambil melaungkan ‘di mana keadilan kami’ 
sebagai tanda protes .
 
Mereka berbuat demikian selepas beberapa tuntutan dibuat kepada pihak 
pengurusan syarikat, terutama menggesa supaya menghentikan pekerja asing dan 
mengambil pekerja tempatan.
 
Menurut mereka, isu mereka mahu mengecilkan operasi tidak timbul kerana 
syarikat masih mampu membayar pekerja asing berbanding tempatan.
 
Sementara itu, seorang bekas pekerja, Ahmad Kamal Affendi Shaari, 47, berkata, 
pekerja yang diberhentikan itu akan mengadakan piket secara berterusan, 
sehinggalah pihak pengurusan mengambil tindakan sewajarnya.
 
 “Kita akan adakan piket lagi bagi menunjukkan betapa seriusnya kami dalam 
menentang syarikat yang hanya mengutamakan pekerja asing berbanding tempatan.
 
 “Sepatutnya syarikat perlu mengutamakan kami kerana kami ini adalah rakyat 
negara ini. Malah, sebahagian besar sudah bekerja lebih 10 tahun, tetapi 
malangnya syarikat membuat aniaya pula,” katanya.
 
http://www.sinarharian.com.my/nasional/usung-keranda-tanda-protes-dihenti-kerja-1.20168
  

Kirim email ke