Pelajar Dakwa Duit PTPTN Dirompak Kolej Sendiri 
January 26, 2012 
 
KUALA LUMPUR – Sebuah kolej di Mantin, Negeri Sembilan didakwa ‘merompak’ 
secara senyap duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 
pelajar-pelajarnya.
 
Duit yang sepatutnya untuk kegunaan harian pelajar-pelajar didakwa telah 
diseleweng dengan kaedah ‘debit akaun’ atau dipotong terus daripada akaun 
apabila duit sudah dimasukkan ke dalamnya
 
Menurut Pengarah Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr. Izham 
Nayan, pihak kolej telah  menyeleweng duit pinjaman sebanyak RM18,000 bagi 
setiap seorang pelajar.
 
“ PTPTN telah memberikan sebanyak RM56,000 sebagai pinjaman kepada pelajar 
untuk membayar yuran pengajian sebanyak RM36,000 dan baki pinjaman seharusnya 
digunakan untuk perbelanjaan pelajar sendiri.
 
“Tetapi baki pinjaman itu tidak diterima oleh pelajar, kemana wang itu pergi? 
Saya agak kecewa dengan tindakan kolej tersebut yang ‘merompak’ duit 
pelajar-pelajarnya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
 
Dalam perkembangan yang sama, Hafisza Abdul Ghani, 24, pelajar tahun akhir 
jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan yang mewakili pelajar-pelajar lain yang 
‘ditipu’ berkata, mereka telah dipaksa untuk menandatangani satu borang 
‘tambahan’ yang tidak diketahui tujuannya.
 
Bukan itu sahaja, katanya, pihak kolej langsung tidak memberikan masa yang 
cukup untuk mereka menyemak dan membaca segala peraturan pinjaman PTPTN dengan 
terperinci serta tidak dibenarkan bertanya dengan lanjut akan perihal borang 
‘tambahan’ tersebut.
 
“ Kami dipaksa untuk tanda tangan borang pinjaman dan tak ada masa nak semak 
butir-butir pinjaman termasuklah terpaksa meniru tanda tangan ibu bapa kami. 
Selepas selesai proses itu, baru kami tahu borang tambahan tu sebenarnya borang 
kebenaran memotong duit PTPTN dari akaun kami,” terang Hafisza.
 
Ekoran dari ‘keterpaksaan’ menanda tangani borang pinjaman tersebut, Hafisza 
dan rakan-rakannya terpaksa menanggung ‘derita’ apabila tidak mempunyai sumber 
kewangan yang mencukupi untuk menampung pengajiannya.
 
Malah, katanya, dia terpaksa bekerja sambilan untuk mencari sumber kewangan 
sendiri memandangkan keluarganya tidak dapat membantu meringankan beban yang 
ditanggung.
 
“Selepas proses pinjaman, duit yang masuk dalam akaun RM100 sahaja. Bayangkan, 
apa yang saya boleh buat dengan duit sebanyak tu selama enam bulan setiap 
semester?” terang Hafisza.
 
Sebelum ini, laporan berkenaan isu ini telah pun dibangkitkan dan dua laporan 
polis telah dilakukan pada hujung tahun 2010 dan awal tahun 2011, namun, tiada 
sebarang tindakan polis yang dikenakan terhadap pihak kolej.
 
Mungkin kerana takut imejnya akan terjejas, pihak kolej berkenaan ‘berjanji’ 
akan memulangkan semula duit ‘rompakan’ RM18,000 kepada setiap para pelajar.
 
Tetapi, pihak pengurusan kolej hanya membayar duit berkenaan sebanyak RM9,000 
sahaja kepada lima orang pelajar sebagai menutup ‘mulut’ para pelajar dari 
terus menuntut hak mereka.
 
Pun begitu, pihak kolej sekali lagi berani melakukan penipuan ini dan terus 
menindas hak pelajar-pelajar dengan mengugut akan menjejaskan prestasi 
pembelajaran pelajar-pelajar yang terbabit.
 
Justeru itu, PPIM menggesa Kementerian Pengajian Tinggi tampil dan mengambil 
tindakan tegas terhadap kes ini demi membela nasib pelajar-pelajar di kolej 
tersebut – 
 
Oleh NAIMAH SHAARI / Foto Malay Mail
http://mynewshub.my/2012/01/26/pelajar-dakwa-duit-ptptn-dirompak-kolej-sendiri/ 
 
Kolej `rompak’ duit PTPTN
26/01/2012 7:51pm
 
KUALA LUMPUR - Sekumpulan pelajar sebuah kolej swasta di Negeri Sembilan 
menggesa pihak berkenaan mengambil tindakan terhadap kolej itu, yang didakwa 
mereka “merompak” duit sara diri bulanan pelajar.
 
Kumpulan 432 pelajar tahun akhir itu mendakwa, daripada RM535 sebulan yang 
diberi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), hanya RM100 
ditinggalkan di dalam akaun bank mereka oleh pihak pentadbir kolej tersebut.
 
"Sebelum ini saya dan rakan-rakan yang lain pernah menandatangani satu dokumen 
”direct debit” yang dikeluarkan pihak kolej di awal permohonan untuk membuat 
pinjaman PTPTN,” kata wakil mereka yang mahu dikenali sebagai Fisza.
 
Pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan itu ditemui bersama tujuh lagi pelajar 
kolej tersebut ketika membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia 
(PPIM), di sini hari ini.
 
Kumpulan pelajar itu mendakwa perkara tersebut dialami semua pelajar termasuk 
mereka yang telah menamatkan pengajian.
 
"Kami juga telah membuat dua laporan polis tahun lepas, namun sehingga kini 
tiada tindakan diambil,” katanya yang mendakwa pihak kolej turut mengugut 
mereka agar menarik balik laporan itu jika tidak mahu prestasi pengajian 
terjejas.
 
Menjawab soalan, Fisza berkata, mereka dipaksa menandatangani dokumen ”direct 
debit” itu tanpa diberi penjelasan mengapa langkah tersebut dibuat.
 
Fisza juga mendakwa selepas mendapat tahu ada aduan dibuat terhadap kolej, 
pihak pengurusan bertindak membayar separuh daripada jumlah keseluruhan duit 
sara diri tersebut kepada enam pelajar.
 
Pihak kolej juga meminta pelajar menandatangani dokumen perakuan bahawa mereka 
telah menerima bayaran penuh dan tidak akan membuat sebarang tuntutan lain 
selepas itu, katanya.
 
Kata gadis itu, secara purata setiap pelajar tahun akhir kolej terbabit
 
“kerugian” kira-kira RM18,000 bagi tempoh tiga tahun pengajian.
 
Sementara itu, Pengarah Sekretariat PPIM Dr Izham Nayan berkata tindakan kolej 
terbabit adalah satu penipuan dan pihak berwajib khususnya Kementerian 
Pengajian Tinggi harus mengambil tindakan menyiasat dakwaan pelajar.
 
“PTPTN pula perlu memastikan wang pinjaman yang disalurkan pergi tepat kepada 
sasaran, jangan biarkan kebebasan mutlak pihak pengurusan kolej untuk 
memastikan berapa jumlah wang sara diri yang perlu diberikan kepada para 
pelajar ini,” katanya.
 
- BERNAMA
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0126&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm

Kirim email ke