27 Jan 2012 , KUALA TERENGGANU: Faktor gaji terlalu rendah sehingga ada 
ditawarkan RM400 sebulan menyebabkan warga tempatan terutama golongan muda 
tidak berminat bekerja di negeri ini, sebaliknya berhijrah ke tempat lain 
terutama Kuala Lumpur dan Johor untuk mencari pendapatan lebih baik.
 
Keadaan itu sekali gus memberi peluang kepada majikan menempatkan warga asing 
bagi mengisi kekosongan jawatan ditawarkan dengan memberikan kadar upah rendah.
 
Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Terengganu, Mohd Azmi Muhammud berkata, 
daripada 14,538 jawatan kosong ditawarkan sektor swasta tahun lalu, hanya 6,000 
kekosongan diisi warga tempatan.
 
Menurutnya, statistik itu menunjukkan warga tempatan tidak begitu berminat 
mengisi kekosongan jawatan ditawarkan berikutan faktor upah yang kecil.
 
“Jika dilihat garis kadar pendapatan miskin tegar di negara ini di bawah RM440 
sebulan manakala kadar pendapatan miskin pula di bawah RM750 sebulan.
 
“Saya meminta kerjasama majikan menaikkan kadar upah bersesuaian dengan taraf 
hidup semasa sekurang-kurangnya melebihi kadar kemiskinan bagi mengurangkan 
beban ditanggung penduduk,” katanya. Selain itu, beliau menyeru sektor swasta 
di negeri ini mengurangkan pengambilan warga asing, sebaliknya memberi 
keutamaan warga tempatan mengisi kekosongan jawatan.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RamaihijrahgajicumaRM400/Article/index_html
 

Kirim email ke