7 Februari 2012 , SEREMBAN – Keadilan Cabang Rembau mendakwa mereka diugut 
sekumpulan kira-kira 30 lelaki ketika sedang membuat persiapan ceramah yang 
diadakan di pekan Kuala Sawah, Rantau, malam kelmarin.
 
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, beberapa ahlinya yang sedang membuat 
persiapan majlis didatangi kumpulan terbabit yang ada di antaranya 
bersenjatakan pisau.
 
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau Keadilan Rembau, S.Karupaya 
berkata, ketika itu, dia bersama lima lagi rakannya sedang membuat persiapan 
akhir untuk majlis ceramah yang dijadualkan jam 9 malam di Taman Jed Indah, 
Rantau.
 
“Tiba-tiba sekumpulan kira-kira 30 lelaki menaiki kereta dan motosikal datang 
menghampiri kami sambil mengeluarkan kata-kata ugutan yang mendesak agar kami 
membatalkan ceramah pada malam itu.
 
“Saya nampak tiga daripada mereka membawa pisau. Lantas, kami buat keputusan 
tidak memberi sebarang reaksi kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” 
katanya pada pemberita di sini semalam.
 
Turut serta, Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani dan Timbalan 
Penyelaras Dun Rantau Keadilan Rembau, Daud Idris.
 
Sementara itu Setiausaha Keadilan Cabang Rembau, Norazizi A.Aziz berkata, 
pihaknya kesal dengan insiden itu dan mengesyaki ada campur tangan daripada 
pihak tertentu.
 
“Kami tidak mahu bergaduh dengan sesiapa pun, kami hanya mahu mengadakan 
ceramah menyampaikan maklumat kepada rakyat.
 
“Jadi, kami ambil keputusan batalkan ceramah yang sepatutnya diadakan walaupun 
sudah membuat persediaan dan mendapat permit daripada polis pada 3 Februari 
lalu,” katanya yang turut membuat laporan polis di Balai Polis Rantau akibat 
kejadian berkenaan.
 
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/batal-ceramah-kerana-diugut-1.22312

Kirim email ke