TELOK KEMANG 9 Feb. 2012 - Masalah bekalan minyak masak yang dilaporkan 
meruncing di Lembah Klang kini melanda bandar ini apabila orang ramai dikatakan 
sukar untuk mendapatkan bahan itu.
 
Para peniaga dan orang ramai yang ditemui memberitahu, bekalan minyak masak 
peket sukar untuk diperoleh sejak beberapa bulan lalu sehingga terpaksa 
mengunjungi beberapa kedai di sekitar bandar ini untuk mendapatkannya.
 
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai runcit di sekitar kawasan ini 
mendapati, rak jualan bekalan minyak masak terutama minyak masak peket satu 
kilogram kosong.
 
Seorang peruncit, V. Kumar, 58, berkata, kali terakhir kedainya menerima 
bekalan minyak masak adalah pada Disember tahun lalu.
 
“Walaupun minyak masak kurang dibeli di kedai saya disebabkan berhampiran 
dengan hotel, tetapi kini ada segelintir penduduk yang datang mencari bekalan 
minyak di sini disebabkan kawasan sekeliling kediaman mereka kehabisan 
bekalan,” ujarnya.
 
Seorang lagi peniaga, Lim Jit Huang, 53, berkata, dia juga menghadapi masalah 
mendapatkan bekalan minyak masak peket satu kilogram.
 
“Setiap kali pelanggan datang hanya satu peket dibenarkan dibeli sehingga ada 
pelanggan merungut.
 
“Dahulunya saya mendapat bekalan daripada pembekal sebanyak 100 peket untuk 
sebulan tetapi ia berkurangan menjadi 50 peket dan baru-baru ini 30 peket,” 
ujarnya.
 
Peniaga, R. Balan, 50, pula kesal dengan segelintir pelanggan yang mendakwa 
mereka sengaja menyembunyikan minyak masak sedangkan adalah sukar untuk 
mendapatkan bekalannya daripada pemborong.
 
“Tiada sebab untuk kami berbuat demikian kerana apa yang diberi oleh pembekal, 
itulah yang kami pasarkan. Saya harap masalah ini dapat diselesaikan dengan 
segera kerana minyak masak merupakan antara keperluan harian yang penting,” 
tambahnya.
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm
 

Kirim email ke