Renungan buat semua samseng/mafia/gangster politik yang kehilangan hidup
bertamadun
Abim gesa henti keganasan politik
Harakahdaily,
29 Feb 2012
KUALA LUMPUR, 29 Feb: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ingin melahirkan
kesal dan kecewa dengan beberapa insiden keganasan politik yang berlaku
semenjak kebelakangan ini.
Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, berdasarkan dari pengamatan pihak Abim,
gejala keganasan politik itu tampak semakin menggejala terutama sekali dalam
suasana teka-teki tarikh Pilihanraya Umum ke-13 yang semakin rancak
diperkatakan.
“Insiden-insiden bermotif politik semakin kerap berlaku kebelakangan ini
seperti mengganggu ceramah dan penerangan politik, mengakibatkan kecederaan
fizikal dan kemusnahan harta benda, serta memecah masuk premis dan rumah tokoh
politik, telah menyorot perhatian dan mencetuskan kebimbangan para pengamat
politik serta rakyat secara umumnya,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ini, katanya jelas menunjukkan ketidakmatangan budaya politik di peringkat akar
umbi dan keluhuran demokrasi.
Beliau berkata, tambah mendukacitakan perkembangan itu terjadi ketika negara
sedang menyaksikan keterbukaan wacana politik di kalangan para pemimpin serta
parti-parti politik di negara ini.
Menruutnya, insiden-insiden keganasan politik yang berlaku kebelakangan ini
seharusnya menyedarkan para pemimpin politik bahawa para pendukung politik di
peringkat akar perlu dididik serta dilatih, untuk mengamalkan budaya politik
terbuka serta matang.
Dalam erti kata lain, ujarnya gagasan serta idealisme politik yang sering
dicanangkan oleh para pemimpin politik tidak ubah sebagai retorik kosong
semata-mata sementelahan amalan politik akar umbi terus-terusan dizahirkan
menerusi kebobrokan akhlak, gejala fitnah memfitnah yang mengaibkan seteru
politik, keganasan, caci maki dan ugutan.
Justeru, katanya Abim menyeru pimpinan politik supaya mendidik serta mengawal
perilaku serta akhlak tindak tanduk politik para penyokong masing-masing agar
menjunjung tinggi prinsip Kedaulatan Undang-undang sepertimana yang digariskan
dalam Rukun Negara.
Beliau menambah, selain integriti kepimpinan politik, amalan demokrasi yang
positif turut menekankan peri pentingnya budaya kepengikutan yang bersandarkan
nilai-nilai moral dan keagamaan yang menghormati tidak sahaja kawan tetapi juga
lawan.
“Abim berharap agar insiden-insiden ini tidak berulang di masa hadapan taktala
negara sedang meniti detik-detik getir menjelang Pilihanraya Umum Ke-13.
“Kita tidak mahu insiden-insiden keganasan politik yang sering berlaku di luar
Negara menggejala lantas mencemarkan kestabilan, keamanan dan keharmonian
negara kita,” katanya lagi.
Justeru, tambah beliau Abim menggesa agar pihak berwajib memelihara hak-hak
bersuara serta berhimpun seperti yang termaktub di dalam perlembagaan
persekutuan serta mengambil tindakan keras terhadap mana-mana pihak yang cuba
mencetuskan keganasan politik secara adil dan tanpa memilih bulu.
Sesungguhnya, kata beliau rakyat sudah jelik dengan amalan politik ‘matlamat
menghalalkan cara’ yang semakin berleluasa dan menyeru semua pihak memainkan
peranan untuk membawa rakyat kembali berpegang kepada prinsip ‘Negara Barakah’
yang menjunjung tinggi prinsip, nilai akhlaq serta etika dan moral.