Mac 5, 2012  
 
Seseorang penduduk Orang Asli dari suku Temuan kecewa bahawa permohonan Bantuan 
Rakyat 1Malaysia (BR1M)  beliau telah ditolak walaupun beliau tidak mempunyai 
sebarang pendapatan.
 
Dewi Malam, 52, dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas di Hulu Langat, Selangor, 
berkata beliau menerima jawapan daripada Kementerian Kewangan pada 16 Februari 
yang mengatakan bahawa beliau tidak layak untuk menerima bantuan berkenaan.
 
"Saya tidak mempunyai pendapatan tetap sejak tujuh tahun yang lalu. Jika 
kerajaan tidak mahu beri wang, tidak ada masalah, tetapi jangan nafikan hak 
orang yang benar-benar memerlukan bantuan," kata Dewi.
 
Dalam satu temu bual dengan Malaysiakini.tv, Dewi berkata tangan kirinya 
mengalami kecacatan sehingga menyukarkan mendapatkan pekerjaan.
 
Antara alasan penolakan permohonan BR1M yang diberikan adalah bahawa gaji Dewi 
tidak berada di bawah paras RM3,000, dan namanya tidak berada dalam senarai 
pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
 
Beliau kemudian mengeluarkan kad pengenalan untuk membuktikan 
kewarganegaraannya.
 
'JPN dakwa saya bukan rakyat Malaysia'
 
"Apa yang dimaksudkan JPN... bermakna saya bukan rakyat Malaysia dan bukan 
seorang pengundi di negara saya sendiri.
 
"Selepas negara ini maju, mereka mahu menyingkirkan orang-orang seperti diri 
saya," kata bapa kepada empat orang anak yang melakukan kerja-kerja am bagi 
menyara keluarganya.
 
Anak-anak Dewi berumur 16, 17, 25 dan 27 tahun dan seorang daripada mereka 
menghadapi masalah jantung kongenital.
 
Dua anaknya yang sulung, masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan pengawal 
keselamatan manakala dua yang lain masih di bangku persekolahan, tetapi Dewi 
tidak mampu untuk menampung perbelanjaan pendidikan mereka.
 
BR1M adalah bantuan RM500 daripada kerajaan kepada isi rumah yang berpendapatan 
kurang daripada RM3,000 sebulan. Ia hanya dibayar sekali sahaja.
 
Bulan lalu, pengerusi MCA Bahagian Bera Datuk Tang Hock Lok, menimbulkan 
kejutan apabila beliau juga disenaraikan untuk layak menerima bantuan RM500 
daripada kerajaan.
 
Walau bagaimanapun, Tang menafikan wujudnya sebarang unsur penipuan. Katanya, 
niat beliau memohon adalah untuk mendermakan wang berkenaan kepada pihak 
kebajikan.
 
http://malaysiakini.com/news/191127 

Kirim email ke