19 Mac 2012 -SAYA adalah warganegara
Malaysia berstatus bumiputera berumur 33 tahun yang masih belum
memiliki lesen memandu hingga saat ini. Tujuan utama saya menulis dan
meluahkan perasaan saya dalam Forum Utusan Malaysia ini adalah
semata-mata untuk memohon pertolongan dan seterusnya membuka mata
hati dan perasaan pihak jabatan kerajaan terutama Jabatan
Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM Cawangan
Trafik), bahagian Majlis Keselamatan Jalan Raya dan pihak berkuasa
daripada kementerian berkaitan.
Saya bukan tidak mampu untuk memiliki
lesen memandu. Saya tahu sesetengah pusat latihan memandu ada
menyediakan kemudahan bayaran secara ansuran, malah harga untuk
memiliki lesen motosikal pun murah hanya RM211 sahaja. Oleh kerana
saya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan, saya
ingin memiliki lesen memandu yang sah dengan menggunakan wang bantuan
tersebut.
Sebelum ini, saya bukan tidak mahu
mengambil lesen memandu bahkan itulah yang saya impikan dalam hidup
untuk memilikinya kerana bagi saya tanpa lesen memandu hidup saya
sangat terseksa.
Suatu hari, saya pernah mendaftar untuk
mengambil lesen memandu motosikal dan kereta. Saya membayar RM100
untuk pendaftaran tersebut. Saya menghadiri dan mendengar sesi
taklimat pukul 8 pagi. Saya diberi tarikh untuk menghadiri hari ujian
berkomputer di RILEKS. Bila tiba harinya, saya orang paling awal tiba
di pejabat RILEKS walaupun pejabatnya belum dibuka. Setelah dibuka,
nama saya tidak dipanggil, berjam-jam saya menunggu. Orang lain
datang kemudian yang dipanggil.
Saya bergegas ke kaunter dan bertanya
kenapa nama saya tidak dipanggil sehingga tinggal saya seorang sahaja
di situ? Dengan tindakan segera seorang kerani di situ menghubungi
pegawainya melalui telefon. 

Hampir 10 minit mereka berbincang di
dalam talian. Akhirnya kerani tersebut memberitahu kepada saya, nama
saya tidak disenaraikan dalam senarai calon ujian kerana saya
mempunyai beberapa saman tertunggak kerana kesalahan trafik (saman
tiada lesen memandu sebelum ini). Saya diarahkan untuk melangsaikan
kesemua saman tersebut hingga nama saya bersih dalam sistem komputer.
Saya sangat kecewa, kenapa ada
undang-undang yang tidak benarkan pesalah trafik mengambil lesen
memandu walaupun mempunyai saman tertunggak. Untuk pengetahuan, saya
mempunyai saman trafik yang tertunggak melebihi RM3k. Kini saman saya
kian bertambah sehingga sekarang.
Saya juga pernah tiga kali dikejar
polis kerana melarikan diri dari sekatan jalan raya, saya lari kerana
tiada lesen memandu dan saya bersyukur kerana saya terlepas.
Saya berpendapat lesen memandu boleh
mengubah taraf hidup seseorang itu kearah yang lebih baik, malah
lesen memandu juga boleh menjadikan seseorang rakyat Malaysia
mencapai pendapatan yang lebih stabil. Saya yakin ramai yang senasib
dengan saya sukar mencari pekerjaan tanpa lesen memandu. 

Dengan adanya lesen memandu seseorang
itu boleh memohon pekerjaan sebagai penghantar surat, penghantar
Pizza, pemandu van kilang, pemandu peribadi atau pemandu lori yang
menjanjikan pendapatan bulanan RM1,000 hingga RM2,500 atau lebih. 

Tetapi itu semua hanya impian jika
mereka mempunyai lesen memandu.
Kini saya hidup dalam ketakutan kerana
sekarang saya mempunyai 12 saman trafik yang mana kesemuanya
kesalahan tiada lesen memandu.
Semakin hari semakin bertambah saman
saya. Sedangkan saya memang tak mampu membayar saman kerana bekerja
sendiri dan mempunyai tanggungan.
Saya beroleh pendapatan kurang dari
RM700.
Saya merayu agar dapat memansuhkan
semua saman tertunggak bagi memudahkan rakyat memiliki lesen memandu
yang sah. Saya juga merayu kepada pihak kementerian terbabit agar
meneliti dan bersimpati dengan kes seperti ini.
Saya yakin masih ada ribuan rakyat lagi
yang menderita tiada lesen memandu yang sama senasib seperti saya.
Janganlah menghalang rakyat mengambil lesen memandu disebabkan saman
tertunggak mereka kerana selagi mana seseorang rakyat itu tidak
berkemampuan membayar saman selagi itu jugalah samannya akan
bertambah serta jumlah yang perlu dibayar kian tertunggak.
Situasi ini boleh memberi impak yang
negatif hingga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan
perasaan, kemurungan dan merasa gemuruh jika berdepan dengan sekatan
jalan raya oleh polis trafik atau JPJ. Ada dan akhirnya dia berpatah
balik kemudian berlaku kemalangan maut, padahal dia bukanlah tidak
mahu mengambil lesen sebelumnya tetapi tidak dibenarkan oleh
undang-undang untuk mendapatkan lesen akibat saman tertunggaknya.
Jika semua rakyat mempunyai lesen
memandu, saya yakin rakyat mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang
tetap dan terjamin serta perjalanan mereka di jalanraya dalam situasi
yang aman.
Kepada sesiapa mempunyai masalah sama,
sila emelkan kepada [email protected]. Saya akan salin
dan lekat emel anda dan akan menyiarkan dalam sebuah blog yang akan
dibangunkan kelak.
Kami bukan pembangkang, tetapi kami
akan menyokong kerajaan jika transformasi berlaku ke atas status
saman kami. Kami hanya mahu lesen sahaja. Tolonglah.

Oleh KAMEN RIDER 1MALAYSIA, DUN Chenor,
Pahang

Sumber : 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm
 

Kirim email ke