Harakahdaily - REMBAU, 25 Mac 2012 : PAS Rembau mendakwa janji BN untuk membina 
hospital di daerah itu suatu penipuan semata-mata kerana tapak yang dipilih pun 
tidak sesuai.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakop berkata, BN hanya 
ingin menyedapkan hati rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13 dengan 
mengumumkan tender projek pembinaan Hospital Rembau akan dibuka pada April.
 
Sedangkan katanya, upacara meletakkan batu asas telah dilakukan  menjelang 
pilihan raya umum 2008 oleh calon BN ketika itu, Khairy Jamaluddin.
 
"Khairy Jamaluddin sewaktu berkempen pilihan raya 2008 janji dengan rakyat nak 
buat hospital. Tapi nak masuk pilihan raya ke-13, baru nak letak papan tanda. 
Ini pembohongan semata-mata.
 
"Hospital tak sesuai buat di situ sebab itu tanah industri, bukan tanah untuk 
buat hospital. Banyak kilang industri di situ dengan bahan buangan dan asap 
kilang, sesuai ke nak bina hospital? Persekitaran tidak bersih. Nanti orang 
sakit bertambah sakit," katanya sewaktu berceramah di Kampung Mulia, Pekan 
Rembau.
 
Baru-baru ini, pengumuman Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad 
Hasan menimbulkan beberapa persoalan.
 
Janji dibuat pada 2008 tetapi  tender hanya akan dibuka pada April ini.
 
Kos pembinaan Hospital Rembau ini ialah RM 100 juta pada 2008 tetapi dijangka 
meningkat pada tahun ini dan siapa yang akan bertanggungjawab dengan 
peningkatan kos tersebut.
 
Bagi peluang kepada Pakatan
 
Justeru, rakyat Rembau diseru memberi peluang kepada Pakatan Rakyat untuk 
memerintah Negeri Sembilan agar kebajikan mereka terbela.
 
"Di Negeri Sembilan Pakatan Rakyat ada 15 kerusi daripada 36 kerusi. Kalau kita 
boleh kekalkan 15 kerusi ini dan kita tambah empat kerusi lagi kita bolehlah 
memerintah Negeri Sembilan.
 
"Cubalah sekali pangkah Pakatan Rakyat. Kalau pakatan buat tak elok, boleh 
tendang kita. Berubahlah, menangkan Pakatan Rakyat," katanya yang juga bekas 
timbalan pengarah Bank Negara.
 
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Rembau, Rozmal Malakan berkata, 
manifesto Pakatan Rakyat iaitu “Pakatan Rakyat Prihatin Rakyat” - Tonggak Nan 
Sembilan menjamin hak rakyat terhadap pemilikan tanah.
 
"Pakatan Rakyat dalam manifesto yang dilancarkan pada 15 Januari lalu, dalam 
tonggak 3 rakyat nan bertelapak ada dinyatakan tentang memperkasa dasar 
penggantian tanah rezab Melayu yang diambil kerajaan.
 
"Kerajaan sibuk tanah rezab Melayu di Kelantanlah, di manalah,  tapi tengok 
tanah di Rembau ini kerajaan ambil seekar dapat tak ganti seekar?
 
"Ambil seekar dapat RM50,000 rumah pun tak dapat nak beli," katanya.
 
Antara lain dalam tonggak 3 ialah menukar tanah tempat kediaman milik pajakan 
(leasehold) kepada milik kekal (freehold) dan memberi milik kepada pemegang 
tanah TOL (kecuali rizab jalan, sungai dan seumpamanya) yang telah diusahakan 
atau diduduki selama 25 tahun ke atas.
 
Turut berceramah malam tadi ialah Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat, 
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi, Ketua 
Muslimat PAS Rembau Norwani Ahmad dan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia 
(SAMM) Dr. Ahmad Suhaimi Md Aris.
 
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/9071-hospital-rembau-2008-batu-asas-kini-papan-tanda
 

Kirim email ke