4 April 2012, KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat produksi mendakwa kerugian 
lebih RM40,000 selepas disamun sekumpulan lima lelaki dipercayai anggota polis 
ketika memandu kenderaan disewa syarikatnya di Jalan Tangsi, di sini, 19 Mac 
lalu.
 
Lebih mengecewakan lelaki terbabit, dia bukan saja disamun, malah turut dipukul 
dan dikurung lebih 12 jam di sebuah hotel di ibu negara sebelum dibebaskan dan 
diperas ugut lima lelaki terbabit.
 
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Alif, 22, berkata, kejadian berlaku jam 
10.45 malam ketika dia memandu Honda Civic yang disewa sebelum dihalang sebuah 
van.
 
“Beberapa saat selepas itu, empat lelaki turun daripada van berkenaan sambil 
seorang daripada mereka menunjukkan kad kuasa polis dan mengarahkan saya keluar.
 
“Saya enggan menurut kehendak mereka, namun seorang daripada lelaki itu 
merosakkan pemegang pintu kenderaan sebelum memaksa saya duduk di belakang 
manakala seorang lagi memecut kenderaan berkenaan,” katanya yang datang ke 
Balai Berita, semalam.
 
Alif berkata, dia dibawa ke Stadium Badminton Cheras, kononnya untuk berjumpa 
seorang lelaki berpangkat sarjan mejar bagi menyelesaikan masalahnya.
 
Beberapa minit selepas itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai sarjan mejar 
muncul dan memberitahu mangsa melakukan pelbagai kesalahan dan perlu membayar 
RM50,000 jika mahu rekod kesalahannya dipadam.
 
“Mereka merampas dompet sebelum menumbuk dan menendang perut saya. “Saya dibawa 
ke dua bank di Jalan Tun Perak dan Jalan Raja Laut untuk mengeluarkan RM3,000 
dan RM5,000.
 
“Lelaki terbabit memberitahu wang itu tidak cukup untuk memadam rekod kesalahan 
lampau saya dan mengarahkan supaya saya meminjam duit daripada sesiapa untuk 
diberikan kepada mereka, namun saya hanya mendapatkan tambahan RM3,000 daripada 
seorang rakan,” katanya.
 
Tidak cukup dengan itu, Alif dibawa ke perkarangan Balai Polis Pudu di Cheras 
untuk berjumpa seorang lagi lelaki mengaku cif inspektor dan memberitahu wang 
yang diberikannya sebanyak RM16,450 masih tidak mencukupi.
 
Alif kemudian dibawa ke sebuah hotel di Jalan Raja Laut dan dikurung dengan 
tangan bergari sambil dijaga tiga lelaki yang tidak dikenalinya.
 
“Keesokan harinya, jam 8.30 pagi, dua lelaki mengaku koperal dan sarjan membawa 
saya keluar untuk mengeluarkan lagi wang dari dua bank di Sentul Raya sebanyak 
RM 8,000,” katanya.
 
Menurutnya, akibat bimbang keselamatannya, dia mengambil masa sehari sebelum 
melaporkan perkara itu kepada polis di Balai Polis Tun H S Lee, di sini, pada 
21 Mac lalu.
 
Sebaik saja mendapat tahu mangsa membuat laporan polis, lelaki terbabit 
meninggalkan kereta yang dilarikan mereka di sebuah stesen minyak di Jalan 
Kuching.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) 
Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, mengesahkan menerima laporan 
itu dan berkata empat suspek ditahan dan dua daripadanya anggota polis. 
Katanya, anggota terbabit kini digantung tugas dan kes disiasat mengikut 
Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pemilikproduksidakwadisamunpolis/Article/index_html

Kirim email ke