Rabu April 25, 2012 
 
KUALA LUMPUR: Bakal pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan 
meneruskan pengajian di tingkatan enam atau program matrikulasi bermula Mei ini 
boleh memohon penangguhan bagi mengikuti PLKN Kumpulan 2 Siri 9/2012.
 
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang 
Kechil hari ini berkata bakal pelatih berkenaan bagaimanapun perlu mengisi 
borang permohonan yang boleh diperolehi di kaunter khidmat pelanggan JLKN atau 
dimuat turun dari laman web rasmi JKLN www.khidmatnegara.gov.my
 
Beliau berkata setelah borang tersebut dilengkapkan, ia hendaklah dikepilkan 
bersama surat tawaran kemasukan ke tingkatan enam atau program matrikulasi 
sebelum dihantar ke Cawangan Pengecualian dan Penangguhan, Bahagian Pengurusan 
Pelatih, JLKN.
 
"Penangguhan sehingga tamat tempoh pengajian akan diberikan kepada pemohon. 
Bagi mereka yang akan menyambung pengajian selepas tamat tempoh penangguhan 
tersebut, mereka perlulah mengisi Borang Permohonan Pembaharuan Penangguhan 
melalui proses yang sama," katanya dalam kenyataan. - BERNAMA
 
http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2012/4/25/mstar_berita/20120425205758&sec=mstar_berita
   

Kirim email ke