27 April 2012 - SIMPANG RENGGAM: Atap bocor dan berlantaikan tanah liat, namun 
bagi dua beranak, Zainab Yusuf, 92, dan Mohd Razali Md Zain, 52, pondok usang 
umpama reban ayam itu adalah kediaman terbaik untuk mereka berteduh sejak lebih 
30 tahun lalu.
 
Lebih malang, dua beranak itu tidak mendapat bekalan elektrik dan air bersih 
berikutan permohonan mereka mendapatkan geran tanah didakwa ditolak sedangkan 
keluarga berkenaan antara peneroka pertama Kampung Pisang, Ulu Benut, Simpang 
Renggam di sini.
 
Razali berkata, sejak tinggal di kampung itu 38 tahun lalu, mereka tidak pernah 
menikmati bekalan elektrik dan air bersih.
 
“Setiap kali membuat permohonan geran tanah, kami bukan saja tidak dilayan, 
malah permohonan itu ditolak mentah-mentah.
 
“Ia tidak masuk akal kerana ibu dan bapa saya antara kumpulan pertama meneroka 
kawasan perkampungan ini dan lebih menghairankan, jiran di kawasan berhampiran 
mendapat geran tanah disusuli kemudahan elektrik serta bekalan air,” katanya.
 
Menurut Razali, keluarganya hidup dalam kesusahan dan bergantung kepada bantuan 
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zainab sebanyak RM300 sebulan.
 
Razali pula memaklumkan dia hanya menguruskan kebun kecil di belakang rumah dan 
tidak boleh bergerak jauh kerana tiada orang menguruskan Zainab.
 
“Ibu yang uzur hanya boleh bergerak dengan bantuan tongkat dan setiap hari 
hanya makan cucur tepung dan mi segera.
 
“Saya pernah maklumkan masalah dihadapi ini kepada pihak berkuasa namun kami 
tidak pernah dibantu malah ada sekali, pihak berkuasa datang bersama polis 
seolah-olah kami melakukan kesalahan besar.
 
“Saya harap ada pihak tampil memberikan bantuan dan bukannya menunggu majlis 
tertentu untuk berbuat demikian,” katanya.
 
Sementara itu, Zainab berkata, tiada pihak sudi datang menghulurkan bantuan 
kepada mereka dua beranak dan dia melakukan sendiri kerja rumah mengikut 
kemampuannya.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/38tahuntiadaair/Article/index_html 

Kirim email ke