Kenapa tanah dan rumah yang dibina atas tanah adat di Negeri Sembilan ini banyak yang terbiar? Blogger Anak Rembau yang mahir selok belok dalam Adat Perpatih mempunyai pandangan serta rumusan yang menarik, antaranya ;
Beliau meminta pembaca blog memikirkan beberapa persoalan yang dikemukakan di bawah : 1.Adakah benar penghijrahan merupakan punca tanah terbiar di Negeri Sembilan? 2.Sejauhmanakah kefahaman mengenai tanah adat di kalangan masyarakat Negeri Sembilan baik di kalangan penyandang pusaka adat mahupun anak-anak buah? 3.Apakah fungsi penyandang-penyandang pusaka adat di dalam memajukan tanah adat? 4.Sejauh manakah semangat kekeluargaan yang dikatakan hebat di kalangan masyarakat Adat Perpatih? 5.Adakah semangat ini masih wujud? Kekeliruan ini timbul kerana ramai yang tidak mengetahui bahawa perempuan hanyalah sebagai penama bukan pemilik mutlak tanah tersebut. Ini diburukkan lagi apabila di dalam geran tidak dinyatakan nama suku seolah-olah menunjukkan tanah tersebut adalah milik individu. Setiap geran hanya mempunyai cop "Tanah Adat". Perkara yang sama juga berlaku sekiranya tanah adat diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. Pampasan tidak boleh dimiliki sepenuhnya oleh penama di mana ia perlu dibahagikan secara faraid mengikut syarak. Pemegang amanah bagi pampasan tersebut adalah Dato' Lembaga Suku. Dato' Lembaga perlu bijak di dalam urusan pembahagian pampasan di kalangan waris yang masih ada bagi mengelakkan perkelahian dan perebutan hasil pampasan. Penjelasan ini menimbulkan persoalan di dalam pemikiran saya adakah benar resolusi telah berada di Pejabat Tanah dan Galian atau masih berada di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri tanpa tindakan yang diambil atau tidak dihantar. Adakah ia hanya sekadar bengkel, resolusi dan kertas cadangan. Isu tanah adat ini telah dibengkelkan sejak dari tahun 1994 sehingga sekarang. Diantara resolusi-resolusi yang dibuat dan boleh diambil tindakan segera :- •Nama suku di dalam geran tanah perlu diletakkan. •Berikan tanah gantian selain daripada pampasan •Setiap pengambilan tanah adat perlu dimaklumkan kepada Dato' Lembaga agar tidak timbul masalah di dalam pembahagian pampasan. •Agensi yang ingin mengusahakan tanah adat perlu memaklumkan kepada Dato' Lembaga bagi mengelakkan sebarang masalah di masa yang akan datang. •Tanah Rezab Melayu dan Tanah Adat perlu diteliti oleh ADO Tanah, Pejabat Tanah Daerah sebelum sebarang keputusan diambil. Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada YAB Menteri Besar dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri :- •Dato'-Dato' Lembaga perlu dilibat di dalam JKKK sebagai jawatankuasa yang dilantik bagi memudahkan membincangkan pembangunan yang melibatkan tanah adat. •Berikan kursus atau penerangan kepada semua Dato'-Dato' Lembaga mengenai Enakmen Tanah Adat Bab 215 agar pembesar-pembesar memahami tanah adat dari segi adat dan juga undang-undang berdasarkan Kanun Tanah Negara. •Kerajaan Negeri perlu memasukkan modul mengenai Adat Perpatih di dalam Kursus Induksi kakitangan baru. •Agensi-agensi yang memajukan tanah adat perlu memaklumkan Dato' Lembaga bagi mengelakkan kekeliruan. •Sekiranya ada syarikat atau individu yang ingin memajukan tanah adat, ia perlu mendapat kebenaran daripada agensi yang berkenaan dan memaklumkan kepada Dato' Lembaga bagi mengelakkan penipuan dan manipulasi. Artikel penuh di http://nagarinansembilan.blogspot.com/2012/06/tanah-adat-terbiar-atau-dibiar.html

