Harapkan pagar, pagar makan padi. Kebimbangan rakyat mengenai tahap keselamatan 
di negara ini makin meningkat hari demi hari. Apatah lagi yang terlibat dalam 
kes jenayah ialah mereka yang sepatutnya melindungi orang awam. Penjenayah 
begitu mudah memiliki senjata api hanya dengan RM500, sedangkan orang awam, 
terutamanya orang kampung yang ada kebun atau dusun begitu susah untuk 
mendapatkan lesen senjata api, untuk mengawal musuh tanaman terutamanya babi 
hutan.
 
Anggota Rela buat sewaan pistol ditahan
 
4 Julai 2012 - Seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) ditahan 
polis bersama sepucuk pistol jenis Revolver dan enam butir peluru di tepi jalan 
dekat Taman Gambang Damai di sini, kelmarin.
 
Suspek yang berusia 48 tahun itu dipercayai memberi perkhidmatan penyewaan 
pistol tersebut dengan mengenakan bayaran hanya RM500.
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner T. 
Narenasagaran berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian kira-kira pukul 
10.45 malam kelmarin setelah menerima maklumat berkenaan.
 
Ketika ditahan, suspek yang dipercayai sedang menunggu seseorang di tepi jalan 
itu cuba melarikan diri namun berjaya diberkas setelah bergelut dengan anggota 
polis.
 
''Hasil pemeriksaan lanjut, sepucuk pistol Revolver dan enam butir peluru 
ditemui terselit di pinggang suspek.
 
''Lanjutan itu, polis telah menyerbu rumah suspek yang terletak tidak jauh dari 
tempat kejadian sebelum menemui 10 butir lagi peluru pistol itu dan sepucuk 
senapang patah milik Rela bersama 30 butir peluru selain sebuah komputer 
riba,'' katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) negeri di 
sini semalam.
 
Kata beliau, pihaknya percaya pistol yang disewakan suspek itu telah digunakan 
dalam beberapa kes samun bersenjata di sekitar Kuantan.
 
Katanya juga, siasatan awal mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah 
telah menjalankan aktiviti penyewaan pistol berkenaan sejak dua bulan yang lalu.
 
''Pistol itu juga dipercayai dibeli suspek dari seorang kenalannya dari 
Thailand di Rompin beberapa bulan lalu dengan harga RM500 dan komputer riba 
yang ditemui itu pula didakwanya diberi salah seorang pelangannya sebagai 
tukaran bagi bayaran sewa pistol,'' katanya.
 
''Hasil tangkapan ke atas suspek, kita percaya beberapa kes samun di sekitar 
Kuantan dapat diselesaikan dan polis kini memburu beberapa lagi suspek yang 
dipercayai terlibat dengan kes berkenaan. - UTUSAN
 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_08.htm
 

Kirim email ke