10 Julai 2012 : Kemelut perlantikan Imam Masjid Lenggeng sejak awal tahun ini 
semakin parah apabila 10 daripada 11 Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid tersebut 
membuat laporan polis di Balai Polis Lenggeng pagi ini.
 
Dalam laporan polis tersebut Mohd Fahmy Mohd Tamin, 70, yang mewakili AJK 
masjid; lima Datuk-Datuk Adat Lenggeng (pemimpin setempat mengikut hirarki 
sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan) dan 220 ahli kariah masjid; mendakwa 
salah laku tiga individu di dalam Jawatankuasa masjid tersebut menyebabkan urus 
tadbir Masjid Lenggeng menjadi celaru dan kucar kacir sejak awal tahun ini.
 
“Nazir Masjid, Mad Nor Ibrahim; Setiausaha Masjid, Osman Rasul dan AJK Masjid 
yang juga Ketua Umno cawangan Lenggeng, Zulkifli Rashid tidak akur dengan 
keputusan majoriti AJK masjid menghantar dua nama kepada Jabatan Agama Islam 
Negeri Sembilan (Jains).
 
“Kami menghantar nama Said Abdul Ghani sebagai calon Imam 1 dan Ustaz Azman 
Baharom sebagai calon Imam 2. Said mempunyai pengalaman sebagai Bilal selama 16 
tahun dan sebagai Imam selama empat tahun.
 
“Walaubagaimanapun Mad Nor, Osman dan Zulkifli membelakangkan keputusan AJK 
Masjid dan menghantar dua nama lain iaitu Nordin Yusof dan Ali Hamzah. Nordin 
menolak tawaran tersebut sementara Ali pula diisytiharkan sebagai Pemangku Imam 
1 oleh Mad Nor, Osman dan Zulkifli.
 
“Tetapi apa yang pelik sehingga hari ini tiada surat hitam putih daripada Jains 
yang mengesahkan pelantikan Ali sebagai Pemangku Imam 1.
 
Kes masih disiasat 
 
“Saya sudah berjumpa pegawai yang berkenaan di Jains dan jawapan yang mereka 
berikan bahawa kes ini masih disiasat dan meminta saya bersabar,” kata Mohd 
Fahmy.
 
Apabila ditanya FMT mengapa 10 AJK Masjid termasuk Mohd Fahmy, Datuk-Datuk 
Undang Lenggeng dan 220 ahli kariah masjid tidak mahu menerima Ali sebagai 
Imam; Fahmy menjelaskan bahawa bacaan sembahyang dan tajwid oleh Ali tidak 
sempurna dan sering berlaku kesilapan di dalam bacaan beliau.
 
Mohd Fahmy juga mendakwa ada tangan ghaib dan campurtangan politik di dalam 
kemelut ini.
 
“Said dituduh sebagai orang PAS. Saya dan beberapa AJK masjid merupakan ahli 
Umno. Bagi kami tidak penting apa fahaman politik Imam.
 
“Ahli kariah tidak peduli apa fahaman politik Imam. Yang kami peduli ialah ilmu 
Imam itu mestilah mencukupi dan mampu mengendalikan bacaan sembahyang dan 
tajwid dengan sempurna.
 
“Justeru itu kami mendesak pihak Jains segera mengistiharkan keputusan panel 
temuduga pegawai masjid (Imam) yang diadakan pada 28 Mac 2012. Kami mendapat 
maklumat bahawa calon yang kami cadangkan iaitu Said dan Azman berjaya terpilih 
sebagai Imam”, jelas Mohd Fahmy.
 
Sumber : 
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/07/10/kemelut-imam-masjid-lenggeng-semakin-parah/

Kirim email ke