Harian Metro 18 Julai 2012 - Penyamun tumbuk muka : Seorang lelaki warga emas 
menerima 10 jahitan di bibir akibat ditinju seorang penyamun yang cuba merampas 
beg galasnya di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bandar Utama di 
sini, malam kelmarin.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang juga peniaga berusia 69 
tahun, berjalan bersama isterinya berusia 50-an menuju ke kereta mereka apabila 
dihampiri seorang lelaki dari belakang.
 
Lelaki itu cuba merampas beg galas mangsa, namun gagal kerana mangsa memegang 
kuat beg berkenaan menyebabkan suspek berang lalu menumbuk muka mangsa 
bertubi-tubi sehingga mulutnya berdarah.
 
Melihat suami cedera teruk, isterinya menjerit meminta tolong menyebabkan 
suspek melarikan diri tanpa sempat mengambil beg atau barangan berharga mangsa.
 
Kejadian berkenaan mendapat perhatian segelintir pengunjung pusat beli-belah 
itu akibat kekecohan di tempat letak kereta selain tompokan darah mangsa yang 
banyak di atas lantai.
 
Beberapa pengunjung turut merakam kejadian berkenaan menggunakan kamera telefon 
bimbit dan memuat turun gambar mangsa yang cedera bersama tompokan darah di 
lantai ke facebook sehingga mencetuskan kegemparan di kalangan pengguna laman 
sosial itu, pagi semalam.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi 
Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.09 malam dan sepasukan 
polis tiba ke tempat kejadian 10 minit kemudian.
 
“Mangsa cedera di bibir akibat ditumbuk suspek iaitu seorang lelaki dipercayai 
rakyat tempatan. Namun, beg miliknya gagal dilarikan lelaki itu.
 
“Polis membawa mangsa ke hospital untuk rawatan dan dia dia membuat laporan 
polis jam 11 pagi tadi (semalam),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat 
Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, semalam.
 
Menurutnya, polis kini berusaha mengesan suspek selain merakam percakapan orang 
awam serta pengawal keselamatan yang melihat kejadian itu.
 
“Tiada rakaman pergerakan suspek kerana tempat letak kereta itu belum dipasang 
kamera litar tertutup (CCTV), tetapi kami menjalankan siasatan menyeluruh 
dengan kerjasama pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan,” katanya.
 
Arjunaidi menafikan dakwaan di facebook mendakwa polis lambat tiba di tempat 
kejadian selain dakwaan seorang ahli facebook dia dimarahi anggota polis 
bertugas ketika menghubungi talian 999 untuk meminta bantuan.
 
“Kami meneliti dakwaan itu dengan mengambil rakaman perbualan antara anggota 
dan ahli facebook terbabit pada malam kejadian. “Mangsa memaklumkan polis tiba 
dan menghulurkan bantuan dengan cepat. Malah, mangsa turut menafikan dia yang 
memuat naik kisah kejadian itu itu di laman sosial berkenaan. Perkara itu 
mungkin dilakukan orang awam yang menyaksikan kejadian,” katanya.
 
Sehubungan itu, Arjunaidi meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan 
kejadian dan mempunyai maklumat tampil membantu polis dengan menghubungi 
mana-mana balai polis berhampiran.
 
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penyamuntumbukmuka/Article/index_html 

Kirim email ke