Jika kita buat carian di Google mengenai Masjid Seremban 2, apabila ditaip 
Pembatalan Masjid Seremban 2 akan keluar paparan berikut ; “Membina Dan 
Menyiapkan Masjid Seremban 2 …. Pembatalan perlaksanaan projek yang telah 
dimaklumkan oleh ICU JPM”. Pautannya adalah dilaman web JKR , tetapi apabila 
diklik pautannya, ianya tidak dapat diakses. 
 
Ada sesiapa yang mengetahui status sebenar Projek Pembinaan Masjid Seremban 2 
ini? Siapa kontraktor yang telah dilantik untuk membina masjid ini, jika tender 
sebelum ini telah dikeluarkan?
 
************** 
Masjid Seremban 2 terbengkalai bahan kempen pembangkang 
Berita Harian 13 Mei 2009
 
KETIKA kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan 
melakukan upacara pecah tanah projek pembinaan masjid untuk kegunaan masyarakat 
Islam yang tinggal di sekitar Seremban 2.
 
Bagaimanapun, sehingga kini pembinaannya belum menjadi kenyataan sehingga 
dijadikan isu bualan serta bahan kempen parti pembangkang.
 
Bagi saya, pembinaan masjid berkenaan perlu disegerakan.
 
Ia akan memudahkan penduduk yang tinggal di taman perumahan di sekitar Seremban 
2 seperti Taman Oakland, Taman Megah, Bukit Kepayang dan taman lain dapat 
menunaikan sembahyang dengan selesa terutama solat Jumaat.
 
Untuk makluman, Taman Oakland, Taman Megah, Bukit Kepayang tidak mempunyai 
masjid.
 
Sembahyang Jumaat kini diadakan di sebuah surau Seremban 2 yang tidak dapat 
lagi menampung peningkatan jumlah jemaah.
 
Ia bukan saja menjadi tumpuan penduduk yang bermastautin di Seremban 2 tetapi 
juga kakitangan kerajaan yang bekerja seperti di Pejabat Tanah Daerah, Polis, 
bomba dan swasta, pekerja kilang, kakitangan pusat perniagaan Tesco dan Jusco 
di kawasan itu.
 
Kesesakan itu menimbulkan keadaan tidak selesa kepada jemaah.
 
Adalah menjadi harapan saya dan penduduk lain agar pembinaan masjid itu dapat 
disegerakan demi faedah penduduk yang bermastautin di sekitar kawasan Seremban 
2 untuk menunaikan tuntutan agama.
 
JEMAAH SURAU,
Seremban, Negeri Sembilan.
 
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Surat/20090512232253/Article/index_html
 
 
Umat Islam di Negeri Sembilan akan memiliki tujuh masjid baru tidak lama lagi 
hasil sumbangan Yayasan Albukhary, milik ahli perniagaan tersohor ini.
 
Tujuh masjid itu akan dibina di Rantau; Seremban 2; Kampung Paroi; Kampung 
Gebok, Mantin; Kampung Melang, Kuala Pilah; Pedas Tengah, Rembau dan Taman 
Anggerik, Batu Kikir.
 
Beliau berkata, pembinaan masjid di Rantau berharga kira-kira RM7.9 juta yang 
boleh menampung 2,500 jemaah akan dibina menerusi derma dan sumbangan Yayasan 
Albukhary di Taman Ekar.
 
Masjid Seremban 2 pula berharga kira-kira RM7.5 juta dan mampu menampung 3,000 
jemaah akan dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana 
Menteri (JPM).
 
http://mstar.com.my/services/printerfriendly.asp?file=/2009/9/10/mstar_manusia_peristiwa/20090910153348.asp&sec=mstar_manusia_peristiwa
 
 
Kempunan masjid
 
Penduduk Seremban 2 kecewa tiada petunjuk projek akan dimulakan selepas majlis 
peletakan batu asas dua tahun lalu 
 
SEREMBAN 2: Walaupun sudah lebih dua tahun majlis peletakan batu asas Masjid 
Seremban 2, di sini berlangsung, hingga kini hanya papan tanda projek kelihatan 
tanpa sebarang petunjuk projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat. Tinjauan 
 
Berita Harian ke tapak itu di belakang Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 
mendapati, lalang dan pokok liar memenuhi kawasan yang sudah diratakan tanpa 
kewujudan sebarang cerucuk atau mesin. 
 
Penduduk mendakwa, keadaan tapak terbiar itu seolah-olah memberi gambaran 
projek pembinaan masjid yang sebelum ini dikhabarkan bernilai RM7.5 juta tidak 
akan dimulakan dalam waktu terdekat. 
 
Mereka kesal kerana walaupun Seremban 2 kini berkembang pesat dengan banyak 
kawasan perumahan baru serta pejabat dibuka dan bilangan penduduk dianggarkan 
puluhan ribuan orang, kemudahan masjid masih terabai. 
 
Lebih dikesalkan, penduduk mendakwa mereka sebelum ini diberitahu peruntukan 
pembinaan satu-satunya masjid yang dikatakan mampu menempatkan 3,000 jemaah 
pada satu masa di Seremban 2 itu sudah diluluskan Jabatan Perdana Menteri. 
 
Berikutan ketiadaan masjid itu, penduduk dan pekerja di Seremban 2 serta 
beberapa kawasan sekitar, termasuk buruh binaan warga asing, terpaksa 
menggunakan Surau Al-Ikhlas di Garden Homes yang kecil untuk menunaikan solat 
Jumaat atau pergi ke masjid yang lebih jauh di Mambau atau Taman Bukit Chedang. 
 
Norazam Nayan, 44, berkata penduduk kawasan itu sangat memerlukan sebuah masjid 
yang selesa untuk menjadi pusat kegiatan komuniti masyarakat Islam yang 
bersepadu. 
 
"Buat masa ini, tiada satu pun tempat di Seremban 2 yang boleh menjadi pusat 
kepada semua aktiviti keagamaan atau masyarakat Islam, menyebabkan setiap surau 
di kawasan perumahan hanya menjalankan aktiviti peringkat taman. 
 
"Bukan kita tidak mahu bersatu padu, tetapi bagaimana hendak bersatu 
menganjurkan atau bekerjasama dalam aktiviti lebih besar yang dapat merapatkan 
silaturahim masyarakat Islam di sini jika kita tidak mempunyai masjid," 
katanya. 
 
Beliau yang menyokong visi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mahu 
menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan komuniti lengkap dengan kedai dan 
klinik, merayu kerajaan segera menjadikan impian masyarakat Islam di kawasan 
itu satu kenyataan. 
 
Bagi Nor Rahmat Sulaiman, 47, keadaan di Seremban 2 sebenarnya agak janggal 
kerana amat jarang bagi sesebuah kawasan yang mempunyai ramai masyarakat Islam 
tidak mempunyai masjid. 
 
"Jika kita pergi ke mana-mana sekali pun, terutama kawasan bandar baru seperti 
ini (Seremban 2), pasti akan menemui masjid. Bagaimanapun, keadaan di sini amat 
berbeza kerana tiada masjid walaupun dilengkapi segala kemudahan lain termasuk 
beberapa sekolah dan pasar raya," katanya. 
 
Mahmood Shariff, 57, yakin kerajaan mempunyai rancangan untuk mendirikan masjid 
di kawasan itu tetapi tidak pasti faktor yang menjadi penghalang kepada 
pembinaannya. 
 
"Dua tahun lalu, kita dijanjikan pembinaannya dengan batu asas serta majlis 
pecah tanah sudah dilakukan. Itu bermakna kerajaan memang ada perancangan dan 
tidak meminggirkan keperluan utama masyarakat Islam di sini. 
 
"Namun, projek itu kemudian senyap dan tapak berkenaan langsung tidak terusik, 
menyebabkan kita tertanya-tanya apa sebenarnya berlaku. Apa pun, kita tidak 
mahu membuat sebarang spekulasi dan berharap kerajaan menyegerakan pembinaannya 
demi kepentingan bersama," katanya. 
 
Sementara itu, seorang pegawai kerajaan yang enggan namanya disiarkan, berkata 
projek itu sudah diluluskan pada 2008, tetapi peruntukan pembinaan ditangguhkan 
atas sebab tertentu. 
 
"Buat masa ini, permohonan untuk mendapatkan peruntukan yang dijanjikan sebelum 
ini sedang giat diusahakan kerana kita menyedari keperluan yang mendesak," 
katanya.
 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Kempunanmasjid/Article
 

Kirim email ke