*Perutusan Eid-ul Fitri Pengerusi Aqsa Syarif (1433H)*
*
*

Assalamualaikum wrt bth.



Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan 'Taqabalallahu minna waminkum'
kepada semua kaum muslimin dan muslimat di mana jua mereka berada. Aqsa
Syarif dan seluruh jentera penggerak dan sukarelawannya ingin mengajak umat
Islam yang bergembira di pagi Syawal nanti supaya mengenang saudara-saudara
seagama yang menyambut kedatangan syawal dengan penuh duka dan linangan air
mata, khususnya umat Islam yang dilanda oleh peperangan di merata dunia
terutama di Syria, bumi Palestin dan di Rohingya. Lebih 10 juta rakyat
Palestin akan menyambut kedatangan Eid-ul-Fitri buat sekian kalinya di
khemah-khemah pelarian dan dalam keadaan terkepung dan terjajah. Lebih dari
lima juta rakyat Palestin kini menghuni khemah-khemah pelarian di Lubnan,
Syria, Jordan dan Gaza. Generasi pertama yang terusir dari tanah air mereka
yang masih hidup kini menyambut Eid-ul-Fitr sebagai orang pelarian untuk
kali yang ke 64. Selama enam puluh tahun mereka tidak pernah menjejak tanah
air mereka dan kembali ke rumah-rumah mereka. Di saat umat Islam di
Malaysia sedang teruja untuk balik ke kampung halaman masing-masing, umat
Islam di Palestin hanya dapat mengimbau kenangan lalu. Bahkan sebahgian
besar dari generasi ketiga yang dilahirkan di khemah-khemah pelarian
langsung tidak punya gambaran sedikitpun tentang kampung halaman mereka di
Palestin.



Bagi umat Islam yang berada di Gaza pula, keadaan lebih getir kerana
sehingga kini mereka masih lagi berada dalam keadaan terkepung oleh regim
Zionis. Mereka hidup dalam serba kedaifan dengan bekalan makanan dan
ubat-ubatan yang amat terhad. Mereka juga seringkali bergelap kerana
terputus bekalan elektrik akibat kekurangan bahan api yang disekat oleh
Israel. Dalam keadaan ekonomi yang lumpuh dan bekalan yang terputus mereka
diserang bertalu-talu oleh tentera zionis secara biadap. Sehingga kini
penduduk di Gaza masih terdedah kepada serangan Israel yang boleh berlaku
tanpa sebarang amaran. Setiap kali serangan berlaku mereka tidak akan
mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan dari negara-negara umat Islam
yang bertetangga dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Mereka seolah-oleh
menjadi objek di lapang sasar bagi tentera zionis Israel.



Rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitul Maqdis pula terpaksa berhadapan
dengan pelbagai sekatan pergerakan. Ini termasuklah pos-pos kawalan tentera
dan sekatan jalan yang diadakan secara sewenang-wenangnya. Kini sebuah
tembok pemisah yang panjangnya melangkaui 800 km memisahkan rakyat Palestin
dari ladang mereka, telaga air dan meyukarkan anak-anak untuk ke sekolah
dan menghadkan pergerakan rakyat Palestin. Tembok konkrit yang tingginya
mencecah 10 m ini dibina untuk menguasai lebih banyak wilayah dari Tebing
Barat. Di samping itu projek-projek perumahan Yahudi terus bercambah di
Tebing Barat dan Baitul Maqdis setelah penghuni-penghuni Arab yang
bermastautin di sana diusir dan tanah-tanah mereka di rampas. Senario
pembinaan penempatan haram Yahudi ini terus rancak berjalan meskipun Israel
terikat dengan beberapa penjanjian damai termasuklah Konferens Annapolis
pada penghujung tahun 2007 yang meletakkan syarat agar Israel menghentikan
aktiviti penempatan Yahudi. Semua ini hanyalah helah untuk memastikan
bahawa penyelesaian dua negara yang dicanang ke seluruh dunia tidak akan
menjadi kenyataan dan mustahil untuk dilaksanakan. Impian untuk melihat
negara Palestin yang merdeka akan terus tinggal impian.



Bagi umat Islam di Baitul Maqdis pula mereka terus dinafikan hak untuk
menziarahi dan memakmurkan Masjid al Aqsa. Pelbagai sekatan dikenakan
keatas umat Islam yang ingin menziarahi masjid. Mereka meletakkan had umur
tertentu sahaja yang dibenarkan memasuki masjid termasuklah pada bulan
Ramadhan. Umat Islam bersolat di perkarangan masjid dan di luar tembok al
Aqsa di bawah muncung-muncung senapang tentera zionis. Penghinaan yang
menyolok mata ini amat mencabar kesabaran umat Islam yang ingin memuliakan
dan memakmurkan tanah suci dan masjid ketiga paling dimuliakan dalam Islam.



Inilah senario yang melatari sambutan Eid-ul-Fitri di bumi Palestin yang
terjajah. Meskipun mereka berhadapan dengan pelbagai bentuk penindasan dan
kezaliman serta tidak mendapat sebarang perlindungan dan pembelaan, umat
Islam di Palestin tetap bersyukur kerana mereka telah dipilih di kalangan
umat Islam untuk mempertahankan tanah suci ke tiga umat Islam. Mereka tidak
pernah berputus asa bahkan mereka merasa amat mulia kerana berada di dalam
kedudukan yang sedemikian. Mereka yakin dengan hadis Rasulullah SAW yang
menyebut bahawa mereka sedang berada di bumi 'Ribat - bumi peperangan untuk
mempertahankan Islam. Mereka adalah para mujahid dan mujahidah seperti yang
dinyatakan oleh Rasulullah SAW lewat beberapa hadisnya. Bahkan Nabi SAW
menggambarkan umat akhir zaman yang berada di Baituil Maqdis tidak akan
berganjak dari kedudukan mereka dan mereka tidak akan merasa lemah meskipun
di khianati.



Aqsa Syarif kini amat bersyukur dengan sokongan rakyat Malaysia untuk
membantu rakyat Palestin samada di Gaza atau di Baitul Maqdis.
Alhamdulillah, hari Raya Eid-ul Fitri pada tahun ini akan disambut oleh 39
sukarelawan Aqsa Syarif yang dipimpin oleh Prof Madya Ust Hasanuddin Muhd
Yunus di bumi Gaza. Sukarelawan yang menyertai misi A2G8 kini bersama-sama
NGO-NGO Palestin lantikan Aqsa Syarif di Gaza mengagih-agihkan pelbagai
bentuk bantuan kepada penduduk Gaza berupa Ramadan Gift pack, iftar, agihan
bantuan persekolahan, bungkusan sumbangan Aidil Fitri untuk para pesakit,
bantuan kepada mangsa yang tercedera dan mengalami kecacatan akibat
serangan Isreal dan bantuan membaik pulih rumah keluarga miskin. Beberapa
projek baru seperti kilang roti kedua, pembinaan pusat kesihatan,
melengkapkan beberapa sekolah dengan kemudahan musolla, pembinaan pusat
komuniti wanita, suntikan modal tambahan untuk projek mikro kredit dan
modal permulaan projek village industri Malaysia-Palestin juga dilaksanakan
di bawah inisiatif misi A2G8. Alhamdulillah sumbangan dan projek-projek ini
melibatkan sumbangan hampir RM 3 juta dari rakyat Malaysia melalui Aqsa
Syarif. Ini adalah antara bukti umat Islam di Malaysia khususnya berdiri
teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin. Rakyat Malaysia insaf bahawa
saudara-saudara mereka di Palestin telah mengambil tanggungjawab seluruh
umat Islam dan memikulnya di atas pundak-pundak mereka sehingga mereka
kehilangan anak-anak, ayah, suami, isteri dan ibu yang syahid pada jalan
Allah.



Sesuai dengan pencapaian yang amat memberangsangkan ini, maka Aqsa Syarif
menyeru umat Islam yang telah dilatih untuk bermujahadah selama sebulan
dalam bulan Ramadhan  supaya meningkatkan sokongan kepada perjuangan
pembebasan al-Quds dan bumi Palestin dari cengkaman musuh-musuh zionis.
Hidupkanlah semangat Ramadhan dengan menyahut seruan Allah SWT untuk
berjihad pada jalanNya dengan harta dan jiwa demi mencapai taqwa dan
keredhaan Allah SWT. Segala yang disumbangkan samada dalam bentuk wang
ringgit, masa dan tenaga untuk menyokong pelbagai program kempen kesedaran
perjuangan Palestin amat besar maknanya di dalam menjana perjuangan
berterusan. Semua ini dengan izin Allah SWT akan mencipta sebab-sebab yang
membawa kepada kemenangan. Baitul Maqdis akan kembali ke pangkuan umat
Islam dan kezaliman dan penindasan golongan zionis akan dihapuskan dengan
keadilan Islam. Sejarah kembalinya Baitul Maqdis kepada umat Islam di bawah
kepimpinan Salahuddin Al-Ayyubi akan berulang. Bukan sahaja Baitul Maqdis
akan kembali merdeka dari pendudukan Yahudi bahkan seluruh kemanusiaan akan
menghirup udara kebebasan dan mengecap keadilan sejati.



Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengerusi

Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif

1 Shawal 1433H/19 Ogos 2012

Kirim email ke