Hari ini keputusan UPSR telah diumumkan.
Rata-rata bapa yang saya temui semasa menunggu keputusan UPSR di sekolah
mengatakan betapa susahnya dan begitu ramai yang memohon masuk ke tingkatan 1
di sekolah menengah agama terutama di kawasan bandar seperti Seremban. 
 
 Saban tahun permintaan makin meningkat, tapi
bilangan sekolah menengah agama dari dulu banyak tu sahaja. Di N.Sembilan jika
dulu berbelas-belas sekolah menengah agama adalah dibawah kerajaan negeri, kini
hanya tinggal 3 sahaja. Selebihnya telah dimasukkan bawah SABK (Sekolah Agama
Bantuan Kerajaan) yang diuruskan oleh Kementerian Pelajaran.
 
 Sepatutnya apabila berbelas-belas sekolah
menengah agama telah diserahkan ke kerajaan pusat, kerajaan negeri dengan
penjimatan yang ada setiap tahun boleh menambah lagi sekolah menengah agama.
 
 Jika kerajaan negeri tidak mampu dari segi
kewangan untuk menambah bilangan sekolah agama, mereka sepatutnya memberi
insetif dan galakan kepada sekolah menengah agama swasta agar lebih ramai ibu
bapa yang tidak layak menghantar anak mereka ke sekolah menengah agama
kerajaan, dihantar ke sekolah menengah agama swasta.
 
 Kesemua bapa yang saya temui amat bersetuju
dengan pandangan tersebut. Ini diburukkan lagi sekolah menengah agama negeri di
kawasan bandar telah menaikkan tahap untuk masuk ke tingkatan 1 dengan mendapat
keputusan UPSR minima 3A, 2B.
 
 Bagaimana dengan pelajar yang mendapat 1A, 2 A
atau tiada A, tapi amat berminat untuk masuk ke sekolah menengah agama, dan ibu
bapa mereka tidak mampu untuk menghantar ke sekolah menengah agama swasta,
kerana mereka hanya bekerja sebagai kerani, penjual goreng pisang, pekerja
kilang?
 
 Adakah mereka ini termasuk golongan pelajar
terpinggir dan dianak tirikan? 
 
 Jangan hanya sekadar menang sorak, kampung tergadai ! 

Kirim email ke