Dituntut bayar RM302.05 walau tak guna
internet 
30 Nov 2012 

TEMERLOH: “Harapkan apabila dapat
netbook daripada kerajaan dapatlah membantu pelajaran anak, tetapi
rupa-rupanya langsung tidak boleh digunakan kerana ketiadaan
internet.
“Sudahlah begitu, kini sampai pula
surat saman minta dijelaskan walhal netbook itu tidak pernah
digunakan,” demikian keluh seorang pesara kerajaan ketika mengadu
di pejabat PAS Pahang di sini hari ini.
Rameli Kassim, 57, berkata pada April
tahun lalu anaknya Raida Syahiza menerima netbook percuma melalui
Sekolah Menengah Dato Bahaman Lanchang, tetapi tidak boleh digunakan
kerana kawasan internet percuma hanya berada 60 kilometer dari
rumahnya di Taman Bunga Raya.
Menurutnya, kira-kira sebulan selepas
anaknya menerima netbook, telah sampai bil menuntut bayaran caj
internet sebanyak RM25 (sebulan) sedangkan ia tidak pernah digunakan.
“Saya kemudian pergi ke pejabat TM di
Mentakab mengadu hal berkenaan dan minta ditamatkan perkhidmatan
kerana tidak pernah sekalipun menggunakan internet,” jelasnya.
Tambahnya, bil tuntutan tetap sampai
setiap bulan sehinggalah beliau menerima notis tuntutan daripada
peguam TM yang meminta dijelaskan tunggakan sebanyak RM302.05 dalam
masa tujuh hari.
Bapa kepada lima orang anak itu
berkata, yang beliau kesalkan ialah tidak ada pihak sekolah ataupun
TM sendiri yang menerangkan kepadanya tentang pakej atau syarat
tertentu semasa menerima netbook itu dulu.
Tegasnya lagi, beliau sudah mengadu
kepada unit aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) tetapi tiada sebarang respons.
“Apa yang saya harapkan ialah
keadilan kepada saya. Wang RM300 itu mungkin dianggap kecil oleh
sesetengah orang, tetapi dalam keadaan kos hidup yang melambung
tinggi ini tentulah tidak patut untuk saya bayar apa yang saya tidak
pernah guna,” tegasnya.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/14953-dituntut-bayar-rm30205-walau-tak-guna-internet
 

Kirim email ke