Forum UM 14 Dis 2012 - SAYA amat tertarik dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai sejuta umat Islam Malaysia yang berada dalam senarai menunggu untuk mengerjakan ibadah haji.
Ini bermakna kemampuan dan kesedaran umat Islam di Malaysia membawa kepada jumlah tersebut, Buat masa ini, kerajaan banyak membantu untuk menaik taraf kehidupan golongan miskin untuk menikmati kehidupan lebih selesa, di samping juga menerapkan nilai agama kepada semua rakyat Islam. Dengan kesedaran dan kemampuan itulah, maka ramai umat Islam di Malaysia bercita-cita mahu menunaikan fardu haji. Persoalannya, apakah fungsi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) betul-betul cekap untuk menangani jumlah yang besar itu? Contohnya, pada setiap tahun ada sahaja jemaah haji pergi buat kali kedua, ketiga dan seterusnya sedangkan senarai menunggu panjang. Saya difaham pihak Tabung Haji mengenakan pelbagai syarat termasuk faktor umur, tetapi yang saya hairan mengapa pada setiap tahun ada sahaja jemaah tertinggal disebabkan kuota, terutama penduduk di luar bandar, sedangkan jemaah di bandar dan berkemampuan boleh pergi buat kali kedua dan ketiga? Semasa saya menunaikan haji beberapa tahun lalu, saya pernah bertanya seorang jemaah yang pergi buat kali keempat. Kalau Tabung Haji mempunyai pengurusan cekap, pasti setiap pemohon yang kerap pergi akan dapat dikesan. YUSOF SUJAK Johor Bahru, Johor. http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121214/fo_02/Sejuta-menunggu-Mengapa-kerap-tunai-haji-masih-dipilih

