Ini adalah
hakikat apa yang berlaku ketika ini di Malaysia. Orang Melayu semakin parah,
semakin ketagih dengan segala bentuk judi, judi ”halal”, judi ”haram”, judi
internet. Buatlah berapa banyak serbuan ke atas premis judi internet, ia akan
tumbuh semula macam cendawan kerana ada permintaan dari orang Melayu yang
setiap minggu tidak diberikan peringatan melalui khutbah Jumaat akan ancaman 
sebenar
sekeliling mereka. Tolonglah berikan hak khatib untuk berkhutbah untuk
menyedarkan para jemaah untuk kembali kepada Islam, kenal Allah, takutkan
Allah, cintakan Allah. 
 
Balasan bunuh dua orang guna bom
Kosmo 23 Jan 2013 
 
KUALA LUMPUR
– Tertekan dengan masalah hutang akibat kalah judi internet, seorang bekas
kontraktor komunikasi tergamak meletakkan bom buatan sendiri di depan rumah
pengusaha kafe siber sehingga menyebabkan wanita itu dan pekerja lelakinya maut
terkena letupan dalam kejadian tiga tahun lalu.
 
Berikutan
perbuatan itu, Mahkamah Tinggi di sini semalam mengarahkan Mohd. Khayry Ismail,
48, dihukum gantung sampai mati selepas dia disabitkan bersalah atas tuduhan
membunuh Ng Siew Hong, 51, dan Goh Yong Seng, 35. Kedua-dua mangsa mati akibat
melecur teruk di seluruh badan.
 
Hakim Datuk Su
Geok Yiam mengenakan hukuman mandatori terhadap Mohd. Khayry selepas pihak
pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap kedua-dua kes tersebut.
 
Bapa kepada enam
anak itu yang bercermin mata dan memakai jaket biru serta berseluar panjang
dilihat tenang di kandang pesalah ketika keputusan dibacakan oleh hakim.
 
Beberapa ahli
keluarga tertuduh yang memenuhi galeri mahkamah dan membaca surah Yasin sebelum
prosiding bermula kelihatan sebak.
 
Mohd. Khayry
didakwa membunuh pemilik kafe siber itu, Siew Hong dan pekerjanya, Yong Seng
antara pukul 8 pagi dan pukul 8.30 pagi, 29 Ogos 2010 di hadapan rumah No. 
2-12-4,
Apartmen Desa Tun Razak, Blok 2, Jalan 8/118B, Desa Tun Razak, Cheras di sini.
 
Dakwaan mengikut
Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit
kesalahan.
 
Berdasarkan fakta
kes, tertuduh sebelum kejadian itu kerap kali kalah judi di kafe siber milik
wanita separuh umur itu sehingga dia terpaksa meminjam wang daripada mangsa.
 
Tertuduh kemudian
memberitahu rakan-rakannya bahawa dia ingin melakukan sesuatu yang buruk
terhadap mangsa dengan membuat satu bahan letupan.
 
Pada awal pagi
kejadian, tertuduh pergi ke rumah mangsa dan meninggalkan sebuah kotak sebesar
saiz televisyen 14 inci berisi bahan letupan di depan pintu rumah mangsa di
tingkat 12.
 
Salah seorang
mangsa yang cuba mengangkat kotak yang di atasnya turut diletakkan sebiji limau
bali menyebabkan kotak tersebut meletup. Letupan itu turut menyebabkan
Siew Hong cedera parah akibat melecur.
 
Bukti keterangan dilakukan tertuduh berdasarkan beberapa
pengakuan yang dibuat oleh tertuduh kepada rakan-rakannya selepas kejadian itu.
 
Terdahulu, peguam Hanif Hashim dan Zambri Ibrahim dalam
rayuan berkata, anak guamnya tiada kesalahan lampau dan menyesal atas perbuatan
tersebut.
 
“Tertuduh tidak mengenali mangsa kedua tetapi mangsa pertama
merupakan rakannya yang dipanggil kakak,” kata Hanif yang memohon supaya
mahkamah menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman terhadap anak guamnya.
 
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib
berhujah supaya faktor kepentingan awam lebih diambil kira berbanding
kepentingan sendiri kerana bukan sahaja dua nyawa melayang tetapi ahli keluarga
kedua-dua mangsa itu turut kehilangan orang yang disayangi.
 
Perbicaraan bermula 29 November 2011 dengan pendakwaan
memanggil 40 saksi manakala pembelaan tiga saksi termasuk tertuduh yang memberi
keterangan bersumpah.
 
Pembelaan
memfailkan notis rayuan keputusan itu ke Mahkamah Rayuan semalam.
 
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm
 

Kirim email ke