Bahasa
Keputusan PRU13 petanda Dr M sudah tidak berpengaruh
OLEH CLARA CHOOI DAN MD IZWAN
May 09, 2013
KUALA LUMPUR, 8 Mei Pilihan Raya Umum 2013 adalah petanda Tun Dr
Mahathir Mohamad sudah tidak lagi berpengaruh dalam kuasa politik,
analisis di mana dan bagaimana beliau berkempen adalah merupakan
petanda jelas.
Bekas perdana menteri itu berkempen tidak henti-henti namun calon
Barisan Nasional (BN) disokong atau berkongsi cita-cita dengan beliau -
seperti ahli politik kontroversi Zulkifli Noordin dan Ibrahim Ali,
kedua-dua tewas.
Di Kedah, walaupun anaknya Datuk Mukhriz telah ditabal sebagai Menteri
Besar sebaik sahaja - ahli politik tempatan dan pemerhati telah
menyatakan PAS telah disingkir adalah kerana tadbir urus yang lemah oleh
parti komponen Pakatan Rakyat (PR) tersebut.
Mahathir tidak memenangi Kedah untuk BN tetapi sebaliknya adalah kerana
PAS yang akan kehilangan negeri tersebut, kata seorang pemimpin politik
veteran Umno di negeri Kedah kepada The Malaysian Insider.
Usaha Dr Mahathir untuk mewujudkan pertarungan di Gelang antara Melayu
dan Cina juga mengalami kegagalan teruk.
Ramai penganalisis dan ahli politik BN berkata langkah beliau memainkan
isu perkauman sepanjang kempen Pilihan Raya 2013 juga menyebabkan
sokongan kepadanya semakin menurun.
"Beliau masih mempunyai penyokong khususnya di kalangan kaum Melayu,
mereka tidak akan merendahkan martabat pemimpin yang mereka rasa telah
lama bersama mereka.
"Tetapi ya... mungkin pada suatu ketika masanya sudah berakhir. Apa
yang dia kata, bagaimana dia berkata, mungkin sudah tidak menarik di
kalangan generasi muda, di kawasan bandar. Tapi kita jangan lupa,
beliau bukan PM hari ini," kata setiausaha Umno Sabah, Datuk Abdul
Rahman Dahlan kepada The Malaysian Insider.
Namun, pemimpin lain tidak memberi ruang kepada beliau dan berpendapat
Dr Mahathir yang sudah mencecah 87 tahun sewajarnya bersara dan
menjauhkan diri daripada politik semasa kerana sudah TIDAK lagi relevan.
Mereka berpendapat di zaman politik media sosial, pengaruh Dr Mahathir
menyusut dengan cepat kerana rakyat Malaysia lebih suka jenama yang
lebih liberal, sederhana dan politik inklusif yang dibawa oleh Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Sokongan kuat ke atas Dr Mahathir di kalangan pengundi Melayu
tradisional generasi tua dilihat tidak mencukupi untuk membantu
kemenangan BN pada pilihan raya selepas ini.
Mereka berkata pengundi bandar yang berkembang pesat, kelas pertengahan
dan muda tidak lama lagi akan membentuk sebahagian pengundi yang lebih
besar.
Berdasarkan corak pengundi Pilihan Raya 2013, demografik pengundi ini
adalah kunci utama yang perlu BN menangi jika mahu mendapat mandat yang
lebih kuat pada pilihan raya mendatang.
"Saya berharap dengan melihat analisis pilihan raya, beliau akan sedar
masanya sudah berakhir," kata ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal
Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.
"Beliau meninggalkan pentadbiran negara ini kepada generasi baru ahli
politik yang diketuai oleh Najib.
"Beliau sudah berada pada zamannya dan telah melakukan banyak perkara
menakjubkan tapi masanya dalam politik sudah tamat. Sebelum beliau
memusnahkan legasinya, sudah tiba masanya beliau bersara dengan aman,"
katanya.
Pilihan Raya 2013 menyaksikan calon pilihan pro-Melayu Dr Mahathir
seperti Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan naib presiden Datuk
Zulkifli Noordin kedua-duanya gagal mendapat kemenangan.
Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, ketua bahagian
Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi M. Zin mengakui jika Dr Mahathir
tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin boleh mendapat lebih banyak
undi.
"Secara keseluruhannya, di bandar-bandar, saya rasa pengaruh Dr
Mahathir tidak lagi relevan kerana isu yang beliau membawa dan pendapat
beliau tidak benar-benar sesuai dengan generasi semasa, terutama dengan
sokongan terhadap Perkasa.
"Mungkin BN perlu kaji semula perkara ini," kata beliau.
Dikala lawan mereka Pakatan Rakyat (PR) memastikan pemimpin mereka
bekerja keras menjauhkan diri daripada perkauman semasa berkempen, Dr
Mahathir sebaliknya mengeluarkan ucapan-ucapan berasaskan kaum
sepanjang tempoh berkempen 15 hari lalu.
Beliau berkali-kali menyerang musuh parlimennya Lim Kit Siang kerana
meninggalkan kerusi Ipoh Timur untuk bertanding di kerusi majoriti Cina
Gelang Patah, memanggil pemimpin veteran DAP itu sebagai "sangat
perkauman" kerana cuba untuk mempengaruhi masyarakat Cina untuk membenci
Melayu.
"Saya akan bercakap dengan lantang. Lim Kit Siang adalah rasis. Lim Kit
Siang adalah rasis. Lim Kit Siang adalah pelampau perkauman," kata
beliau semasa berceramah di Shah Alam tiga hari sebelum pengundian.
Bercakap kepada The Malaysian Insider baru-baru ini, Tan Sri Rafidah
Aziz, pemimpin Umno veteran yang berkhidmat di bawah pentadbiran Dr
Mahathir bersetuju penggunaan perkauman untuk mendapat sokongan perlu
ditolak.
"Hari untuk kita menjadi juara satu-satu kaum sudah berakhir. Saya
tidak pernah bersetuju. Kita adalah rakyat Malaysia dahulu dan itu
adalah perkara utama.
"Saya adalah rakyat Malaysia yang ditakdirkan berbangsa Melayu... tapi
ia adalah kebanggaan Melayu yang kita bawa bersama semasa kita berada
diluar sana," kata beliau.
Pengarah kaji selidik Merdeka Center, Ibrahim Suffian walaubagaimanapun
menegaskan pengaruh Dr Mahathir di kawasan luar bandar di Malaysia masih
besar meskipun ditolak di kawasan bandar kelas pertengahan.
Tetapi dia bersetuju pengaruh meluas seperti mana yang dijangkakan Umno
dan Dr Mahathir kerana banyak juga pengundi Melayu yang sudah berpindah
menyokong pembangkang.
"Pengundi lebih arif. Mereka menolak jenama cauvinisme kaum," tambah
beliau.
Tetapi Ibrahim berkata Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh yang besar
dalam Umno, parti utama dalam BN, ia juga dipersetujui rakan
penganalisis politik, Wan Saiful.
"Saya bersetuju ... tetapi beliau lebih berpengaruh di kalangan
ahli-ahli Umno dan apabila tiba pilihan raya, apa yang kamu perlu
lakukan ialah bukan sahaja menyokong parti anda sendiri," katanya.
Wan Saiful menegaskan bahawa Dr Mahathir harus berundur dari arena
politik, ia bagi memastikan imej 'bapa pemodenan" yang diberikan ke
atas bekas perdana menteri itu tidak dicemari oleh kesilapan yang
beliau buat hari ini.
"Najib adalah PM hari ini dan Dr Mahathir adalah semalam. Najib
merasakan terdapat keperluan untuk beliau bergerak ke arah yang berbeza
dan ini adalah apa yang beliau sedang lakukan," kata beliau.
Ibrahim juga mengingatkan perubahan drastik dalam pengaliran maklumat
di dalam landskap politik hari ini, juga adalah salah satu faktor yang
menjejaskan pengaruh Dr Mahathir pada Pilihan Raya kali ini.
"Terdapat cabaran itu kerana Dr Mahathir sebelum ini mentadbir negara
semasa tiada media sosial dan rakyat yang mudah dikawal serta lebih
kecil.
"Hari ini, generasi muda yang membesar ketika maklumat mengalir.
Persekitaran telah berubah, dan banyak juga pemimpin yang telah
bertukar," katanya lagi.
Share it with others