Bosan betul tengok TV siang hari bulan
Ramadhan di Malaysia ni, dalam kita menahan lapar dan dahaga hampir semua
saluran TV siar acara masakan, kalau malam OK juga, ni pagi lagi dah program
masak. Tak lama lagi TV akan promosi program hiburan hari raya pertama
sampailah hari raya ke 30 agaknya. Tapi TV tak pula sibuk nak siar program adab
sambut raya. Terpaksalah korek di laman web Mufti Kerajaan Brunei Darussalam
untuk adab sambut raya ni. 
 
ADAB MENYAMBUT HARI RAYA  AIDILFITRI
 
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya,
perlu diingat jangan sekali-kali sampai lupa kewajipan kita kepada Allah Ta‘ala
iaitu mendirikan sembahyang fardhu, dan kerana terlalu seronok jangan pula
adanya berlaku perlanggaran batasan-batasan agama.
 
Dalam keghairahan menyambut Hari Raya yang
mulia adalah wajar ianya disambut mengikut lunas- lunas yang digariskan oleh
Syara‘ dan tidak dicampurbaurkan dengan perkara-perkara yang dilarang atau yang
diharamkan. Hari Raya memang tidak boleh disamakan dengan sambutan perayaan-
perayaan yang lain, kerana ianya merupakan kurniaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala
khusus kepada hamba- hamba yang beribadat dan berjuang melawan hawa nafsu
sepanjang bulan Ramadhan.
 
Al-Imam Al-Syafie Rahimahullahu Ta‘ala
telah menegaskan bahawa malam Hari Raya itu adalah di antara malam-malam yang
mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm:
"Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa
itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Hari Raya Adha, malam
Hari Raya Fitrah, awal malam Rajab dan malam Nisfu Sya‘ban.
 
Di pagi Hari Raya pula disunatkan mandi
kerana Hari Raya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas dan Al-Fakih
bin Sa‘d Radhiallahu ‘anhum bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam
melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adha. Hadits ini
dikeluarkan oleh Ibnu Majah.
 
Di samping itu disunatkan juga memakai
pakaian yang sebagus-bagusnya, memakai harum-haruman dan menghilangkan segala
bau-bau yang tidak elok. Tidak kira sama ada orang itu hendak keluar pergi ke
masjid untuk menunaikan sembahyang Hari Raya ataupun duduk sahaja di rumah,
kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. 
 
Sebelum keluar pergi ke masjid untuk
menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Fitrah disunatkan makan dan minum
terlebih dahulu kerana mengikut apa yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu
‘alaihi wasallam.
 
Selain itu, Hari Raya merupakan hari
kemenangan dan kegembiraan, maka sebab itu disunatkan bagi sesama muslim saling
mengucapkan tahniah antara satu sama lain dengan mengucapkan: Ertinya:
"Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimaNya daripada awak."
 
Al-Imam Al-Qalyubi menaqalkan daripada
Al-Imam Ibnu Hajar bahawa memberi atau mengucapkan tahniah pada hari-hari raya,
bulan-bulan dan tahun- tahun (kerana ketibaannya) merupakan perkara yang
disunatkan. Al-Imam Al-Baijuri mengatakan: Inilah yang yang
dii‘timadkan.(Al-Mausu‘ah Al-Fiqhiyyah, Juz 14, m.s. 100)
 
Manakala itu pula, amalan saling ziarah
menziarahi rumah terutama sekali saudara mara terdekat dan sahabat handai
merupakan suatu tradisi yang sentiasa diamalkan ketika menyambut Hari Raya.
Amalan ini juga sebenarnya termasuk di dalam perkara yang digemari dan
disyariatkan di dalam Islam.
 
http://www.brunet.bn/gov/mufti/irsyad/pelita/ic2_1999.htm 

Kirim email ke