Pada 31 Julai 2013 TV2 telah menyiarkan
dokumentari khas Sarjan Hassan. Rupanya Sarjan Hassan ini adalah
merupakan pahlawan Melayu Islam yang terlalu hebat tetapi kerana
sikapnya yang begitu merendah diri, warak serta tawaduk maka
keperwiraannya tidak begitu diketahui umum.

P. Ramlee juga hebat, dibuat filem
Sarjan Hassan waktu negara dalam era darurat. P Ramlee ubahsuai filem
Sarjan Hassan berkisarkan menentang Jepun, bukan menentang komunis.

Sarjan Hassan berasal dari N.Sembilan.
Mendapat pendidikan pondok di Rantau, N.Sembilan. Berguru dengan
ramai para ulama termasuk Mufti N.Sembilan, Sheikh Hj Ahmad. Ketika
dalam tentera Sarjan Hassan amat warak, tidak pernah tinggal solat.

Dia tidak berdendam dengan komunis,
tetapi telah berjaya membunuh lebih 100 orang komunis seorang diri
dalam pertempuran. Dia tidak mengamalkan ilmu kebal atau ilmu
kebatinan yang sesat. Dia hanya berkata Allah sebagai pelindung.
Pernah dalam satu pertempuran ketika rakan yang lain sedang merancang
untuk menyerang, tiba-tiba Sarjan Hassan lesap dan terus dengar
tembakan. Dengan izin Allah dia telah berjaya membunuh 14 pengganas
komunis seorang diri pada ketika itu.

Pengganas komunis amat berdendam dengan
Sarjan Hassan. Sentiasa mencari peluang untuk membunuhnya atau
keluarganya. Satu hari seorang pengganas komunis wanita yang cantik
menyerah diri cuba menggoda Sarjan Hassan. Tetapi atas sifat
kewarakan Sarjan Hassan, pengganas komunis wanita itu pula yang belot
dan memberi maklumat kepada Sarjan Hassan sehingga tertangkapnya 27
orang pengganas komunis.

Jasa besar Sarjan Hassan yang tidak
tercatit dalam sejarah atau akhbar di Tanah Melayu pada ketika itu,
hanya dilaporkan dalam akhbar Singapura ialah kejayaan Sarjan Hassan
(pada ketika itu berpangkat Leftenan) menggagalkan cubaan komunis
untuk sabotaj sambutan kemerdekaan 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.

Leftenan Hassan dengan 10 anggota telah
berjaya menjejaki tempat pertemuan ketua-ketua pengganas komunis
seluruh Tanah Melayu di Rawang. Leftenan Hassan berjaya membunuh
komunis dan menjumpai dokumen serta senjata yang akan digunakan untuk
menggagalkan sambutan kemerdekaan negara yang berkemungkinan untuk
membunuh Tuanku Abdul Rahman dan beberapa pembesar Melayu lain.

Sarjan Hassan adalah satu-satunya orang
Islam pada ketika itu dari kelulusan sekolah pondok yang berjaya
menjadi pegawai tentera berpangkat Leftenan.

Kubur Sarjan Hassan seperti kubur
kebanyakan orang Islam lain, tiada yang istimewanya di Makam Sheikh
Hj Mohd Said di Seremban.

Sesungguhnya Sarjan Hassan adalah
merupakan pahlawan Islam kebanggaan pengajian pondok di Rantau,
N.Sembilan dan kebanggaan rakyat Malaysia.

Saya terkenang kembali kata-kata arwah
ayah saya yang pernah berjumpa Sarjan Hassan, memang benarlah ayah
saya kata Sarjan Hassan ini pendiam, gempal sikit.

Tidak sia-sialah perjuangan ninda saya
salah seorang pengasas Rejimen Askar Melayu iaitu Dato Abdullah Hj
Dahan, Undang Rembau, yang telah melahirkan pahlawan Melayu Islam
yang begitu hebat, merendah diri, warak, tidak tinggal solat yang
perlu dicontohi oleh semua perwira negara.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada
Kapten Hassan bin Othman, ayah saya Lt Kolonel Malakan bin
Kamaruddin, ninda saya Dato Abdullah bin Hj Dahan dan seluruh perwira
negara yang telah gugur.

Mungkin selepas ini kapal TLDM yang
baru boleh diberi nama KD Sarjan Hassan seperti KRI Imam Bonjol di
Indonesia, atau Kereta Perisai yang baru diberi nama Sarjan Hassan
atau Hassan.

Dokumentari penuh Sarjan Hassan di 
http://myklik.rtm.gov.my/component/content/article/13-roksprocket-mosaic/339-dokumentari-khas-sarjan-hassan
 

Kirim email ke