Berikut adalah penjelasan En. Kamaruddin yang sudah terlalu banyak menempuh dugaan dan 
ujian dalam memastikan anaknya Hartina dapat dikembalikan kepada Islam. 

Segalanya bermula pada 26 Mac 1996. Saya bersama isteri pergi kerumahnya di Kuala 
Lumpur kerana kebiasaannya pada 15 Mac setiap tahun kami menyambut hari lahirnya. Pada 
tahun tersebut (1996) dia kata tidak dapat balik kampung. Di sebabkan pada tarikh itu 
saya ada menerima tempahan sate (En.Kamaruddin berniaga sate di Pekan Kampar, Perak) , 
jadi kami tidak dapat pergi ke rumahnya pada tarikh itu. Kami pergi dua minggu selepas 
itu iaitu pada 26 Mac 1996. Setibanya di rumahnya, kami dapati rumahnya berkunci, 
telahan saya mungkin dia belum pulang dari kerja. Kebetulan saya memang ada kunci 
spare, saya membuka pintu dan masuk ke dalam rumah. Lebih kurang jam 6.00 petang. Dia 
pulang bersama seorang lelak India. Dia terkejut melihat kedatangan kami dan saya 
sendiri terkejut kerana tidak menyangka dia pulang bersama seorang lelaki. Memang 
sebelum ini ramai yang ingin masuk meminang dan dia menyatakan yang dia telah ada 
seorang kawan, saya kata kalau ada kawan lebih elok terus datang
 meminang. Setelah melihat keadaannya, baru terlintas di fikiran saya kawan yang 
dimaksudkan ialah lelaki India tersebut. Walaupun kami datang setiap bulan ,kami tidak 
dapat menghidu langsung pergerakannya dan dia sendiri menyembunyikannya dari 
pengetahuan kami. Melihat keadaannya , saya menyoal Hartina "Siapa yang kamu bawa 
ini?" Baru kami tahu hal sebenarnya, yang lelaki India itulah teman lelakinya . Sebaik 
saja kami bertanya Rajeswaran (lelaki India tersebut) bila dia ingin memeluk Islam 
jika benar-benar inginkan Hartina, Hartina terus menunjukkan surat-surat di antaranya 
surat sumpah bertarikh 1 September 1995 yang mengatakakan bahawa dirinya tidak 
mempraktikkan agama Islam lagi, telah menukar namanya kepada Nivashiny Rajeswaran dan 
surat pendaftaran perkahwinan mereka bertarikh 24 Mac 1996 . Saya mempertikaikan surat 
sumpah tersebut kerana bagaimana mereka (pihak berkuasa) boleh mengesahkan apa saja 
kenyataan pemohon tanpa meneliti terlebih dahulu. 

Berdasarkan surat sumpah melalui peguamnya yang menyatakan dia tidak mempraktikkan 
ajaran Islam, ternyata pembohongan semata-mata. Sepanjang zaman tempoh dia tinggal 
bersama kami dia telah dididik dengan ajaran Islam, sepanjang zaman persekolahannya 
saya tidak pernah mendengar apa-apa mengenai Hartina tidak mempraktikkan Islam 
walaupun daripada kawan-kawannya sendiri. Setelah berlaku perkara ini barulah saya 
tahu rupa-rupanya lelaki India itu bersekolah di sekolah yang sama dengan Hartina dan 
tinggal di Mambang di Awan, Kampar. Memanglah di sekolah Hartina ramai kawan lelaki 
tetapi saya tidak pernah mengesyaki apa-apa, maklumlah zaman sekolah memang banyak 
bergaul dengan rakan lelaki. Kami juga baru tahu si lelaki itu bekerja di Public Bank 
di Jalan Kelang Lama. Ini bermakna sudah lama mereka berkawan yang hairannya kami 
tidak dapat menghidu langsung perhubungan mereka. Bermakna sepanjang tempoh berulang 
dari Kuala Lumpur ke Kampar setiap bulan pun kami tak dapat hidu. Sedangkan pada
 hari Raya Puasa tahun 1996 iaitu pada 21 Feb 1996 Hartina balik kampung dan kami 
sekeluarga bersembahyang bersama-sama. Bermakna ketika itu dia telah berkawan dengan 
lelaki India itu dan telah menukar nama dan agamanya, bagaimana kami tidak 
mengetahuinya langsung?. 

Pada hari itu (26 Mac 1996) selepas bertembung dengan mereka pada 6.00 petang, kami 
telah berbincang mengenai kedudukan mereka sehingga 10.30 malam. Keadaan menjadi 
tegang kerana si lelaki tetap dengan keputusannya untuk tidak menukar agamanya dan 
mengatakan Hartina telah menjadi isterinya. Dia mula memegang hand-phone sambil 
mendail nombor. Tidak lama kemudian seorang demi seorang kawan-kawannya tiba di rumah 
itu . Mereka sudah ramai sedangkan saya hanya bersama isteri. Yang menghairankan saya 
Hartina ketika itu membisu sahaja. Semasa itu saya yakin Hartina masih Islam tetapi 
telah dipaksa membuat surat sumpah yang mengatakan dia tidak mempraktikkan lagi agama 
Islam. Berhubung dengan itu mereka (pihak lelaki) telah menukar namanya dari Hartina 
kepada Nivashiny Rajeswaran. Dalam peraturan perkahwinan India , seseorang yang masih 
bernama Islam tidak boleh berkahwin dengan lelaki India. Oleh sebab itu Hartina 
menukar namanya terlebih dahulu kemudian baru membuat pendaftaran
 perkahwinan. Saya yang tidak dapat pergi ke Kuala Lumpur pada 15 Mac 1996 untuk 
menyambut hari jadi Hartina dan telah pergi pada 26 haribulan sedangkan pendaftaran 
perkahwinan telah di buat pada 24 Mac 1996 ini bermakna saya telah terlewat dua hari. 
Bermakna hak Hartina sebagai anak sudah tiada kerana dia telah menjadi isteri orang. 
Bila orangnya sudah ramai di rumah tersebut ,baru lelaki itu berani menunjukkan segala 
dokumen-dokumennya. Bila ditunjukkan kepada saya, saya terkejut, jantung saya 
berdegup. Saya sebelum ini memang ada penyakit jantung. Ditambah dengan kejadian hari 
itu saya benar-benar terkejut. Saya bersama isteri berpandangan sendiri. Apa yang 
boleh kami lakukan sedangkan kami hanya berdua sahaja. 

Saya mencadangkan kepada isteri saya agar kami membuat laporan polis . Kami terus ke 
balai polis berhampiran iaitu di Petaling Jaya. Laporan itu tidak diterima kerana 
polis mengatakan yang perkahwinan mereka sah. Yang menyedihkan polis itu juga orang 
Melayu dan urusan pendaftaran perkahwinan dan tukar nama sebelum ini semua 
dikendalikan oleh orang Melayu. Jadi saya kata, kepada siapa saya dapat mengadu ?. 
Mereka menyuruh saya membuat laporan ke Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) mengatakan 
anak saya telah dilarikan. Jadi pada 27 Mac 1996 (sehari selepas itu) saya membuat 
laporan polis. Selepas membuat laporan polis ,saya dan isteri pulang ke rumah ,kami 
tunggu Hartina dan lelaki India itu tetapi mereka tidak pulang ke rumah pada malam 
itu. Selepas itu saya membuat aduan di pejabat Agama Wilayah Persekutuan tetapi tiada 
sebarang tindakan yang diambil. 

Inilah yang mengecewakan saya kerana awal-awal lagi saya telah menemui pegawai 
Pendaftaran yang bertanggungjawab menukarkan nama anak saya, saya kata kepadanya " 
Tuan sepatutnya memaklumkan terlebih dahulu kepada saya sebab di dalam kad 
pengenalannya tecatat alamat saya ,kenapa Tuan tidak memaklumkan kepada saya?. " Dia 
kata yang pihaknya telah memaklumkan kepada Pejabat Agama Islam Wilayah . Bila saya 
semak di JAWI, pegawai di JAWI berkata mereka tidak menerima apa-apa laporan daripada 
Jabatan Pendaftaran. Bermakna dalam tempoh yang singkat saya telah berulang-alik 
kesana kemari tanpa sebarang tindakkan yang diambil ke atas Hartina mahupun lelaki 
India itu. Selepas kejadian itu mereka langsung tidak pulang ke rumah di Sri Sentosa 
itu. 

Saya cuba mencari seorang rakan si lelaki itu yang turut sama berada pada malam 26 Mac 
itu. Lelaki itu bekerja di Pizza Hut, Subang Jaya. Saya meminta bantuan polis 
mencarinya untuk mengetahui di mana Hartina dan teman lelakinya tinggal. Lelaki yang 
bekerja di Pizza Hut itu mahu bekerjasama dengan polis dan telah menunjukkan tempat 
tinggal Hartina iaitu di Jalan Kelang Lama. Polis berjaya menangkap mereka. Keadaan 
Hartina tetap seperti dahulu, langsung tidak mahu bercakap dengan saya. Ketika itu 
saya sudah mahu bertindak tetapi apabila memikirkan orang sebelah pihak lelaki India 
itu ramai, saya membatalkan niat saya. Saya hairan kenapa Hartina langsung tidak 
mempunyai perasaan lagi pada ibu bapanya. Saya hairan perangainya benar-benar berubah. 
Jika pada saya dia tidak sayang tidak mengapa tetapi bagaimana dengan ibu yang telah 
mengandungkannya? Selepas itu saya telah membawa Hartina ke Pulau Pinang dan tinggal 
bersama saudara-mara. Sedar-sedar dia telah tiada. Adik saya di Perak
 telah menelefon saya mengatakan pihak lelaki akan mengadakan majlis makan malam bagi 
meraikan perkahwinan mereka di sebuah dewan di Perak. Pihak lelaki telah mengedarkan 
kad jemputan kahwin kepada kaum India. Sebaik sahaja mendapat berita itu, saya terus 
sahaja bertolak ke Perak. Setibanya saya di Perak, saya terus membuat aduan kepada 
Jabatan Agama Islam Perak dengan mengatakan pada 15 hb April 1996 pihak lelaki India 
itu akan mengadakan majlis makan malam. Pada 14 April, kira-kira pukul 12.00 tengah 
malam , Jabatan Agama Islam Perak membuat serbuan dan berjaya menangkap Hartina dan 
menahannya di Balai Polis Ipoh. Keesokannya Hartina dibawa ke Mahkamah Syariah untuk 
mendapatkan perintah reman selama seminggu. Sebelum sampai tempoh seminggu saya 
mendapat panggilan telefon dari Jabatan Agama Islam Perak yang mereka ingin 
menyerahkan Hartina kepada saya. 

Atas faktor keselamatan saya telah menyerahkan Hartina kepada kawan adik ipar saya 
yang berada di Kelantan. Jadi pada 20 April 1996 dengan bantuan Jabatan Agama Islam 
Perak, kami berjaya membawa Hartina ke Kelantan. Kami menetap di sana sehingga 1 Mei 
1996. Semasa kami di sana , saya diberitahu bahawa pihak lelaki telah menyaman Jabatan 
Agama Islam Perak kerana telah memalukan mereka di atas pembatalan majlis perkahwinan 
mereka. Pegawai Jabatan Agama Islam Perak meminta kami membuat surat sumpah daripada 
Hartina . Pada 31 April , kami terus membawa Hartina ke Pejabat Agama Islam Kelantan. 
Di sana Hartina telah mengaku masih beragama Islam dan kembali mengucap dua kalimah 
syahadah di hadapan tuan Kadi. Tuan Kadi telah mengeluarkan satu surat pengesahan 
mengatakan bahawa Hartina telah memeluk agama Islam kembali. Surat itu kami hantar ke 
Kuala Lumpur. Bermakna kami telah menang atas tuduhan mencolek Hartina. Rupa-rupanya 
ia tidak berhenti setakat itu. Selepas itu sampai lagi satu surat
 saman malu daripada si lelaki. Di dalam surat itu mereka menuntut gantirugi sebanyak 
30 juta daripada Kerajaan Negeri Perak, Polis, Majlis Agama Islam Perak dan Jabatan 
Agama Islam Perak atas dakwaan memalukan mereka pada majlis makan malam meraikan 
perkahwinan mereka. Ini bermakna mereka tidak berpuas hati dan terus mencari alasan 
untuk merampas Hartina daripada kami. 

Dari Kelantan saya terus kembali ke Pejabat Pendaftaran Petaling Jaya untuk proses 
penukaran kembali nama kepada Hartina di atas persetujuannya. Setelah segala- galanya 
selesai, pada 1 Mei 1996 kami sekeluarga telah membawanya ke Pulau Pinang. Di Pulau 
Pinang keadaan Hartina seperti biasa, dia tetap bergaul dengan saudara mara seperti 
biasa. Tiba-tiba di sana kami menerima sepucuk lagi surat saman daripada si lelaki 
mengatakan kami telah menculik isterinya. Saya membawa Hartina ke Mahkamah Pulau 
Pinang dan peguam di sana telah mengatakan surat itu adalah afidavit tertuduh jadi 
kami memerlukan seorang peguam dan satu jawapan bertulis. Pada 9 Mei 1996 saya bersama 
anak saudara saya (Borhan) telah pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan peguam. Saya 
berjaya mendapat seorang peguam dan saya menetap di Batu Caves untuk menguruskannya. 
Tiba-tiba saya mendapat berita dari Pulau Pinang yang mengatakan Hartina telah tiada. 
Saya terus mengesannya di Pulau Pinang tetapi tidak berjumpa .Kemudian
 saya terus ke Shah Alam dan bertemu dengan polis yang mengendalikan kesnya. Pegawai 
polis tersebut mengatakan bahawa dia ada menerima laporan daripada Hartina yang 
mengatakan dia keluar daripada rumah bapa saudaranya di Pulau Pinang secara sukarela 
.Saya tidak boleh berbuat apa-apa . Ketika itu tidak dapat dinyatakan bagaimana 
perasaan saya, bayangkanlah dalam tempoh yang singkat dan badan yang sudah uzur, saya 
terpaksa melalui segalanya seorang diri. Saya tinggalkan rumah dan perniagaan saya 
berbulan-bulan. Saya asyik berulang alik sahaja ke Kelantan, Pulau Pinang, Kuala 
Lumpur dan Shah Alam. Walaubagaimana banyak laporan yang saya lakukan , tiada langsung 
tindakan susulan diambil untuk mengesan Hartina dan lelaki India itu oleh pihak 
berkuasa. Alasan mereka, mereka tidak tahu di mana anak saya dan lelaki itu berada. 

Akhirnya saya mengupah seorang kawan saya untuk mengintip mereka . Empat minggu kawan 
saya mencari ,minggu keempat baru jumpa. Kawan saya itu memerlukan masa yang agak lama 
kerana dia menguruskannya seorang diri , tambahan pula dia bekerja di waktu siang. 
Menurut rakan saya ini, Hartina dan lelaki India itu menetap di Taman Medan, Jalan 
Klang Lama. Apabila saya mendapat tahu saya terus ke Balai Polis Shah Alam dan mengadu 
ke bahagian Penguatkuasa. Saya amat tidak berpuashati kerana polis tidak mahu 
bertindak. Seterusnya saya ke pejabat Kemajuan Islam (JAKIM) , Pusat Islam. Mereka 
menyuruh saya membuat satu laporan baru. Menerusi laporan yang saya buat, saya 
mengatakan yang pihak si lelaki telah menggugat akidah anak saya. Mereka telah 
menetapkan 5 September 1996 sebagai tarikh untuk menyerbu rumah itu. Pada 5 Sept 1996 
kira-kira jam 11.00 pagi saya bersama seorang pegawai Pusat Islam, dua orang Pegawai 
Polis dan seorang Penguatkuasa JAIS telah pergi ke rumah tersebut. Kami meminta
 kebenaran masuk, setelah masuk, kami meminta mereka memberi keterangan diri pula. 
Bila mendapat keterangan diri, baru saya mendapat tahu Hartina telah menukar kembali 
namanya kepada nama Hindunya. Pada 31 September 1995 dia menukar namanya kepada nama 
Hindu buat pertama kali , pada 30 April 1996 saya menukarkan pula nama Hindunya kepada 
nama Islamnya dan pada 27 Mei 1996 dia menukarkan namanya kembali kenama Hindu . 
Bermakna semasa dia keluar dari rumah bapa saudaranya di Pulau Pinang pada 9 Mei 1996 
hanya pada 27 Mei 1996 dia menukar kembali namanya ke nama Hindunya. Ini bermakna 
proses pertukaran nama hanya dalam masa dua minggu sahaja. 

Sebelum daripada itu saya ada menalipon pegawai pendaftaran yang bertugas di bahagian 
menukar nama dan memberi ingatan kepadanya agar jika ada percubaan dari pihak Hartina 
dan teman lelaki Indianya itu ingin menukarkan nama Hartina kembali, cuba lengahkan. 
Saya sentiasa berhubung dengan pegawai ini tetapi hasilnya tetap mengecewakan. Hal 
yang saya tidak ingini tetap berlaku. Bermakna jika proses pertukaran tidak berlaku 
tentu kami akan menang kes ini. Tindakan Hartina dan teman lelaki Indianya lebih 
cepat, ini bukan bermakna saya tidak bertindak , saya telah melakukan dengan sedaya 
upaya saya , tetapi seperti apa yang saya nyatakan awal-awal tadi, saya melakukannya 
seorang diri dan pihak berwajib tidak memberikan sepenuh kerjasama kepada saya 
sekeluarga. 

Kejadian serbuan 5 September 1996 itu benar-benar mencabar kewibawaan saya. Ketika 
Pegawai Penguatkuasa itu berkata "Kami tak boleh berbuat apa-apa", saya terus naik ke 
tingkat atas, dalam masa saya naik, si lelaki membawa Hartina masuk ke bilik dan 
menguncinya dari dalam. Kemudian lelaki itu berdiri di hadapan pintu sambil mencekak 
pinggang. Tujuan saya naik ketika itu adalah untuk memujuk Hartina, tetapi leaki India 
terlebih dahulu telah membawa Hartina masuk ke dalam bilik. Saya bersuara dengan 
lembut untuk memujuk lelaki itu supaya memeluk Islam dan selepas itu dia boleh 
mengambil anak saya sebagai isteri dan saya boleh memberikan rumah saya di Seri 
Sentosa itu kepada mereka. Itulah perkataan yang saya ulang beberapa kali , tetapi 
lelaki India itu diam sahaja.Tidak lama kemudian dia bersuara dalam bahasa Tamil 
dengan perkataan yang sungguh kesat dan kurang bersopan. Katanya: "kalau hendak 
mengadu, mengadulah, apa kerajaan Malaysia boleh tolong kamu?" Sambil itu dia mengutuk 
Islam
 dengan kata-kata yang lucah. Ketika itu saya tahu bukan dia seorang sahaja yang 
terlibat, tetapi mungin ada dalang di belakangnya. Ketika dia menghina Islam, saya 
tidak dapat menahan perasaan, kesabaran saya tercabar. Hati saya benar- benar panas, 
saya mengeluarkan pisau lipat dari poket seluar dan saya tidak sedar yang pisau itu 
saya gunakan untuk mengelar lehernya. Saya juga tidak menghiraukan polis yang ada di 
belakang saya yang ketika itu sedang menghubungi ketuanya untuk mendapatkan kebenaran 
pecah pintu untuk membawa Hartina ke balai. Polis itu terkejut dan segera menahan 
darah yang memancut keluar dari leher Rajeswaran dan membawanya turun ke bawah. 

Berikutan peristiwa itu saya telah ditahan sehingga 16 Sept 1996 dengan jaminan 
RM3000.00. Setelah dibebaskan, sepanjang bulan September saya tidak ke mana-mana lagi 
, hanya duduk di rumah sahaja. Pada 1 Oktober 1996 saya mula berniaga. Kegiatan saya 
selepas itu hanya berniaga dan duduk di rumah sahaja. Kebetulan pada 1 Disember 1996 
Hartina dan Rajeswaran datang bersama dengan rombongannya dan minum betul-betul di 
hadapan tempat saya berniaga. Apa niat sebenar mereka ?. Saya mula berniaga jam 6.00 
petang dan saya ditemani anak bongsu saya Syukur Yazit yang ketika itu berumur 14 
tahun . Semasa saya baru mengeluarkan barang perniagaan sate saya, lebih kurang empat 
atau lima meter di hadapan saya, saya nampak mereka semua sedang minum. Saya 
meletakkan barangan sate saya dan cuba pergi kearahnya (Hartina). Tujuan saya adalah 
untuk bersembang dan memujuknya sekali lagi. Mana tahu jika hatinya terbuka untuk 
kembali semula kepada Islam. Seelok sahaja saya sampai , Hartina bangun , seorang
 demi seorang kawan-kawannya bangun. Saya tahu mereka bersedia untuk menyerang saya, 
saya berpatah semula ke gerai saya untuk mengambil parang untuk mempertahankan diri. 
Tanpa saya sedari di belakang saya orangnya sudah menunggu . Lelaki yang bertubuh 
besar itu menendang saya dari arah belakang. Saya yang sememangnya ada penyakit 
jantung dan sakit belakang tidak mampu melawan. Saya jatuh tersungkur. Selepas itu 
kawan-kawannya yang lain datang meluru ke arah saya, ada yang menendang, memijak , 
menumbuk dan bermacam-macam lagi mereka buat pada saya. Ada juga yang melemparkan batu 
ke arah saya. Akhirnya saya pengsan kerana tiada tenaga untuk melawan. 

Apabila saya tersedar saya dapati, saya berada di Hospital Kampar. Dari Hospital 
Kampar saya dihantar ke Hospital Ipoh. Semasa di hospital saya nampak ada seorang 
polis menuju ke arah saya. Saya ingatkan polis mengawal saya , tetapi rupa- rupanya 
mereka menjaga saya agar tidak melarikan diri kerana saya disabit melakukan jenayah di 
atas aduan Hartina yang mengatakan saya menyerang mereka. Saya menyoal polis itu: 
"Apakah hanya untuk minum petang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata untuk 
minum di situ?" Berdasarkan lapuran polis yang dibuat oleh Hartina itu, keluar saja 
dari wad saya terus dibawa ke balai dan ditahan di dalam lokap selama lapan hari. 
Bayangkanlah dari wad saya terus ke balai tanpa pulang ke rumah dahulu. Bila saya 
masuk lokap, saya lihat Yazit sudah ditahan. Dia dimasukkan dua hari sebelum saya 
ditahan. Baru saya tahu rupa-rupanya semasa saya diserang, Yazit telah bertindak 
mengambil parang dan membelasah orang-orang Rajeswaran. Itulah kasih anak, dalam usia
 14 tahun sanggup menggunakan senjata tajam semata-mata untuk mempertahankan bapa. 
(En.Kamaruddin terhenti seketika sambil menyapu airmata) . Selepas sembilan hari kami 
dibebaskan dengan jaminan RM2000.00 seorang. Selepas itu saya hanya berehat sahaja 
dirumah kerana badan saya masih terasa sakitnya. Walaupun saya berehat di rumah, saya 
terus berhubung dengan peguam saya untuk mendapatkan maklumat mengenai perkembangan 
Hartina dan Rajeswaran. 

Setelah empat bulan berehat, saya mendapat surat dari Mahkamah yang telah menetapkan 4 
Mei 1998 sebagai tarikh perbicaraan pertama dijalankan. Rajeswaran adalah saksi 
ketiga. Selepas dua minggu daripada tarikh perbicaraan itu, iaitu pada 20 Mei 1998 
pada sebelah pagi, Rajeswaran terkena dua das tembakan. Maknanya sejak dari Mac 1996 
Rajeswaran tidak kena apa- apa tembakan pun, tiba-tiba pada 20 Mei iaitu selepas 
tarikh perbicaraan dia terkena tembakan. Berdasarkan atas apa yang mereka lapor 
sebelum ini ada mengatakan jika ada apa-apa terjadi ke atasnya, orang pertama yang 
disyakki adalah saya. Berikutan dengan itu saya telah ditahan sekali lagi di Balai 
Polis Kampar selama tiga jam pada 20 Mei 1998. Saya diheret bersama Yazit yang turut 
juga disyakki. Yang menghairankan ialah Yazit turut dituduh terlibat sedangkan ketika 
itu usianya baru 16 tahun. Jika benar saya melakukan, takkanlah budak seusia Yazit 
yang akan saya babitkan bersama. Kami berdua digari. 

Polis yang menggari kami juga terkejut melihat saya. Sebenarnya sebelum kejadian itu 
polis telah berjumpa dengan saya, memberi nasihat agar tidak lagi melakukan kekecohan 
dan menasihati saya agar melakukan solat hajat dan berdoa. Saya ikut nasihatnya, 
tambahan pula saya baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang. Takkanlah saya 
tergamak melakukan perkara merbahaya itu? Tetapi saya tidak berkuasa, saya hanya 
menurut perintah dan arahan pihak polis. Kami telah disoal, Yazit telah dipaksa 
mengaku bahawa kami yang merancang kejadian tembakan itu. Selepas seminggu Yazit 
dibebaskan, saya masih ditahan selama dua minggu. Segala akuan saya disiasat. Mereka 
bertanya saya telah mengupah siapa dan berapa yang saya bayar untuk mengupah 
penjenayah itu. Saya tetap tidak mengaku kerana saya tidak tahu apa-apa. Mereka 
memukul Yazit dengan tujuan supaya saya mengaku setelah melihat Yazit diseksa dengan 
teruk. Akhirnya Yazit terpaksa berbohong dan mengaku ada melakukannya kerana sudah 
tidak
 tahan dipukul dengan teruk. Saya katakan kepada polis, apabila keadaan semakin teruk, 
segala yang benar menjadi palsu dan pekara palsu menjadi benar. Saya tetap tidak 
mengaku sehingga polis menangguhkan kes saya untuk di bicarakan. Selepas dua minggu 
saya di bebaskan, sehingga kini ia masih dalam kes. 

Itulah serba sedikit kejadian dan rentetan peristiwa yang dialami oleh kami 
sekeluarga. Bukan tujuan saya untuk membuka aib sendiri, bahkan ianya lebih bertujuan 
sebagai pengajaran dan panduan kepada orang lain. Apa yang saya harapkan agar tidak 
ada lagi Hartina kedua selepas kejadian yang menimpa Hartina, anak saya itu. Sebelum 
tidur macam-macam perkara yang saya fikirkan. Adakalanya timbul persoalan, kenapa 
begitu kuat ujian yang saya perlu tempuhi?. Kenapa saya yang melalui segala ini? 
Apabila teringatkan terjemahan ayat dari surah An'am ayat 125 saya beristighfar. Ayat 
yang bermaksud. "Sesiapa yang dikehendakki oleh Allah, akan dibuka pintu hatinya dan 
sesiapa yang tidak dikehendakki, maka akan disempitkanNya". Apabila sesuatu perkara 
telah menimpa ke atas kita, kita harus menerimanya sebagai salah satu daripada rukun 
Iman. Qada dan Qadar dari Allah, itu adalah kehendak Allah. Itulah caranya saya 
memujuk hati saya. Harapan saya sekarang ialah agar Hartina kembali kepada Islam.
 Dunia ini luas, duduklah di mana-mana asalkan dalam agama Islam. Tidak perlulah dia 
kembali kepada kami. Bukan kami tidak memaafkannya, tetapi cukuplah penderitaan dan 
penyiksaan yang kami lalui atas perbuatannya itu.

                
---------------------------------
Do you Yahoo!?
New and Improved Yahoo! Mail - Send 10MB messages!

[Non-text portions of this message have been removed]



------------------------ Yahoo! Groups Sponsor --------------------~--> 
Make a clean sweep of pop-up ads. Yahoo! Companion Toolbar.
Now with Pop-Up Blocker. Get it for free!
http://us.click.yahoo.com/L5YrjA/eSIIAA/yQLSAA/ZP59lB/TM
--------------------------------------------------------------------~-> 

Forum IT-Kelate http://itkelate.tk/

Memetakan Kelantan Dalam IT
http://rakan.100free.com

IT-Kelantan tidak membenarkan pengiriman sebarang iklan MLM dan Skim cepat kaya atau 
seumpamanya.  
Yahoo! Groups Links

<*> To visit your group on the web, go to:
    http://groups.yahoo.com/group/IT-Kelantan/

<*> To unsubscribe from this group, send an email to:
    [EMAIL PROTECTED]

<*> Your use of Yahoo! Groups is subject to:
    http://docs.yahoo.com/info/terms/
 

Kirim email ke