Revolusi rangkaian dunia tanpa sempadan abad ke-21
(Bahagian 1)
Oleh Ya-Qin Zhang
SEJAK pertengahan abad ke-20, revolusi elektronik dunia maklumat telah menyaksikan perubahan ketara dari segi keupayaan simpanan, transmisi dan pemprosesan data.
Ternyata bahawa penggunaan satelit, kabel gentian optik dan peranti simpanan kepadatan tinggi telah meningkatkan produktiviti sosial dengan cara yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Namun, aspek paling penting dalam Revolusi Maklumat tidak terhad kepada peluang memanfaatkan kebijaksanaan atau meningkatkan kecekapan, tetapi juga mengenepikan segala halangan untuk mengalu-alukan ketibaan Revolusi Rangkaian.
Penyepaduan organik antara pengkomputeran dan komunikasi ialah ciri paling penting dalam Revolusi Rangkaian.
Masa dan ruang tidak lagi menjadi halangan bagi interaksi dan komunikasi kerana Internet membawa kita lebih hampir kepada realiti yang
mana perhubungan kini dapat dilakukan sesama manusia dan antara objek.
Rencana ini akan menerangkan trend dan hukum Revolusi Rangkaian, dengan tumpuan lebih khusus diberi kepada hukum-hukum yang diguna pakai.
Hukum Revolusi Rangkaian
Internet yang pantas berkembang kini secara senyap menjatuhkan `tembok besar' yang ketara atau tidak ketara yang memisahkan negara dan bangsa.
Matlamat akhir trend pembangunan ini ialah ``globalisasi teknologi,'' ``pelbagaian produk,'' ``penyesuaian kepada pasaran tempatan'' dan ``penyesuaian perkhidmatan peribadi''.
Sebelum ini, pengilang dan syarikat dalam industri IT mempunyai piawaian tertutup bebas yang tidak serasi antara satu sama lain seperti (Mac, PC, UNIX).
Berikutan penggabungan beransur-ansur komunikasi dan domain komputer, pembangunan piawaian global tidak dapat dielakkan.
Di peringkat tempatan, situasi sebaliknya dapat dilihat dengan pembangunan produk dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan pengguna dari rantau berbeza.
Memandangkan pengguna dari kawasan geografi berbeza mempunyai permintaan, psikologi penggunaan dan keupayaan sokongan ekonomi berbeza, pasaran dan perkhidmatan produk juga akan berbeza walaupun perkembangannya mungkin berasaskan landasan teknologi yang sama.
Semua pengamal IT tahu tentang dua undang-undang pengkomputeran penting yang saling melengkapi, iaitu Hukum Moore dan Hukum Bell.
Hukum Moore menekankan bahawa kelajuan pemproses mikro akan berganda setiap 18 bulan, manakala Hukum Bell menyatakan bahawa jika keupayaan komputer tidak berubah, harga dan saiz pemproses mikro akan berkurangan sebanyak separuh setiap 18 bulan.
Ini bermakna kelajuan pemproses mikro dalam julat harga yang sama akan beransur-ansur lebih pantas. Pada masa yang sama, pemproses mikro dengan kelajuan yang sama akan menjadi lebih murah.
Melihatkan situasi semasa, ramalan yang dibuat beberapa tahun lalu ini boleh diguna pakai dari segi ke-pantasan pembangunan ruang memori, cakera keras, kad grafik dan LCD.
Pantas
Syarikat teknologi tinggi akan mendapat manfaat daripada kelajuan komputer yang semakin pantas, dan pengguna juga akan mendapat manfaat daripada kos komputer yang sentiasa berkurangan.
Hukum lain yang turut memberikan unjuran tepat ialah Hukum Gilder dan Hukum Metcalfe. George Gilder meramalkan bahawa dalam tempoh 25 tahun akan datang, lebar jalur teras akan berganda setiap enam bulan dan kelajuan yang semakin meningkat ini lebih pantas daripada CPU (Unit Pemproses Pusat).
Eksperimen yang dijalankan baru-baru ini oleh Microsoft menunjukkan bahawa penghantaran maklumat sebesar 1GB sejauh 300 kilometer mengambil masa hanya 1 saat. Kelajuan ini adalah 10,000 kali lebih pantas daripada keupayaan transmisi modem dalam komputer!
Hukum Metcalfe pula memaparkan kuasa perangkaian. Secara ringkasnya, hukum ini menyatakan bahawa apabila bilangan pengguna rangkaian berganda, nilai rangkaian akan meningkat empat kali ganda.
Sebab itulah syarikat perangkaian sentiasa berusaha menambahkan bilangan pengguna lantas meningkatkan halangan semula jadi kepada persaingan daripada para pesaing.
Hakikat ini menunjukkan bahawa peningkatan lebar jalur tidak lagi disekat oleh halangan teknikal tetapi bergantung kepada permintaan pengguna. Satu hari kelak, manusia akan menganggap ``capaian Internet'' sebagai lumrah kehidupan kerana kita bakal hidup dalam dunia yang dikelilingi oleh rangkaian.
Mengubah Kemandirian Insan
Teknologi multimedia baru yang semakin matang memiliki ciri-ciri berikut; mewujudkan suasana yang mirip kehidupan dan realistik; keupayaan yang lebih bersifat peribadi, tersusun dan mudah dicari; serta lebih interaktif dan dinamik.
Bergantung kepada persekitaran rangkaian, teknologi ini menggabungkan kelebihan tiga industri tradisional - komunikasi rangkaian, pengkomputeran dan hiburan; dan mempunyai skop luas bagi aplikasi masa depan.
Penyepaduan komunikasi wayarles, teknologi multimedia dan Internet membolehkan pengguna mengalami sendiri apa yang suatu masa dulu hanya wujud dalam alam khayalan.
Kematangan teknologi pengecaman pertuturan akan merevolusikan perhubungan komputer dan manusia.
Dalam era rangkaian, pengguna memerlukan perhubungan berasaskan suara antara komputer dan manusia yang lebih semula jadi, mudah dimanfaatkan dan menyenangkan.
Dalam tempoh 5 tahun akan datang, pengecaman suara yang sebenar dan praktikal dan teknologi pertukaran teks-suara akan disediakan dalam peralatan elektrik di rumah seperti PDA dan telefon bimbit.
``Kecerdasan Buatan'' akan menjadi ``Ejen Pintar''. Buat masa ini, Kecerdasan Buatan masih kekal pada peringkat yang mana mesin meniru manusia.
Penyelidikan selanjar menunjukkan bahawa aktiviti pemikiran otak manusia boleh ditafsirkan menerusi formula dan peraturan ringkas. Namun, kami masih tidak mempunyai kefahaman jelas tentang mekanisme kesedaran diri, dan masih belum bersungguh-sungguh membawa set mekanisme ini ke dalam mesin.
``Ejen Pintar'' cuba menyelesaikan masalah ini dari perspektif songsang. Pertamanya, penyelidik akan menterjemah sikap khusus manusia menjadi bahasa yang mudah difahami oleh mesin, membolehkan interaksi yang lancar antara manusia dan mesin.
``Ejen Pintar'' ternyata akan menjadi teknologi teras dalam persekitaran rangkaian.
- Penulis ialah Pengarah Urusan, Microsoft Research China.
Send instant messages to your online friends http://uk.messenger.yahoo.com
| Florist malaysia | Malaysia hotel | Kelantan |
YAHOO! GROUPS LINKS
- Visit your group "IT-Kelantan" on the web.
- To unsubscribe from this group, send an email to:
[EMAIL PROTECTED]
- Your use of Yahoo! Groups is subject to the Yahoo! Terms of Service.
