SOALAN
SAYA suami berumur 32 tahun dan berkahwin tujuh tahun lalu. Isteri saya berumur 
30 tahun dan kami dikurniakan empat anak yang comel dan sihat.

Saya bekerja di syarikat multinasional dan isteri pula di sektor perbankan. 
Saya dan isteri tiada masalah, cuma sekali sekala kami bergaduh dan bermasam 
muka, tetapi hanya sementara, paling lama pun hanya satu hari dan kami akan 
berbaik semula.

Kedudukan kewangan kami kukuh dan boleh dikatakan kami sekeluarga hidup mewah. 
Masalah di sini bermula apabila saya mengenali seorang gadis yang kebetulan 
menelefon saya berkaitan kerja. Saya namakan dia A.

Umur A baru 20 tahun dan hubungan kami sampai ke tahap di mana A sedia 
melakukan hubungan seks dengan saya. A benar-benar sayang dan mencintai saya 
serta sanggup menjadi isteri kedua. Saya keliru dan seronok dengan pengakuan 
ikhlas A, tetapi niat saya pada awalnya sekadar menjadikan A teman berbual. 
Tidak sangka pula melarat hingga ke kamar tidur.
 
Saya tidak sanggup menjadikan A isteri kedua kerana isteri saya pun cukup bagus 
dan sempurna pada mata saya.

Pada masa sama, saya mengenali seorang pelajar universiti yang kebetulan 
menjalani latihan amali di tempat saya bekerja. Saya namakan dia B dan berumur 
21 tahun. Hubungan kami serius dan B juga takut kehilangan saya.

B juga berharap saya menjadi miliknya. Saya melayan A dan B sama rata. Apa yang 
A dapat, B juga dapat. Ini menjadikan mereka rasa disayangi dan dihargai. Usah 
ditanya bagaimana saya mengatur jadual pertemuan dengan mereka dan juga urusan 
saya di rumah.

Baru-baru ini saya menjalin hubungan dengan bekas pekerja di tempat kerja saya. 
Perkenalan terjadi pada hari terakhir dia bekerja. Sebelum itu kami hanya 
senyum bila berselisih dan pada hari terakhir dia bekerja, saya meminta nombor 
telefon gadis yang saya namakan C.

C berumur 20 tahun. Dia setuju memberi nombor telefon dan daripada situ bermula 
detik saya berhubungan dengan C pula. Buat masa ini saya dan C belum ke tahap 
serius dan masih dalam proses mengenal hati budi, tapi saya tahu C sudah lama 
tertarik dengan saya.

Bukan mengangkat diri atau berlagak. Fizikal saya tidak menarik, cuma saya guna 
kelebihan mengatur ayat manis untuk memikat ketiga-tiga mereka. Mereka anggap 
saya romantik dan penyayang.

Ketiga-tiga mereka boleh dikatakan sangat menarik, menjadi rebutan serta 
bualan. Saya rasa beruntung dapat memiliki mereka sekali gus, tetapi jauh di 
sudut hati rasa bersalah dan kesal yang amat sangat kerana curang terhadap 
isteri.

Bagaimana saya dapat menebus kesilapan ini dan dalam masa sama mengelak 
melukakan hati mana-mana pihak. Saya tersangat sayangkan isteri dan anak. Saya 
takut kehilangan mereka akibat perbuatan ini.

JAWAPAN
Alangkah beruntungnya saudara kerana diberi kebahagiaan dan kenikmatan hidup 
oleh Allah SWT. Pasti ramai mencemburui saudara kerana kenikmatan yang 
diperoleh.

Kebahagiaan dan kenikmatan yang Dang Setia maksudkan bukan mengenai gadis A, B 
dan C yang kini berebut-rebut untuk memiliki saudara, sebaliknya isteri yang 
baik, anak comel serta kehidupan mewah hasil kedudukan kewangan saudara yang 
kukuh.

Sepanjang tujuh tahun berkahwin pula, secara keseluruhannya rumah tangga 
saudara bahagia, jadi izinkan Dang Setia bertanya apa sebenarnya menyebabkan 
saudara menjalin hubungan dengan wanita lain, bukan sekadar seorang tapi tiga.

Saudara ada menyatakan pada awalnya hanya suka-suka dan tiada niat curang, 
namun keadaan berubah menjadi serius dan saudara tidak sangka boleh jadi begitu.

Bagi Dang Setia, itu alasan ‘murah’. Ramai suami curang memberi alasan 
sedemikian, hakikatnya punca utama mereka, termasuk saudara, menjalin hubungan 
dengan wanita lain kerana nafsu.

Dang Setia percaya saudara sedar hakikat ini, namun enggan mengakuinya kerana 
berbuat demikian bermakna saudara mengakui kelemahan sendiri.

Hakikatnya, mengakui kelemahan sendiri adalah sikap positif yang boleh membawa 
kemajuan dan mereka yang tidak berani berbuat demikian sebenarnya menipu diri 
sendiri.

Sebenarnya saudara tidak perlu malu mengakui saudara kini hampir tertewas 
dengan godaan nafsu. Ini kerana hanya dengan mengakui kelemahan sendiri kita 
mampu memperbaiki keadaan dengan berusaha mengatasinya.

Saudara juga perlu sedar saudara kini mungkin diuji oleh Allah untuk mengukur 
tahap keimanan dan ketakwaan terhadap-Nya. 

Jangan beranggapan ujian Allah hanya hadir dalam bentuk kesusahan atau 
kesedihan kerana ujian juga hadir dengan Allah melimpahkan kesenangan serta 
kemewahan. 

Ini kerana lumrah manusia mudah lupa atau lalai dengan tanggungjawab kita 
sebagai hamba Allah apabila hidup dilimpahi kesenangan dan kemewahan.

Bagi Dang Setia, itulah situasi saudara sekarang. Saudara diuji dengan dua 
godaan hebat, iaitu kemewahan dan wanita. Kedua-duanya memang menyeronokkan, 
tapi jangan sekali-kali lupa keseronokan itu sebenarnya nafsu.

Oleh itu, yang saudara perlu lakukan sekarang ialah bermuhasabah atau melihat 
ke dalam diri sendiri untuk mencari kelemahan yang boleh menjauhkan saudara 
daripada Allah dan mungkin juga menyebabkan saudara kehilangan segala nikmat 
hidup yang dikecapi sekarang.

Insafilah betapa isteri yang baik, empat anak comel dan kedudukan kewangan 
kukuh yang saudara nikmati sekarang sesungguhnya nikmat berharga daripada 
Allah. 

Saudara ada mengatakan sayangkan isteri dan anak serta tidak mahu kehilangan 
mereka, tapi cuba fikir secara waras, hati isteri mana tidak terluka jika tahu 
suaminya menjalin hubungan dengan wanita lain?

Bukankah menjalin hubungan dengan wanita lain bermakna saudara sengaja 
meletakkan diri berisiko tinggi untuk kehilangan isteri dan anak?

Dang Setia percaya saudara tahu, untuk memastikan rumah tangga kekal harmoni 
serta tidak kehilangan isteri berama anak, tindakan paling tepat ialah putuskan 
saja hubungan dengan A, B dan C.

Berpoligami? Ya ini boleh menjadi satu lagi jalan penyelesaian untuk saudara, 
tapi adakah ia lebih baik.

Jika masih teringin untuk berpoligami, terpulangl pada diri saudara, cuma Dang 
Setia ingin saudara fikirkan kenyataan ini yang disampaikan kepada Dang Setia 
oleh seorang lelaki yang ada tiga isteri.

Katanya, dalam berpoligami, nikmatnya hanya satu tapi peningnya sampai 10. 
Fikir-fikirkanlah.


      

Kirim email ke