Bila wujud perkahwinan, tidak semesti semuanya ok dan bahagia. Ada banyak 
perkara yang boleh mengubah tanggapan kita dan kita perlu banyak bersabar. Di 
bawah ini ada beberapa perkara melalui pengalaman masyarakat kita dan tanggapan 
mengenai perkahwinan dan pengalamannya selepas berkahwin.
1. Berkahwin tidak bermakna anda tidak akan keseorangan lagi.
“Saya dan suami baru sahaja mengikuti kaunseling. Tiada apa-apa yang drastik 
cuma kami dapat rasakan bahawa kami semakin berjauhan dari segi emosi dan 
fizikal. Jiwa semakin terasa keseorangan. Nasib baik kami berdua cepat sedar 
dan sanggup mendapatkan bantuan daripada mengambil tindakan yang bertentangan.”
2. Berkahwin tidak bermakna anda akan berasa menyintai atau dicintai setiap 
hari.
“Kebahagiaan dalam perkahwinan tidak berlaku sekelip mata kerana masalah tentu 
akan timbul. Ada masalah besar dan ada yang kecil. Kadangkala anda akan 
merasakan diri sudah tidak dicintai.” Amat penting bagi masing-masing 
mengucapkan perasaan cinta dan mencintai.
3. Anda masih perlu menghangatkan suasana.

“Kami suami isteri mempunyai kerjaya yang sangat sibuk dan jarang dapat 
meluangkan masa bersama. Untuk mengelakkan perasaan seperti teman sebilik 
sahaja, kami cuba terapkan kebiasaan untuk memeluk antara satu sama lain dan 
bercerita setiap malam sebelum melelapkan mata.”
4. Perkahwinan adalah sesuatu yang menyeronokkan.
“Saya dan isteri amat menyenangi kehadiran masing-masing. Kami gemar bergelak 
ketawa bersama, bergurau dan mengusik. Setiap hari ada sahaja SMS yang 
dihantar… kadang kala lawak jenaka dan ada juga mesej berunsur seks nakal.”
5. Lazimnya salah seorang akan lebih banyak berkorban.
“Mana ada yang seratus peratus adil pembahagiannya. Selalunya isteri akan lebih 
banyak berkorban terutamanya dari segi kerjaya. Kadang-kala ada yang terpaksa 
melepaskan kenaikan pangkat kerana tidak ingin rumahtangga kucar-kacir.”
6. Pasangan anda akan berubah mengikut masa.
Anda harus menerima kenyataan bahawa masing-masing akan berubah mengikut masa. 
Kadang-kalanya dari segi perangai, rupa paras , bentuk badan dan hobi. Tiada 
orang yang akan kekal sama seperti mana mula-mula berkenalan dahulu.
7. Anda tidak semestinya akan bersetuju dalam semua perkara.

Suami akan tetap mahu menggunakan wang bonus untuk membesarkan garaj manakala 
isteri inginkan sofa baru. Terimalah hakikat bahawa masing-masing ada keinginan 
yang berbeza. Yang penting tolak ansur-mungkin bonus tahun ini mengikut 
kehendak isteri manakala bonus tahun depan untuk suami pula.
8. Semakin lama berkahwin semakin bahagia.
Pasangan yang memahami kehendak masing-masing dan mengamalkan tolak ansur dalam 
kebanyakan perkara sepanjang mereka berkahwin, lazimnya akan berjaya melawan 
badai atau apa-apa masalah. Mereka inilah yang dapat menikmati kemanisan 
berumahtangga. Sememangnya pasangan ini adalah “soulmate” masing-masing.
9. Hubungan seks ada turun naiknya.
Kadang kala sangat berkesan dan ada kalanya tidak begitu memberansangkan. 
Masing-masing seharusnya menerima bahawa ianya bergantung kepada “mood” dan 
keadaan sekeliling.
10. Perasaan Ego yang berlebihan adalah amat berbahaya.

Apabila perselisihan terjadi, masing-masing menjadi begitu sensitif dan 
mementingkan ego. Jika terlampau mengikut ego, anda mungkin akan memanjangkan 
masalah yang kecil. Elakkan daripada menyimpan perasaan marah terlalu lama 
kerana pasangan anda mungkin akan berubah hati.


      

Kirim email ke