Bila bercakap mengenai sekolah, mengenai anak-anak murid aku, mengenai 
Matematik (kerana aku mengajar subjek Matematik di sekolah ini), tiba-tiba 
sahaja aku teringatkan sebuah buku yang pernah aku baca sekitar tahun 1991.

Buku yang berjudul Beruk, karya Tuan Sasterawan Haji Azizi Haji Abdullah. Buku 
ini mengisahkan si Alias yang tinggal dengan emaknya yang sudah tua lumpuh, dan 
teman baiknya si gadis bernama Som dengan ayahnya yang bernama Pak Din serta 
Cikgu Sunan selaku watak separa antagonis.

Dalam cerita ini tidak ada sesiapa yang benar-benar bersalah, kerana cerita ini 
cuma mengenai budak yang baru berusia 12 tahun. Si Alias yang handal dalam 
Matematik, suatu hari tidak dapat tenang untuk pergi ke sekolah kerana beruknya 
hilang.

Bukan salah Alias, kerana gagal memberikan jawapan yang bernas untuk 
menyenangkan hati gurunya. Namun, sudah semestinya, apabila seorang budak 
berusia 12 tahun menimbulkan masalah, seorang guru itu harus menjejak ke 
rumahnya, kerana jawapan yang sebenar mungkin terdampar di rumah budak itu.

Alias tersilap memberi alasan kerana cuma mengatakan dia sayangkan Pon. 
Sekiranya Alias menerangkan peranan Pon dalam keluarganya, sudah pasti Cikgu 
Sunan juga tidak jadi mengirimkan penampar ke telinga Alias. Agaknya 
budak-budak zaman sekarang masih adakah seperti Alias? Ada... ada... di sekolah 
tersebut, aku mengesan seorang budak yang gagal memberikan keterangan yang 
benar mengenai dirinya, lalu dia pernah termakan penampar oleh seorang guru.

Budak ini sekarang dalam pemerhatian aku, kerana aku mendapati dia jadi begini 
kerana dia seorang anak yatim, tidak tahu siapa ibu dan bapanya. Dia menghadapi 
dilema antara permainan sukan tenis dengan skuash, lalu aku meminta dia 
mengadakan senarai semak sebelum membuat keputusan yang sebaik-baiknya.

Beruk yang bernama Pon itu adalah sumber pencarian makan, minum, pendidikan dan 
ubatan buat Alias sekeluarga. Jika bukan kerana itu, maka masih ada Pak Din dan 
Mak Cik Kiah yang agak gempal badannya itu datang membawa sejambir rezeki buat 
mereka sekeluarga.

Alias cuma memiliki dua helai seluar dan sehelai baju untuk dipakai buat 
sehari-harian. Begitulah apa yang diceritakan oleh penulisnya, Pak Haji Azizi 
menerusi buku yang diterbitkan oleh Penerbitan Kintan pada suatu ketika dahulu.

Suatu hari telinga Alias termakan penampar Cikgu Sunan yang garang hingga 
keluar menanah dan terjerit pekik bengkak merah dari telinga serta lebam bisu 
di lehernya. Alias makin enggan untuk hadir ke sekolah kerana risau bau busuk 
nanah yang sepekat susu penuh krim itu menyakitkan hidung dan menimbulkan 
perasaan nakal di kalangan rakan-rakan sekelas untuk mengejek dirinya sebagai 
beruk dan tidak selain perkataan B.E.R.U.K.

Hal ini mengundang pihak sekolah untuk menyiasat kehidupan Alias yang terpencil 
di pinggir hutan, untuk mengetahui kisah sebenar si Alias. Lalu, suatu ketika 
Cikgu Sunan datang sendiri untk menghayati keperitan hidup si Alias. Ini juga 
permulaan tragedi.

Ketika Cikgu Sunan menitiskan air mata memeriksa bisa tamparannya terhadap 
telinga Si Alias, Pon mengamuk kerana salah faham dan bimbang kerana 
menyalahtanggap si guru itu. Dalam mata Pon, Cikgu Sunan adalah seperti harimau 
yang sedang membaham isi telinga dan otak tuannya, Alias.

Lalu, Pon berusaha melepaskan diri, memutuskan tali, lalu menerkam ke arah 
Cikgu Sunan. Tragis, apabila Alias sendiri harus menamatkan nyawa Pon yang 
mengganas, dengan menggunakan lembing pengupas kulit kelapa, dan pergi, 
melayanglah, jiwa seekor beruk yang setia.

Saya ketika berusia 12 tahun juga terpengaruh dengan penamat cerita ini. Suatu 
ketika, kucing saya dibuang dari rumah, lalu saya berjanji kepada kucing saya 
itu.

"-NAMA KUCING-, TUNGGU SAYA DI UNIVERSITI..."


      

Kirim email ke