SOALAN:Saya sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Kami bahagia, tetapi 
perangai isteri saya ialah suka melambatkan sembahyang isyak hingga hampir 
subuh, asar hampir maghrib dan kerap mengqadakkan sembahyang tanpa sebab. Ini 
adalah masalah besar pada saya. - MOHD. SAIFUL NIZAM, Kuala Lumpur.
 
 
 
 
Jawapan: Dalam membicarakan masalah seperti ini, beberapa perkara asas perlu 
difahami. Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali 
nafsu yang diberi rahmat oleh Allah (Yusuf: 53). Demikianlah penjelasan 
al-Quran mengenai kecenderungan tabiat manusia.
Selain itu, Allah s.w.t. menjadikan tabiat asal manusia itu dalam keadaan resah 
gelisah, tidak kira sama ada ketika dalam keadaan susah ataupun senang. 
Walaupun demikian, andainya seseorang itu beriman kepada Allah dan berupaya 
melakukan ibadah sembahyang dengan lengkap, sempurna dan diterima Allah, maka 
sikap buruk tersebut akan hilang hasil daripada ibadah yang dilakukan itu.
Manusia yang tidak beriman, atau beriman, percaya tentang kewujudan Allah, 
tetapi tidak melakukan apa yang telah difardukan, maka ia akan terus menerus 
dalam kegelapan dan lebih berkecenderungan untuk melakukan kejahatan.
Seperkara lain yang perlu disedari bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa 
berusaha untuk menyesatkan manusia, sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah 
roh meninggalkan jasad. Dalam sebuah hadis qudsi dijelaskan bahawa iblis pernah 
bersumpah menyatakan: Demi kemuliaan-Mu, sesungguhnya aku tidak akan berpisah 
meninggalkan anak Adam, sehinggalah roh terpisah daripada jasad.
Andainya seseorang itu beriman dan mendapat pertolongan Allah, biarpun adanya 
tipu daya iblis maka dia akan kekal mati dalam iman, andainya tidak, hasil 
akibat daripadanya, seseorang itu akan mati dalam keadaan dosa, termasuk 
dosa-dosa besar, mati dalam keadaan syirik, murtad atau pun kufur. Satu 
kejayaan iblis dan syaitan untuk menghela manusia bersamanya ke neraka jahanam.
Biarpun iblis telah bersumpah menjelaskan azamnya sedemikian rupa, Allah s.w.t. 
menyatakan bahawa makhluk itu tidak mempunyai kekuatan atau keupayaan 
menyesatkan hamba-Nya, kecuali ke atas mereka yang mengikut langkah iblis dan 
syaitan yang terdiri daripada golongan sesat (al-Hijr: 42).
Allah s.w.t. menjelaskan bahawa sembahyang itu mencegah pelakunya daripada 
melakukan kejahatan dan kemungkaran (al-Ankabut: 45) dan dalam masa yang sama 
iblis terus menerus berusaha untuk menyesatkan manusia. Kerana itu maka tidak 
peliklah kenapa iblis dan syaitan itu berusaha untuk menyekat manusia daripada 
melakukan sembahyang.
Iblis dan syaitan berusaha menghalang manusia agar jangan melakukan sembahyang. 
Andainya seseorang itu terus juga sembahyang, makhluk itu akan mengganggu 
ketika seseorang itu sedang mengambil wuduk. Rasulullah s.a.w. memberi amaran 
tentang adanya satu kumpulan iblis yang dinamakan ``al-Wilhan'' yang berperanan 
untuk mengganggu seseorang itu berwuduk, menyebabkan timbulnya was-was, lalu 
wuduk itu diambil mengambil masa yang panjang, berulang kali tanpa yakin.
Ketika mendirikan sembahyang iblis akan menimbulkan was-was hati iaitu ketika 
berniat, membaca al-Fatihah, mengganggu pemikiran menyebabkan seseorang itu 
tidak berupaya menumpukan konsentrasinya kepada ibadah yang dilakukan. Ketika 
itu timbul pelbagai lintasan, termasuk peristiwa yang dilihat di tengah jalan, 
di pejabat, rasa kecewa harga saham dan kelapa sawit yang menjunam dan 
lain-lain lagi termasuk gangguan yang timbul daripada gambar-gambar ataupun 
tenunan pada kain sejadah yang dijadikan alas tempat sembahyang.
Selain daripada tabiat manusia yang sukar hendak mendirikan ibadah sembahyang, 
iblis dan syaitan juga menipu manusia agar melengah-lengahkan sembahyangnya, 
yang mungkin berpunca daripada sifat malas semula jadi, didikan yang diberi 
atau suasana yang mempengaruhi. Seseorang itu mungkin melambat-lambatkan 
sembahyangnya kerana mesyuarat, terlalu asyik dengan kerja yang dilakukan, 
untuk menyudahkan tugas yang diberi dan sebagainya.
Untuk mengatasi masalah seperti ini seseorang itu perlu kembali kepada hukum 
asal, iaitu memahami hukum mereka yang melambat-lambatkan sembahyang seperti 
yang saudara kemukakan.
Dalam surah al-Maun: 4-5 dijelaskan, ``Maka kecelakaanlah bagi mereka yang 
sembahyang, iaitu orang yang lalai dari sembahyangnya.''
Menurut Saad bin Abi Waqqas, seorang daripada 10 sahabat yang dijanjikan 
syurga, yang meninggal dunia pada tahun 55H, menyatakan yang dia telah 
bertanyakan Rasulullah tentang maksud ``orang yang lalai sembahyang'' tadi. 
Baginda menyatakan bahawa yang dimaksudkan itu ialah mereka yang 
melambat-lambatkan sembahyang daripada waktunya.
Mereka ini tetap termasuk dalam golongan orang yang melakukan sembahyang, 
tetapi memandang enteng dengan melambat-lambatkannya. Bagi mereka adalah 
balasan neraka, yang dinamakan ``wail'', yang sangat berat azabnya. Menurut 
satu pendapat neraka wail itu adalah satu lembah yang terdapat di neraka 
jahanam. Andainya bukit-bukit yang ada di dunia itu diletakkan dalamnya, 
nescaya hancur luluh semuanya kerana terlalu panas.
Dalam sebuah hadis riwayat daripada al-Bayhaqi dinyatakan bahawa Umar bin 
Al-Khattab r.a. ada memberitahu, telah datang seorang lelaki menemui Rasulullah 
s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, apakah amalan yang paling dikasihi Allah 
dalam Islam. Baginda menjawab: Sembahyang dalam waktunya. Barang siapa 
meninggalkan sembahyang, maka tidak ada agama baginya. Sembahyang adalah tiang 
agama.
Rasulullah s.a.w. juga ada bersabda yang bermaksud: Apabila seseorang hamba itu 
sembahyang pada waktu awal, maka sembahyang itu naik ke langit dengan cahaya, 
sehinggalah tiba ke arasy, lalu sembahyang itu memohon keampunan kepada Allah 
untuk tuannya sehingga hari kiamat. Ia berkata: Semoga Allah memelihara akan 
dikau sebagaimana engkau memelihara akan daku. Dan apabila seorang hamba itu 
sembahyang bukan pada waktunya, sembahyang itu naik ke langit bersamanya 
kegelapan. Apabila tiba ke langit ia dilipat, seperti pakaian yang dilipat, 
lalu dipukul dengannya pada muka tuannya, ia berkata: Allah s.w.t. 
mempersia-siakan akan dikau, sebagaimana engkau mempersia-siakan akan daku.
Keterangan di atas menjelaskan betapa Allah memberi peringatan amaran terhadap 
mereka yang melengah-lengahkan sembahyang. Andainya seseorang itu benar-benar 
beriman kepada Allah dan menyedari betapa pedih dan sakitnya seksaan tersebut, 
dia akan sedar dan insaf dan tidak akan mengulangi perbuatannya itu.
Namun demikian, lumrahnya tidak mudah seseorang itu hendak mengubah tabiatnya 
yang telah menjadi darah daging. Dosa itu seperti sakit atau kerosakan yang ada 
pada jari-jari. Apabila satu jari itu rosak, maka akan bengkoklah jari tadi. 
Semakin banyak kesakitan yang terjadi, maka semakin banyaklah jari-jari yang 
bengkok, yang mungkin berakhir dengan kerosakan pada seluruh jari jemari tadi.
Adalah mudah untuk memulihkannya jika ia dirawat sebaik-baik sahaja jari itu 
membengkok. Ia akan pulih seperti sediakala bergantung kepada tahap kesakitan 
yang dialami, ubat yang digunakan, dan kekuatan badan si pesakit. Kerana itu 
penyakit perlu diubat lebih awal dan jangan dibiarkan merebak. Merawat dosa 
ialah dengan bertaubat.
Allah s.w.t. menyuruh setiap lelaki agar melayani isterinya dengan baik 
(an-Nisa: 19). Rasulullah s.a.w. menyuruh agar suami berlemah lembut kepada 
isteri, tidak berkeras untuk memperlihatkan kuasanya atau sifat kelelakiannya. 
Kaum wanita diibaratkan seperti tulang rusuk yang bengkok dan yang paling 
bengkok ialah tulang rusuk yang berada di atas sekali. Kalau tulang itu cuba 
hendak diluruskan ia akan patah, tetapi kalau ia dibiarkan seperti keadaannya 
yang asal, ia akan terus menerus bengkok.
Allah s.w.t. (Taha: 132) menyuruh setiap orang agar menyuruh keluarganya 
mendirikan sembahyang, dalam masa yang sama seseorang itu hendaklah bersabar 
mengerjakannya.
Jelasnya suami mesti memperingatkan isteri dengan bijaksana. Diingatkan tentang 
hukum Allah dan azab seksanya. Isteri juga perlu diperingatkan tentang 
kewajipan suami yang perlu dilakukan dan akibat yang akan dialami olehnya di 
dunia dan akhirat jika ia mengabaikan kewajipan itu.
Imam Tarmizi meriwayatkan satu hadis di mana Rasulullah s.a.w. ada bersabda 
yang bermaksud: Orang yang paling lengkap imannya ialah mereka yang terbaik 
akhlaknya dan di antara kamu yang paling baik ialah orang yang terbaik 
perlakuannya kepada isterinya.
Isteri berhak mempelajari agama dan menerima nasihat daripada suaminya, maka di 
atas suami mengawasi pelaksanaan ajaran-ajaran yang diperlukan, terutamanya 
sembahyang tepat pada waktunya. 
Jangan mendiamkan diri atau tidak mahu bercakap dengan isteri andainya isteri 
masih tidak mahu berbuat demikian ataupun membiarkan isteri terus menerus 
begitu sahaja. Suami akan disoal tentang tanggungjawabnya di hadapan Allah 
kelak.


      

Kirim email ke