Dipetik sepenuhnya daripada Akhbar Kosmo 24 Dis 2009
Kesan aplikasi sosial maya

Oleh SYAHRIR MAT ALI dan FATIN HASNAN

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial dinasihatkan 
supaya tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat 
rumah, nombor kad kerdit, pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan 
sebagainya.



FACEBOOK yang mendakwa memiliki 350 juta pengguna kini menyimpan sepuluh bilion 
gambar pengguna laman web tersebut.

--------------------------------------------------------------------------------


PENGGUNAAN Internet di kalangan masyarakat dunia semakin meningkat dengan pesat 
dan mula mengubah cara hidup mereka.

Menurut penyelidikan yang dibuat oleh IDC Research, pengguna Internet di 
Malaysia telah menjangkau 16 juta orang dan angka tersebut dijangka akan 
melonjak kepada 20.4 juta orang pada 2012.

Kepenggunaan aplikasi rangkaian sosial di Malaysia pula telah mencatat sebanyak 
66 peratus pada bulan Disember 2008 iaitu di tangga ketiga selepas Singapura 
dan Korea Selatan dengan masing-masing mencatat 74.3 peratus dan 68 peratus.

Penggunaan aplikasi rangkaian sosial telah mula menular sehingga telah menjadi 
bagaikan satu budaya dan santapan harian bagi sebahagian besar pengguna 
Internet di seluruh dunia.

Laman web aplikasi rangkaian sosial semakin bercambah sehingga mula mendominasi 
carta dari segi jumlah pelawat yang melayari alam siber dan dunia komunikasi 
maya.

Sehingga kini, terdapat sejumlah 170 rangkaian sosial interaktif yang terkenal 
dan aktif digunakan di seluruh dunia seperti Facebook, Twitter, Friendster, 
MySpace, Tagged dan sebagainya.

Facebook yang mendakwa memiliki sejumlah 350 juta pengguna dari segenap pelosok 
dunia, kini menyimpan lebih daripada 10 bilion gambar yang dikongsi oleh 
pengguna-pengguna laman rangkaian sosial tersebut.

Impak pada masyarakat

Berdasarkan statistik dari sumber Alexa dan Google Ad Planner, laman rangkaian 
sosial Facebook telah dikunjungi oleh kira-kira 6.2 juta pengguna Internet di 
Malaysia dan kira-kira 4.2 juta pula mengunjungi laman Friendster.

Rangkaian sosial interaktif MySpace pula dikunjungi oleh 2.1 juta pengguna 
Internet di Malaysia manakala Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.

Walaupun fenomena rangkaian sosial global yang popular sepertiFacebook telah 
mula menembusi pasaran dunia, terdapat juga beberapa aplikasi rangkaian sosial 
tempatan yang menawarkan kandungan dan perkhidmatan tempatan yang aktif 
digunakan sepertieKawan, Ruumz, GoEatOut, Circles99, FriendX, eMeiMei serta 
Pacmee.

Kebanyakan perkhidmatan rangkaian sosial menyediakan ruang bagi penggunanya 
untuk meletakkan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor 
telefon dan maklumat penting yang lain.

Ciri asalnya bertujuan membantu memudahkan pengguna satu-satu perkhidmatan 
rangkaian sosial berkenalan dan berhubung telah secara tidak langsung 
mendedahkannya kepada risiko kecurian maklumat pengguna oleh mereka yang tidak 
bertanggungjawab.

Laporan yang dikeluarkan oleh Sumber Media, Markmonitor bagi suku pertama tahun 
2009 menunjukkan peningkatan hampir 240 peratus terhadap serangan phishing di 
Amerika Syarikat (AS) yang ditujukan terhadap perkhidmatan rangkaian sosial.



LAMAN sosial Twitter menerima kira-kira 750,000 pengunjung.

--------------------------------------------------------------------------------


Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Markmonitor, Frederick Felman, serangan 
phishing itu merupakan salah satu inovasi terbesar. Perkhidmatan rangkaian 
sosial menjadi sasaran utama penggodam Internet lantaran ia menyimpan banyak 
maklumat peribadi pengguna yang sangat bernilai.

Setiap maklumat peribadi tersebut dikatakan boleh dijual di pasaran gelap pada 
harga AS$1 (RM3.80).

Selain itu, syarikat perisian antivirus F-Secure turut melaporkan tentang 
peningkatan risiko perisian berbahaya (malware) dalam perkhidmatan rangkaian 
sosial berikutan peningkatan serangan sebanyak 100 peratus pada tahun 2007.

Terdapat juga perisian berbahaya yang menyamar seperti tampalan keselamatan 
(security patch) untuk memperdayakan pengguna perkhidmatan rangkaian sosial 
agar memuat turun dan memasangnya.

Hampir kesemua aplikasi rangkaian sosial tidak memiliki kaedah untuk 
mengesahkan umur sebenar setiap penggunanya, melainkan dinyatakan secara 
sukarela oleh golongan pengguna yang mendaftarkan diri.

Ini mendedahkan golongan kanak-kanak kepada risiko masalah fidofilia iaitu 
salah laku seksual antara golongan dewasa dan kanak-kanak. Ia berlaku apabila 
pengguna dewasa boleh menyamar sebagai kanak-kanak dan menjalin hubungan dengan 
mereka.

Kebanyakan aplikasi rangkaian sosial membenarkan pengguna meninggalkan komen 
pada catatan atau gambar pengguna lain. Kemudahan itu telah membuka ruang 
berlakunya kejadian buli dan gangguan siber.

Keselamatan

Kegilaan pengguna Internet, terutamanya golongan remaja, terhadap aplikasi 
rangkaian sosial telah menjadi sesuatu yang membimbangkan. Misalnya, seorang 
gadis berusia 17 tahun di Romania yang galak menggunakan aplikasi rangkaian 
sosial Twittertelah terbunuh akibat kejutan elektrik ekoran menggunakan 
komputer ribanya ketika berendam di bilik mandi.

Aplikasi rangkaian sosial turut dikatakan menjadi penyumbang kepada pelbagai 
masalah disiplin terutama sekali dalam kalangan kanak-kanak yang menghabiskan 
terlalu banyak masa di hadapan komputer.

Budaya itu akan membawa kepada masalah kesihatan mata, postur badan disebabkan 
kedudukan yang tidak ergonomik dan sebagainya.

Pengguna Internet yang menggunakan aplikasi rangkaian sosial perlu sentiasa 
peka dan mengambil langkah keselamatan seperti tidak sesekali mendedahkan 
maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat rumah, nombor kad kredit, nombor 
pin, kata laluan pekerjaan, identiti majikan, maklumat kewangan dan sebagainya 
di mana-mana aplikasi rangkaian sosial.




--------------------------------------------------------------------------------


Selain itu, setiap pengguna juga perlu berhati-hati dalam memilih dan menerima 
kenalan yang ditemui dalam rangkaian sosial.

Pengguna perkhidmatan rangkaian sosial diingatkan agar tidak mudah percaya 
dengan identiti yang dipaparkan kerana terdapat pelbagai kes identiti palsu 
melibatkan orang yang baru dikenali. Ini boleh membuka jalan kepada berlakunya 
pelbagai jenayah seperti kes rogol, rompak dan penipuan.

Pengguna juga dinasihatkan agar tidak sesekali klik pada pautan atau menerima 
dan memasang perisian yang diterima daripada orang yang tidak dikenali.

Fungsi privasi juga perlu diaktifkan pada akaun rangkaian sosial (sekiranya 
ada) yang digunakan untuk mengawal kumpulan individu tertentu daripada melihat 
maklumat penuh atau gambar-gambar milik pengguna-pengguna yang boleh dijadikan 
bahan ugutan.

Hati-hati ketika meletakkan mesej dan gambar yang boleh memberikan petunjuk 
kepada identiti atau lokasi sebenar pengguna.


Kirim email ke